oleh: zizi hashim
14 May
14May

Degup muzik rock tidak pernah benar-benar mati. Ia cuma menunggu waktu untuk kembali mengaum dan menghidupkan semula memori generasi yang pernah membesar dengan kaset, jaket kulit, suara serak penuh jiwa dan lagu-lagu yang menjadi nadi kehidupan anak muda suatu ketika dahulu. Tahun ini, sejarah besar bakal tercipta apabila tiga nama legenda rock tanah air — Search, Wings dan XPDC — akhirnya disatukan buat pertama kali menerusi Konsert 3 Veto.

Berlangsung di Megastar Arena, Bukit Bintang pada 1 Ogos 2026, konsert anjuran Bintang Batu Event bersama Seri Simfoni Sdn Bhd itu dijangka menjadi antara malam paling bersejarah dalam dunia rock tempatan. Bukan sekadar sebuah konsert biasa, Konsert 3 Veto hadir sebagai simbol penghargaan terhadap legasi muzik tiga kumpulan yang sudah lebih empat dekad menggegarkan industri muzik Malaysia dan Nusantara. Dari era 80-an hingga hari ini, nama Search, Wings dan XPDC kekal hidup dalam jiwa peminat, merentas generasi, zaman dan perubahan industri muzik.

Ada sesuatu yang sangat emosional tentang penyatuan ini. Tiga kumpulan yang pernah menjadi soundtrack kehidupan ramai manusia kini berdiri di atas satu pentas yang sama. Bukan untuk bersaing, tetapi untuk meraikan perjalanan panjang muzik rock yang pernah membentuk budaya anak muda Malaysia. Menurut wakil penganjur, Ikhram Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atom, konsert ini bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi pengalaman yang mungkin sukar diulang kembali pada masa akan datang.

“Gabungan tiga kumpulan ini pastinya akan memuaskan halwa telinga peminat dan ia mungkin sukar diperoleh lagi pada masa akan datang,” katanya. Sepanjang malam tersebut, penonton bakal dibawa mengembara semula ke zaman kegemilangan rock tanah air menerusi deretan lagu ikonik seperti "Sejati", "Isabela" dan "Titian Perjalanan" yang akan diberikan susunan muzik baharu tanpa menghilangkan roh asal karya-karya legenda tersebut.

Namun apa yang membuat Konsert 3 Veto terasa lebih besar adalah apabila ketiga-tiga kumpulan ini bakal menyampaikan beberapa lagu secara serentak di atas satu pentas. Ini sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah rock tempatan. Bayangkan ribuan peminat menyanyi bersama lagu-lagu yang pernah menemani zaman remaja mereka… sementara tiga nama paling besar rock Malaysia berdiri bersama dalam satu malam penuh nostalgia dan energi.

Konsert ini juga bakal diperkukuhkan dengan penggunaan teknologi audio, visual dan pencahayaan moden termasuk projection mapping yang dijangka memberikan pengalaman lebih sinematik dan immersive kepada penonton. Menurut Awie, konsert tersebut membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar persembahan muzik biasa. “Konsert ini adalah tentang jiwa seni kami, menyatukan hati kami melalui muzik rock dan berkongsi rasa serta emosi dengan semua yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan kami,” katanya.

Kenyataan itu turut dipersetujui Din Search dan Izo XPDC yang melihat konsert ini sebagai ruang untuk meraikan semula semangat rock yang masih kuat hidup dalam jiwa peminat hingga hari ini. Lebih menarik, Konsert 3 Veto bukan hanya menyasarkan peminat lama yang membesar dengan era rock 80-an dan 90-an, tetapi juga generasi baharu yang mahu merasai sendiri bagaimana sebuah konsert rock legenda sebenar berlangsung di depan mata.

Tiket rasmi konsert sudah mula dijual sejak 8 Mei lalu menerusi platform rasmi dalam talian. Dan mungkin untuk satu malam nanti, Kuala Lumpur tidak lagi sekadar menjadi kota biasa… tetapi berubah menjadi lautan manusia yang menyanyi bersama lagu-lagu rock yang tidak pernah benar-benar hilang dari jiwa mereka. Jom kita rocking bersama 3 Veto ini!

Foto Kredit: Maestro Media

Comments
* The email will not be published on the website.