oleh: zizi hashim
29 Jul
29Jul

Layar perak sentiasa menyimpan ribuan cerita. Ada yang mengundang tawa, ada yang meninggalkan luka, dan ada juga yang terus hidup dalam ingatan lama selepas kredit penutup berakhir. Segala perjalanan kreatif itu bakal diraikan sekali lagi menerusi Festival Filem Malaysia Ke-35 (FFM35), acara paling berprestij dalam industri perfileman negara yang kembali membuka tirainya untuk mencari karya-karya terbaik tanah air.

Dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan sokongan Kementerian Komunikasi, FFM35 kekal sebagai pengiktirafan rasmi kerajaan terhadap kecemerlangan filem dan bakat kreatif tempatan. Festival ini bukan sekadar sebuah majlis anugerah, sebaliknya menjadi simbol penghargaan kepada dedikasi penggiat industri dalam menghasilkan karya berkualiti, mempertingkat profesionalisme penerbitan serta memartabatkan filem sebagai medium perpaduan, identiti nasional dan pemangkin pertumbuhan industri kreatif negara.

Mengangkat tema "Spektrum Sinema", FFM35 meraikan keluasan dunia perfileman Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian warna, perspektif, budaya, genre, teknologi dan bakat. Tema tersebut mencerminkan sifat sinema yang sentiasa berkembang, membuka ruang kepada pelbagai bentuk ekspresi seni, sekali gus memperkukuhkan filem sebagai medium yang menyatukan masyarakat serta membawa karya tempatan melangkah lebih jauh ke persada antarabangsa.

Penyertaan rasmi dibuka bermula 29 Julai 2026 dan akan ditutup pada 11 Ogos 2026. Proses pencalonan dilakukan secara dalam talian menerusi pautan rasmi Festival Filem Malaysia, yang dibuka kepada umum sejurus selepas sidang media FFM35 berlangsung. Pengeluar filem yang memiliki Lesen Pengeluaran Filem FINAS yang sah sehingga 31 Disember 2026 layak mengemukakan pencalonan bagi kategori filem cereka, filem pendek dan dokumentari.

Bagi kategori filem cereka, hanya karya tempatan yang telah mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) serta ditayangkan di pawagam Malaysia antara 1 Julai 2025 hingga 30 Jun 2026 layak dipertandingkan. Untuk kategori filem pendek dan dokumentari pula, karya mestilah belum pernah menyertai Festival Filem Malaysia sebelum ini, selain memenuhi tempoh tayangan yang sama. Semua calon juga hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia atau pemastautin tetap.

Sebanyak 30 kategori anugerah dipertandingkan pada edisi kali ini, termasuk Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Dokumentari Terbaik, Filem Pendek Terbaik dan Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik. Pada masa sama, lima anugerah khas yang tidak dipertandingkan turut dikekalkan, antaranya Anugerah Khas Sepanjang Zaman, Anugerah Khas Karyawan, Anugerah Khas Juri dan Filem Box Office.

Menariknya, FFM35 tidak memperkenalkan kategori baharu, sebaliknya memperkenalkan perubahan terhadap sistem pemilihan pemenang. Menurut Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, edisi kali ini memperkenalkan pendekatan baharu yang memberi ruang lebih besar kepada suara penggiat industri dalam menentukan penerima anugerah. Katanya, perubahan tersebut bermula daripada cetusan idea pelakon dan penerbit Bront Palarae, yang banyak menimba pengalaman menghadiri festival serta majlis anugerah filem di peringkat antarabangsa.

"Bagi FFM35 tahun ini, kita membuat sedikit penyesuaian berbanding edisi terdahulu. Pusingan pertama penjurian akan dikendalikan oleh panel juri, manakala keputusan akhir bagi menentukan pemenang akan dibuat oleh penggiat industri sendiri." Hans berkata, kira-kira 150 pemenang Festival Filem Malaysia terdahulu akan diberi tanggungjawab memilih pemenang bagi kategori utama seperti Filem Terbaik, Pelakon Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan beberapa kategori penting lain, sambil mengekalkan keseluruhan 25 kategori yang dipertandingkan pada edisi kali ini.

"Melalui kaedah penjurian baharu ini, kami percaya suara penggiat industri wajar didengari dan diberikan pengiktirafan dalam acara anugerah tahunan yang telah berlangsung lebih tiga dekad ini," katanya ketika sidang media FFM35 di Aurum Theatre, The Exchange TRX, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib. Mengulas lanjut, Hans menjelaskan beliau menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh Bront Palarae, memandangkan pelakon itu mempunyai pendedahan luas terhadap sistem penjurian festival filem di luar negara.

"Saya fikir ia satu idea yang baik, terutama kerana Bront banyak menghadiri festival filem antarabangsa," katanya. Selain pembaharuan sistem penjurian, Hans turut mengesahkan Anugerah Filem Terbaik masih mengekalkan hadiah utama berjumlah RM1 juta menerusi geran Dana Kandungan Kreatif (DKK). Malam kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-35 akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 21 November 2026, disiarkan secara langsung menerusi TV2, manakala pencalonan dibuka mulai 29 Julai hingga 11 Ogos 2026. Beliau turut memaklumkan sebanyak 63 filem telah memenuhi syarat tayangan di pawagam dalam tempoh kelayakan dan berpotensi menyertai pertandingan tahun ini.

Edisi terdahulu, FFM34, menerima 90 penyertaan, terdiri daripada 41 filem cereka, 26 filem pendek dan 23 dokumentari, sekaligus membuktikan industri filem tempatan terus berkembang dengan pelbagai karya berkualiti. Momentum itu dijangka diteruskan pada FFM35 apabila lebih ramai pengkarya tampil mempertaruhkan hasil terbaik mereka.

Di sebalik kilauan trofi dan sorotan lampu pentas, Festival Filem Malaysia sebenarnya meraikan sesuatu yang lebih besar iaitu keberanian untuk bercerita, kejujuran dalam berkarya dan semangat insan seni yang tidak pernah berhenti menghidupkan layar perak Malaysia. Dengan tema "Spektrum Sinema", FFM35 sekali lagi membuka ruang kepada setiap karya untuk bersinar mengikut warnanya yang tersendiri.

Comments
* The email will not be published on the website.