oleh: zizi hashim
19 Jun
19Jun

Bukan selalu sebuah siri mampu membuatkan ribuan penonton berhenti sejenak selepas kredit penutup bergulir, lalu membuka media sosial hanya untuk mencari jawapan kepada persoalan yang sama. Namun itulah yang sedang berlaku dengan Good Boys Go To Heaven, sebuah naskhah yang bukan sahaja menghiburkan, malah mengheret penonton masuk jauh ke dalam lorong misteri yang penuh teka-teki dan kegelisahan.

Sejak episod pertamanya menemui khalayak pada 8 Mei lalu, siri premium terbitan Astro Shaw itu berkembang menjadi sebuah fenomena yang sukar diabaikan. Dari ruang tamu hingga ke platform digital, satu pertanyaan terus bergema tanpa henti: siapakah sebenarnya dalang di sebalik pembunuhan Ahyan?

Menariknya, Good Boys Go To Heaven tidak sekadar menjadi tontonan mingguan. Ia berubah menjadi pengalaman kolektif yang menyatukan penonton dari pelbagai latar belakang dalam satu misi yang sama. Setiap episod membuka ruang kepada teori baharu, mencetuskan perdebatan hangat dan membuatkan ramai berada dalam apa yang disifatkan sebagai “Detective Mode”.

Petunjuk kecil yang muncul di layar diperhatikan dengan teliti. Setiap dialog dianalisis. Setiap gerak tubuh watak diperiksa seolah-olah penonton sendiri sedang menyiasat sebuah kes jenayah yang belum selesai. Fenomena ini menjadikan siri tersebut antara kandungan tempatan paling banyak dibincangkan tahun ini.

Menurut Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif Good Boys Go To Heaven, Raja Jastina Raja Arshad, siri berkenaan dihasilkan dengan hasrat untuk membawa penceritaan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi sambil membuka ruang penglibatan penonton secara lebih mendalam.

Apa yang bermula sebagai sebuah siri premium akhirnya berkembang menjadi titik pertemuan emosi, idea dan perbualan sosial yang melangkaui skrin. Penonton bukan lagi sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya turut membina teori, berkongsi analisis dan menghidupkan perjalanan cerita melalui pelbagai platform digital. Lebih menarik, siri ini turut membawa isu kesihatan mental ke tengah masyarakat menerusi kerjasama bersama MIASA. Pendekatan tersebut menjadikan Good Boys Go To Heaven bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi juga ruang yang membuka dialog tentang trauma, kehilangan dan kesan luka emosi yang sering dipendam dalam diam.

Kesan daripada pendekatan berani itu dapat dilihat menerusi angka yang cukup mengkagumkan. Setakat ini, siri berkenaan telah merekodkan lebih 58 juta tontonan dan 9.5 juta capaian di seluruh platform media sosial. Pencapaian tersebut turut diperkukuhkan apabila Good Boys Go To Heaven berjaya berada dalam senarai Top 10 Netflix selama enam minggu berturut-turut, satu pencapaian yang membuktikan kekuatan kandungan tempatan dalam menembusi perhatian khalayak lebih luas.

Di sebalik kejayaan itu, ramai penonton memuji skrip yang diketuai oleh Mira Mustaffa kerana tampil berbeza daripada formula lazim drama tempatan. Naratif yang berlapis, psikologi watak yang kompleks dan susunan misteri yang tidak mudah dijangka menjadikan setiap episod terasa seperti cebisan puzzle yang perlu dicantumkan satu demi satu. Malah Episod 6 turut menerima perhatian luar biasa apabila menampilkan tiga pelakon kanak-kanak yang berjaya membawa emosi berat dengan penuh meyakinkan. Ramai memuji keberkesanan lakonan mereka yang dianggap antara kekuatan terbesar episod tersebut, khususnya dalam menggambarkan trauma dan kesedihan yang menjadi nadi utama penceritaan.

Di media sosial pula, pengalaman menonton menjadi semakin hidup apabila pelakon seperti Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Zahirah MacWilson dan Sky Iskandar aktif berinteraksi dalam karakter masing-masing menerusi platform Threads. Pendekatan kreatif ini menjadikan sempadan antara dunia fiksyen dan realiti terasa semakin kabur, sekali gus membuatkan penonton berasa lebih dekat dengan watak-watak yang mereka ikuti setiap minggu.

Diterajui oleh Mira Mustaffa selaku showrunner dan diarahkan oleh Ariff Zulkarnain, siri ini turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Zahirah MacWilson, Amerul Affendi, Sky Iskandar, Firdaus Karim, Malek McCrone, Amanda Ang, Mila Mohsin, Dai Fuad, Marzuki Noh, Zaleha Iman dan Sayf Mikael. Kisahnya berpusat kepada Yasser, seorang bapa yang berdepan mimpi paling mengerikan dalam hidup apabila anak lelakinya, Ahyan, dilaporkan hilang sebelum jasadnya ditemukan dalam keadaan tragis akibat pembunuhan kejam.

Dari titik itulah bermulanya sebuah perjalanan yang sarat dengan misteri, trauma dan persoalan yang terus menghantui penonton sehingga hari ini. Dan sehingga jawapan sebenar ditemukan, satu perkara yang pasti: seluruh negara masih belum berhenti mencari pembunuh Ahyan.

Comments
* The email will not be published on the website.