oleh: zizi hashim
06 Feb
06Feb

Rindu yang lama terpendam akhirnya menemukan jalan pulang. Selepas lebih sedekad menyepi, siri ikonik Keluarga Iskandar kembali mengisi ruang keluarga menerusi musim terbaharu, Keluarga Iskandar 3, sekaligus mencetuskan euforia yang sukar disorokkan di garis masa media sosial. Poster dan trailer rasmi yang dilepaskan oleh Astro Malaysia menjadi isyarat awal kebangkitan ini, lantas menyalakan semula memori kolektif tentang sebuah keluarga paling “havoc” yang pernah menceriakan malam-malam hujung minggu.

Ruang komen bertukar menjadi lorong nostalgia. Ratusan tanda suka menyambut luahan penonton yang membesar bersama drama ini. “Tak sangka lepas 12 tahun akhirnya Keluarga Iskandar kembali. Ini drama zaman remaja aku!” tulis seorang peminat. Ada juga yang menyifatkan kepulangan ini sebagai comeback paling dinanti dalam sejarah drama tempatan, sebuah penantian panjang yang akhirnya tertebus.

Trailer rasmi di platform Bambam Studios mencatat lebih 600,000 tontonan, mengisyaratkan betapa siri ini masih mengakar kukuh dalam ingatan ramai. Penonton memuji jalur cerita yang mengekalkan rasa asal, namun tampil segar dan relevan dengan realiti masa kini, seolah-olah waktu berputar, tetapi jiwa ceritanya tetap setia pada akar.

Antara harapan paling kerap diulang ialah kekalnya barisan pelakon utama. “Kalau pelakon asal ada, memang lengkap nostalgia,” tulis seorang pengguna. Seorang lagi menambah, “Tak sabar nak tengok dinamika keluarga ni balik, harap lawak dan emosi masih jadi.” Harapan itu memantulkan kerinduan terhadap keintiman hubungan keluarga yang menjadi nadi siri ini: komedi yang riuh, emosi yang jujur.

Untuk peminat setia, penantian bakal berakhir. Keluarga Iskandar 3 akan mula bersiaran pada 6 Februari, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam di Astro Ria, dan boleh distrim menerusi aplikasi Sooka.

Comments
* The email will not be published on the website.