oleh: zizi hashim
15 Dec
15Dec

Langit Jakarta menyimpan lebih daripada hanya bayangan awan dan siluet bangunan. Ia menyimpan rahsia, kehilangan, dan pengharapan yang masih belum selesai. 'Rumah Menanti Cahaya', sebuah telefilem yang menghimpunkan kekuatan emosi dua bangsa, hadir untuk menyentuh rasa dan menyalakan pertanyaan di lubuk hati penonton: sejauh mana kita sanggup bertahan demi kasih yang tidak sempat berkembang?

Sutradara Sharad Sharan menghadirkan karya lintas negara ini dengan barisan pelakon yang memukau dari Malaysia dan Indonesia seperti Daiyan Trisha, Zarif Ghazzi, Mathias Muchus, Eldania Zahra, Aditya Zoni, Djihan Ranti, Shanice Margaretha Lie dan Diego Afisyah. Tayangan perdana bakal menyapa penonton pada 14 Disember 2025, jam 9.00 malam secara serentak di TV3 dan Tonton.

Kisah berpusat pada Mira (Daiyan Trisha), wanita Malaysia yang baru saja melangkah ke alam rumah tangga bersama Arman (Diego Afisyah). Namun impian indah itu terkubur dalam sekelip mata apabila Arman terkorban dalam nahas jalan raya. Mira, yang tidak dikenali oleh keluarga mentuanya, tiba di rumah keluarga Arman di Jakarta bukan sebagai menantu yang dinanti, tetapi sebagai wanita asing yang membawa berita yang mengguncang hati.

Pak Ahmad (lakonan mantap Mathias Muchus), patriark keluarga itu, menyambut kedatangan Mira dalam kebisuan yang sarat makna. Anak-anaknya pula, masih tercengkam dalam kesedihan, enggan menerima Mira yang dianggap pengacau ketenteraman. Mereka terkejut mengetahui bahawa Arman menikahi Mira secara rahsia. Dalam rumah yang sejuk oleh kesangsian dan duka, Mira berusaha mencari tempatnya, mempertahankan harga dirinya tanpa banyak bicara.

Tatkala bab demi bab dibuka, tersingkaplah luka lama yang menyimpan pelbagai warna rasa. Dalam kesunyian itu, hadir Dr. Daniel (Zarif Ghazzi), satu-satunya insan yang melihat Mira sebagai jiwa yang juga terluka. Antara mereka tercipta ruang yang tak bernama, namun cukup untuk membuatkan Mira terus berdiri.

Menjadi nadi kepada naratif yang sarat emosi ini ialah lagu runut bunyi "Langit Tak Menjawab", nyanyian Mary Grace yang ditulis oleh Acap Salim dan Arif Izo. Lagu ini, diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia bersama Alternate Records, menjadi gema rasa yang menyusup ke dalam setiap adegan, memperkukuh mood kehilangan dan harapan.

'Rumah Menanti Cahaya' bukan kisah melodrama tipikal. Ia membawa renungan tentang penerimaan, tentang ruang-ruang yang sunyi dalam rumah yang dahulu pernah hangat, dan tentang manusia yang sering terperangkap antara luka lama dan kemungkinan untuk sembuh. Saksikan kisah ini dan biarkan ia menjadi cermin bagi hati-hati yang masih mencari cahaya dalam gelap.

Sebuah cinta yang tidak sempat berakar, seorang wanita yang terdampar dalam rumah asing, dan rahsia yang perlahan-lahan terkuak di sebalik duka. 'Rumah Menanti Cahaya' adalah potret sebuah kehilangan yang tidak pernah diberi ruang, dan keberanian seorang wanita yang cuba menghidupkan cahaya dalam rumah yang terlalu lama terkurung gelap.

Comments
* The email will not be published on the website.