oleh: zizi hashim
06 Aug
06Aug

Perseteruan antara dua wanita sering menjadi formula utama dalam drama rumah tangga. Namun Madu Atau Racun memilih untuk melangkah lebih jauh daripada sekadar kisah cemburu, curang dan perebutan kasih. Di sebalik premis "Satu Rumah. Dua Isteri.", tersimpan sebuah perjalanan yang mengajak penonton menyelami luka, pengorbanan dan keberanian dua wanita yang akhirnya menemui kekuatan dalam diri masing-masing.

Bakal menemui penonton secara eksklusif di iQIYI bermula 14 Ogos 2026, drama 12 episod arahan Eyra Rahman ini mengangkat sisi gelap sebuah perkahwinan poligami yang sarat dengan konflik, emosi dan rahsia. Diterbitkan oleh MIG Production Sdn. Bhd., naskhah ini tidak sekadar memaparkan perebutan cinta, sebaliknya menyelami tema pengkhianatan, trauma, pengorbanan dan hubungan luar biasa yang terjalin antara dua wanita yang pada awalnya ditakdirkan sebagai musuh. 

Menurut Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, iQIYI komited untuk terus menghasilkan karya tempatan yang dekat dengan hati penonton dan mampu mencetuskan perbincangan. "Melalui Madu Atau Racun, kami ingin membawakan sebuah drama yang melangkaui tema poligami. Di sebalik premis tersebut, ia sebenarnya mengisahkan perjalanan dua wanita yang terpaksa berkongsi kehidupan dan berdepan dengan pelbagai konflik yang menguji persepsi mereka terhadap satu sama lain."

Beliau turut berharap penonton tidak terburu-buru menghukum setiap watak kerana setiap episod akan membuka perspektif baharu. "Kami berharap penonton dapat mengikuti setiap episod dengan fikiran yang terbuka dan tidak membuat kesimpulan terlalu awal, kerana setiap episod akan membongkar sisi baharu yang mampu mengubah persepsi terhadap setiap watak."

Drama ini menampilkan Aliff Aziz sebagai Adli, seorang ahli perniagaan berjaya yang memilih untuk berkahwin lagi, sekaligus mengubah kehidupan isterinya, Azura lakonan Uqasha Senrose. Kehadiran Nikita, yang dibawakan Elisya Sandha, bukan sahaja menggugat keharmonian rumah tangga mereka, malah membuka ruang kepada pelbagai konflik yang tidak pernah dijangkakan.  Sebagai pengarah, Eyra Rahman percaya setiap karya mempunyai identiti tersendiri walaupun mengangkat tema yang sering diketengahkan dalam drama tempatan.

"Bagi saya, setiap pelakon membawa tafsiran watak yang berbeza. Saya belum pernah melihat ada pelakon yang membawakan karakter yang benar-benar sama. Setiap daripada mereka akan membentuk identiti tersendiri melalui persembahan masing-masing. Di situlah keunikan sesebuah karya lahir." Eyra turut mempertahankan pemilihan Aliff Aziz sebagai watak utama dengan menyifatkan pelakon itu sebagai individu yang sangat profesional sepanjang penggambaran. "Saya melihat sendiri bagaimana dia memberikan komitmen sepenuhnya terhadap watak yang diamanahkan. Bagi saya, Aliff seorang pelakon yang sangat berbakat dan mempunyai kelebihan semula jadi dalam lakonan. Dia juga sangat komited dan berdedikasi."

Sementara itu, Elisya Sandha mengakui watak Nikita menjadi antara karakter paling mencabar sepanjang kariernya. "Dia bukan sahaja seorang wanita yang kelihatan jahat. Dia penuh dengan trauma dan emosi yang tidak terungkai. Sebagai pelakon, saya suka mencabar diri dengan watak yang mempunyai banyak lapisan seperti ini."

Menariknya, apabila Azura dan Nikita dipaksa tinggal di bawah satu bumbung, hubungan mereka perlahan-lahan berubah. Daripada saling membenci, kedua-duanya mula memahami penderitaan masing-masing sebelum menyedari bahawa musuh sebenar bukanlah sesama mereka, tetapi lelaki yang selama ini memanipulasi kehidupan mereka. Namun apabila Adli mula menyedari hubungan yang semakin rapat antara kedua-dua isterinya, keadaan bertukar menjadi sesuatu yang jauh lebih rumit dan sukar dijangka.

Lebih daripada sebuah drama tentang poligami, Madu Atau Racun mengangkat persoalan mengenai harga sebuah kepercayaan dan kekuatan wanita apabila berdepan pengkhianatan. Kadangkala, insan yang disangka lawan akhirnya menjadi tempat paling selamat untuk berpaut. Dan di situlah lahirnya kisah yang tidak hanya menguji hati, tetapi juga mengubah cara kita melihat makna sebuah keluarga.

Comments
* The email will not be published on the website.