Setiap perjalanan seni memiliki episod sunyi yang tidak pernah diceritakan secara terbuka, namun tetap menjadi akar kepada sebuah kebangkitan. Riwayat Ary Hussin, figura yang menapak hampir dua puluh tahun mengasah suara, menjalin peluang, dan bertahan dalam hamburan cabaran akhirnya menemukan cahaya baharu melalui kelahiran Luka Terpaling Dalam, single sulungnya bersama A7 Empire dan A7 Entertainment. Langkah ini bukan hasil kebetulan; ia terbit daripada keteguhan hati seorang penghibur yang tidak pernah menyerah meski masa sering tidak memihak.
Usahanya persis sebuah manuskrip yang digilap perlahan-lahan; setiap halaman dipenuhi tekad, jatuh bangun dan keberanian untuk terus bertahan meskipun laluan seni sering berliku. Titik perubahan mula berputar ketika pihak A7 menyedari komitmen serta bakat vokal Ary melalui Program Astro Gimme The Mic pada 2024. Minat itu tidak berhenti pada pemerhatian semata; mereka merangka konsep yang tersusun, meneliti warna suara Ary dan membayangkan jenis karya yang mampu memperluas karektor muziknya. Kontrak rasmi akhirnya ditawarkan pada awal 2025. Maka tertulis takdir baharu: Ary menjadi artis rakaman sulung A7 Empire dan A7 Entertainment, sekali gus memulakan lembaran baharu dalam orbit seni tempatan.


Hubungan Ary dengan tokoh lagenda dalam industri muzik, Edrie Hashim pula terjalin melalui kekaguman sejak remaja; seorang ‘idola’ yang lagunya menjadi panduan batin kepada banyak mimpi. Pertemuan itu mencipta kolaborasi impian. Kolaborasi yang akhirnya melahirkan Luka Terpaling Dalam, sebuah balada pop yang mengekspresikan patah hati dengan cakrawala melodi yang lebih sinematik dan moden. Edrie mengetengahkan karektor vokal Ary yang kaya warna Melayu, lembut, berkarisma dan sarat emosi. Malah susunan string dan piano merembeskan nuansa kontemporari yang segar dan elegan.
“Saya hilang kata-kata namun sangat bersyukur kerana bakat dan suara saya dinilai sebagai berkualiti serta mampu diketengahkan dalam industri muzik kita,” luah Ary, menggambarkan keterharuan saat menerima karya impian itu. Edrie menyebut bahawa lagu ini digubah khusus mengikut ciri unik Ary, sebuah gabungan antara sisi klasik dan sentuhan moden agar tetap sesuai dengan citarasa industri masa kini. Hasilnya ialah sebuah karya yang memanggil hati pendengar tanpa perlu retorik berlebihan.


Momentum pelancaran single ini diperkukuh dengan detik istimewa sewaktu Ary dan Edrie pertama kali menyaksikan video muzik rasmi Luka Terpaling Dalam bersama para tetamu media. Video arahan En. Syazwan Zazlan itu bukan sahaja menghidupkan naratif lagu, tetapi menjadi simbol bahawa Ary kini melangkah ke tahap yang lebih profesional. Untuk seorang penyanyi yang sudah lama memikul impian namun sering berdepan keterbatasan peluang, saat itu terasa seperti sebuah validasi yang lama ditunggu.
Pelancaran ini menjadi lebih bermakna kerana Luka Terpaling Dalam juga menandakan persembahan langsung pertama Ary secara eksklusif. Pentas itu menjadi ruang pembuktian, ruang yang menguji ketahanan vokal, kawalan emosi serta kejujuran dalam menyampaikan lirik yang sarat makna. Reaksi khalayak yang hadir menambah keyakinan bahawa Ary bukan sekadar fenomena media sosial, tetapi seorang penghibur yang mempunyai keaslian artistik.
Namun suara Ary tidak hanya hidup melalui single ini. Sejak 2017, beliau merupakan vokalis kepada kumpulan rock bernama Band Penunggu, sebuah kumpulan yang membentuk keberanian dan karektornya sepanjang tiga tahun pertama evolusi muziknya. Pengalaman bersama band menjadikannya lebih fleksibel, lebih peka terhadap dinamika persembahan dan lebih teguh menghadapi cabaran industri.


“Harapan kami agar Luka Terpaling Dalam dapat diterima dan diraikan sebagai sebuah karya baharu yang hadir memeriahkan industri muzik tempatan,” kata pihak A7, menekankan kepentingan karya baharu untuk pertumbuhan industri. Mereka percaya lagu ini mampu memikat pendengar dan memperluaskan palet muzik Malaysia sekaligus merayakan kepelbagaian bakat tempatan. Tanpa penciptaan lagu-lagu segar, ekosistem muzik tidak mungkin bergerak ke hadapan. Justeru, usaha memperkenalkan Ary sebagai bakat yang autentik menjadi sebahagian daripada misi untuk menyuburkan masa depan industri.
Ary pula menyimpan harapan yang lebih personal. Mengakui single ini ibarat hadiah yang tidak pernah dia bayangkan akan hadir dalam hidupnya. “Memiliki single sendiri dan dihasilkan oleh Edrie Hashim adalah lembaran sejarah yang tidak pernah saya mimpi akan terjadi,” ungkapnya. Beliau mahu lagu ini menjadi jambatan yang menghubungkan rasa manusia: patah hati, kehilangan, dan kekuatan untuk bangun semula. "Saya turut bersyukur kerana diberikan kepercayaan," katanya, merujuk kepada perjalanan panjang yang akhirnya menemukan cahaya.
Luka Terpaling Dalam kini boleh didengarkan di stesen radio seluruh negara dan di platform digital melalui edaran A7 Empire (A7E), menjadikan langkah baharu ini bukan sekadar permulaan kerjaya, tetapi manifestasi keberanian seorang penyanyi yang terus mencari tempatnya dalam peta muzik Malaysia. Ary Hussin kini bergerak seiring doa, keberanian dan keyakinan bahawa setiap mimpi, meski tertangguh puluhan tahun, tetap mampu ditemukan jika seseorang terus berjalan tanpa berhenti.
Foto Kredit: MDaily / Pa Pa Din