oleh: zizi hashim
21 May
21May

Riuh distorsi gitar dan semangat Rock N Roll yang pernah menguasai jiwa anak muda era 70-an, 80-an dan 90-an kini perlahan-lahan seperti tenggelam dalam arus muzik moden. Dalam dunia muzik hari ini yang semakin dipenuhi hiburan digital dan persembahan berskala besar, semangat muzik live underground masih terus hidup dalam jiwa komuniti kecil yang percaya bahawa Rock N Roll tidak pernah benar-benar mati. Dari denyut itulah RockHauz Volume 1 lahir. Bukan sekadar gig biasa tetapi sebuah movement yang mahu menghidupkan semula budaya muzik live alternatif di Kuala Lumpur.

Diasaskan oleh Pidut selaku gitaris BigTones, idea RockHauz tercetus selepas beliau menerima cadangan daripada legenda rock tanah air, Edrie Hashim (gitaris Wings) untuk membina satu scene khas buat band-band Rock N Roll tempatan serta komuniti peminat muzik tersebut di Malaysia. Bersama rakan-rakan muzik daripada The Rudean, Suav dan The Alif, RockHauz akhirnya direalisasikan sebagai satu ruang khas buat generasi baharu Rock N Rollers tempatan.

Menurut pihak penganjur, meskipun muzik rock masih mempunyai peminat setia, generasi muda hari ini semakin sukar mencari tempat untuk berkumpul, mengenali band baharu atau menikmati pengalaman live yang benar-benar dekat dengan jiwa Rock N Roll sebenar. Banyak scene yang pernah hidup satu ketika dahulu kini semakin mengecil sehingga ramai anak muda terasa terasing daripada komuniti muzik yang mereka cintai.

“RockHauz ini diwujudkan untuk menghimpunkan band-band rock tempatan terutama generasi muda dan newcomers supaya mereka mendapat ruang, pendedahan dan komuniti yang selama ini semakin hilang,” jelas pihak penganjur.

Bagi ramai peminat muzik keras tempatan, scene rock hari ini banyak bergantung kepada nama-nama besar lama seperti Search, Wings, Barbarik, Lefthanded dan Cromok yang masih bertahan sehingga hari ini. Namun dalam diam, banyak band generasi muda sebenarnya sedang muncul dengan identiti dan bunyi tersendiri, cuma belum mempunyai platform yang cukup untuk diperkenalkan kepada khalayak lebih besar. Dan di situlah RockHauz mahu memainkan peranannya.

RockHauz Volume 1 bakal berlangsung pada 13 Jun 2026 di BE KL dengan menghimpunkan empat band lokal yang membawa karakter muzik dan pengaruh tersendiri iaitu The Alif, Suav, The Rudean dan BigTones. Gabungan empat nama ini dijangka memberikan pengalaman muzik yang pelbagai, daripada elemen alternatif rock, indie, garage hinggalah sentuhan Rock N Roll moden yang lebih segar dan agresif.

Menambahkan lagi aura malam tersebut ialah kemunculan istimewa Edrie Hashim yang hadir sebagai simbol sokongan terhadap generasi baharu penyambung legasi Rock N Roll Malaysia. Kehadiran figura berpengaruh itu juga dilihat sebagai jambatan antara generasi lama dan gelombang baharu scene rock tempatan.

Menurut pihak penganjur lagi, RockHauz Volume 1 diwujudkan sebagai platform untuk mengumpulkan semula komuniti muzik live tempatan dalam suasana yang lebih intimate dan dekat dengan penonton. “ROCKHAUZ bukan sekadar persembahan muzik biasa. Kami mahu ia menjadi ruang untuk scene lokal kembali bernyawa, tempat pemuzik dan peminat berkumpul serta meraikan semula semangat Rock N Roll,” jelas mereka.

Selain menampilkan persembahan live yang lebih raw dan jujur, konsep acara ini turut memberi fokus kepada pengalaman lebih dekat antara artis dan penonton. Dengan kapasiti lokasi yang lebih kecil dan penuh intimasi, penonton dijangka dapat merasai sendiri energi sebenar persembahan secara langsung tanpa batasan besar seperti konsert arus perdana hari ini. Dalam masa sama, penganjuran gig seperti RockHauz Volume 1 turut dilihat penting bagi memberi ruang kepada band-band tempatan untuk terus berkembang dan membina komuniti peminat mereka sendiri di tengah perubahan industri muzik moden.

Tidak lupa juga sokongan rakan media seperti Bad Republik, Kelipan, ROTTW, WritersDaily, KLKToday, MDaily, Projek Gempita, Havox Media, Besi Hitam dan Kepala Metal yang turut menggerakkan perjalanan RockHauz bersama komuniti muzik tempatan.

Tiket rasmi kini boleh didapati menerusi: CloudJoi Ticketing dengan harga Early Bird (RM33), Presale (RM40), Door (RM45) (QR) dan Group of 4 (Terhad) (RM110). Pihak penganjur turut memaklumkan bahawa jumlah tiket adalah terhad dan peminat disarankan mendapatkan tiket lebih awal sebelum habis dijual.

Dengan gabungan muzik live, energi pentas dan semangat komuniti alternatif tempatan, RockHauz Volume 1 dijangka menjadi antara gig indie rock paling hangat dan penuh jiwa di Kuala Lumpur tahun ini. Dan mungkin untuk satu malam nanti, BE KL Cheras bukan lagi sekadar lokasi gig biasa… tetapi menjadi rumah kecil buat semua manusia yang masih percaya bahawa Rock N Roll tidak pernah mati. Long Live Rock N Roll!

Comments
* The email will not be published on the website.