oleh: zizi hashim
23 May
23May

Gelombang keterujaan terhadap Polong kini semakin sukar dibendung. Walaupun tayangan rasmi filem seram itu hanya akan bermula pada 28 Mei 2026, beberapa sesi tayangan awal di pawagam TGV Cinemas dan GSC sudah pun dilaporkan habis terjual, sekali gus memberi petanda bahawa naskhah ini sedang bergerak ke arah fenomenanya yang tersendiri. Perkembangan tersebut bukan sahaja mengejutkan ramai pemerhati industri, malah membuktikan bahawa minat penonton terhadap filem seram tempatan masih berada pada tahap yang cukup memberangsangkan.

Lebih menarik, kejayaan jualan awal itu berlaku sebelum majoriti penonton berpeluang menyaksikan sendiri keseluruhan filem berkenaan. Di media sosial, nama Polong semakin kerap menjadi perbualan. Bermula daripada pelancaran poster, trailer dan bahan promosi rasmi, filem ini perlahan-lahan membina rasa ingin tahu dalam kalangan peminat genre seram. Kini, apabila tiket tayangan awal mula habis terjual, keterujaan tersebut semakin memuncak.

Diarahkan oleh Zulkarnain Azhar, Polong mengangkat kisah Maria Hadi, seorang wanita yang terjerumus dalam amalan ilmu hitam sehingga meninggalkan legasi dosa dan sumpahan yang terus menghantui generasi selepasnya. Naratif yang berakar daripada unsur mistik tempatan itu menjadi antara faktor utama yang menarik perhatian penonton kerana ia dekat dengan kepercayaan serta cerita rakyat yang sering diperkatakan dalam masyarakat.

Lebih daripada sekadar kisah seram biasa, Polong turut menyelami tema penyesalan, warisan kelam dan kesan keputusan masa lalu yang terus memburu mereka yang masih hidup. Gabungan elemen mistik dan konflik emosi inilah yang menjadikan filem tersebut tampil berbeza daripada kebanyakan filem seram konvensional. Barisan pelakon yang menghuni naskhah ini turut menjadi kekuatan utama. Mimi Lana, Nadiya Nisaa, Namron, Fad Anuar dan Jun Lojong masing-masing membawa watak yang menjadi tulang belakang kepada perjalanan cerita yang sarat misteri dan ketegangan.

Menambahkan lagi keterujaan, reaksi awal daripada mereka yang telah menyaksikan tayangan khas sebelum ini turut memberikan gambaran positif. Ramai yang menyifatkan Polong memiliki aura yang berbeza, dengan suasana seram yang dibina secara perlahan tetapi berkesan sehingga meninggalkan kesan selepas tayangan berakhir. Tidak kurang juga yang tertarik dengan elemen kisah mistik serta sentuhan realisme yang membuatkan cerita tersebut terasa lebih dekat dengan kehidupan masyarakat tempatan.

Bagi sebahagian penonton, inilah jenis filem seram yang bukan sahaja mengundang kejutan, tetapi turut mencetuskan rasa tidak selesa yang berpanjangan.Fenomena jualan awal yang memberangsangkan ini secara tidak langsung membuktikan bahawa penonton semakin yakin terhadap kemampuan filem tempatan untuk menghasilkan karya seram berkualiti. Dalam era yang dipenuhi pelbagai pilihan hiburan global, Polong berjaya mencipta ruangnya sendiri sebelum tayangan rasmi bermula.

Bagi mereka yang masih belum mendapatkan tiket, mungkin inilah masa terbaik untuk berbuat demikian. Dengan beberapa sesi awal yang sudah habis terjual dan minat yang terus meningkat setiap hari, tidak mustahil lebih banyak tayangan akan menerima sambutan yang sama dalam masa terdekat. Kerana apabila sebuah kisah mula menghantui fikiran penonton sebelum ia ditayangkan, barangkali itu petanda bahawa sesuatu yang lebih besar sedang menanti di dalam gelap pawagam.

Comments
* The email will not be published on the website.