Kota New York masih berdiri megah seperti biasa. Lampunya masih menyala setiap malam, siren polis masih bersahut di lorong-lorong sempit dan manusia terus berjalan tanpa menyedari ada seorang lelaki muda yang pernah menyelamatkan dunia… kini hidup sendirian tanpa sesiapa lagi mengingati dirinya. Dari ruang sunyi itulah Spider-Man: Brand New Day mula membuka lembaran baharu paling emosional dalam perjalanan Peter Parker.
Selepas kejayaan luar biasa Spider-Man: No Way Home yang memecahkan rekod global dan meninggalkan pengakhiran paling memilukan dalam sejarah Spider-Man moden, Marvel dan Sony kini akhirnya mendedahkan poster baharu rasmi untuk Spider-Man: Brand New Day, sekaligus mencetuskan pelbagai teori dan keterujaan dalam kalangan peminat seluruh dunia.


Namun filem ini bukan sekadar sambungan biasa. Ia seperti kelahiran semula seorang superhero yang sudah kehilangan hampir segala-galanya. Dalam dunia yang tidak lagi mengenali namanya, Peter mengabdikan hidup sepenuhnya sebagai pelindung New York. Namun tekanan demi tekanan yang semakin berat akhirnya mula mencetuskan satu perubahan fizikal misteri yang mengancam kewujudannya sendiri. Dalam masa sama, satu siri jenayah aneh mula muncul dan membawa kepada kemunculan ancaman baharu yang dikatakan antara musuh paling berbahaya pernah dihadapi Spider-Man. Dan di situlah misteri sebenar filem ini mula membesar.
Poster baharu yang dilancarkan turut memberi bayangan lebih gelap terhadap arah baharu dunia Spider-Man. Tiada lagi nuansa remaja sekolah seperti trilogi sebelumnya. Sebaliknya, visual kali ini terasa lebih matang, sunyi dan penuh tekanan , seolah-olah Peter kini benar-benar sedang memikul seluruh beban hidup seorang diri. Mengemudi filem ini ialah Destin Daniel Cretton, pengarah yang sebelum ini mendapat pujian besar menerusi Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings. Dengan sentuhan emosional dan gaya penceritaan yang lebih manusiawi, ramai percaya beliau mampu membawa sisi Peter Parker yang lebih rapuh dan dewasa dalam filem kali ini.
Skrip filem pula kembali ditulis oleh duo Chris McKenna dan Erik Sommers yang sebelum ini bertanggungjawab terhadap trilogi Spider-Man lakonan Tom Holland. Sudah tentu, Tom Holland kembali menggalas watak Peter Parker bersama Zendaya dan Jacob Batalon. Namun antara nama yang paling mencuri perhatian kali ini ialah Sadie Sink yang menyertai Marvel menerusi watak misteri yang masih dirahsiakan sepenuhnya. Turut menyertai filem ini ialah Jon Bernthal, Tramell Tillman, Michael Mando dan Mark Ruffalo yang dijangka membawa hubungan lebih besar dengan dunia Marvel Cinematic Universe.
Diterbitkan oleh Kevin Feige bersama Amy Pascal dan Avi Arad, Spider-Man: Brand New Day dilihat sebagai permulaan kepada era Spider-Man yang lebih gelap, lebih matang dan jauh lebih emosional. Dan mungkin buat pertama kali dalam sejarah Spider-Man moden… Peter Parker tidak lagi sedang berjuang untuk menjadi hero terbaik. Sebaliknya, dia sedang berjuang untuk terus menjadi dirinya sendiri.
