oleh: zizi hashim
09 Sep
09Sep

Riuh seni tanah air menerima percikan baharu apabila Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menjalin tangan bersama Neo Gendang Records, sebuah label yang menyatukan dua ikon rock negara iaitu Edrie Hashim dan  Candy. Kolaborasi ini bernaung di bawah kursus APS 5123: Pengurusan Produksi Muzik, diselia oleh pensyarah berwibawa, Encik Wan Mohamed Syamil bin Wan Shamsul Anuar, lalu menjadi pintu rasmi kepada pelancaran siri jelajah universiti, showcase 'PISTOL & BUNGA.'

Judul itu sendiri adalah sebuah metafora, Pistol melambangkan tenaga raw dan keberanian milik Edrie Hashim, mastermind di sebalik Projek Pistol yang pernah menggemparkan radio dengan Wanita Seluruh Dunia. Beliau bukan hanya gitaris Wings sejak 2015, tetapi juga arkitek muzik yang telah menerbitkan karya untuk Amy Search, Ella, Awie, Hattan, Siti Sarah, Misha Omar, Jaclyn Victor, Def Gab C, dan banyak lagi. Keunggulannya sudah diiktiraf melalui trofi Album Rock Terbaik, Album Terbaik dan banyak lagi.

Manakala Bunga, simbolik mawar yang lembut mewangi, mewakili Candy, legenda rock wanita yang mula berdiri sejak 1996. Patricia Robert (Pat), Nancy Graggory, Anis Kalisa, dan Bulan Terry membina citra keberanian dengan lagu Akan Ku Tunggu. Mereka mencatat sejarah Malaysia Book of Records melalui pengiktirafan Most All Female Bands Performing Simultaneously 2023. Kini Candy masih hidup di pentas, kembali dengan single terbaru Setia2u ciptaan Edrie Hashim di bawah label Neo Gendang Records, sambil memperkenalkan barisan ahli baharu kepada khalayak yang setia menunggu.

ASWARA dipilih sebagai tapak pertama jelajah, bukan sekadar lokasi tetapi medan pertemuan dua arus antara ilmu akademik dan denyut industri. Generasi muda dipelawa mendekati Candy, memahami perjalanan mereka, sekaligus membuka ruang untuk merasai denyut nadi rock Malaysia yang autentik. Menurut Edrie, tujuan utama projek ini adalah memberi pengalaman langsung kepada pelajar tentang bagaimana mengurus produksi, pentas, promosi, pemasaran, bahkan selok-belok teknikal sebuah acara. Baginya, lebih tiga dekad pengalaman tidak seharusnya tersimpan, tetapi dibahagi dengan generasi yang bakal mewarisi pentas.

Pada 8 September 2025 baru-baru ini, satu ujibakat telah diadakan dari jam 10 pagi hingga 3 petang di Studio Rakaman ASWARA. Pemilihan gitaris, pemain bass, drum, dan keyboard dijalankan oleh juri terhormat terdiri dari Edrie Hashim, Hafiz Shah, dan Reza Mohammad. Mereka yang terpilih akan digabungkan menjadi sebuah band lalu bakal tampil bersama Candy dan Edrie dalam showcase pada 20 September 2025, jam 8.30 malam, di Orchestra Hall ASWARA. Showcase ini turut dibuka kepada orang awam (tidak terhad kepada pelajar ASWARA sahaja) dengan harga RM60 dan RM30 (diskaun pelajar).

Objektif program ini melangkaui hiburan. Ia mahu meraikan sumbangan legenda rock, memperkenalkan semula muzik rock kepada pelajar universiti, dan menyuntik minat generasi baharu kepada seni. Program ini turut menekankan pentingnya instrumen tempatan melalui bengkel dan pameran, selain menyediakan ruang buat pemuzik muda menampilkan bakat. Fakulti pula menerima nilai tambah dalam bentuk reputasi akademik, jaringan industri, serta pengukuhan kurikulum melalui projek berskala industri.

Lebih jauh lagi, program ini membina jambatan berterusan antara fakulti, artis, dan dunia produksi profesional. Apa yang lahir bukan sekadar konsert, tetapi sebuah ekosistem pembelajaran praktikal yang memberi pelajar peluang menjadi pengurus produksi, pengurus pentas, promosi, publisiti, kewangan, malah teknikal sebenar. Nilai pulangan mungkin tidak berbentuk kewangan, namun hadir sebagai pengiktirafan media, jaringan strategik, serta bukti konkrit bahawa seni dan akademik mampu bersenyawa.

Selepas ASWARA, obor 'PISTOL & BUNGA' akan bergerak ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada Januari 2026. Universiti Malaya pula sedang dalam perbincangan, manakala UPSI, USM, UKM, UPM, UNIMAS, dan UMS dirancang sebagai destinasi seterusnya. Dengan itu, perjalanan jelajah ini tidak hanya menjadi nostalgia rock, tetapi juga sebuah ritual pendidikan menyatukan warisan dengan masa depan, senjata dengan bunga, keras dengan lembut dalam satu simfoni yang akan terus bergema di hati generasi muda.

Foto Kredit: Pa Pa Din

Pentas orkestra ASWARA bakal meledak dengan aura dua legenda rock tanah air, dentuman energi Edrie Hashim si garang 'Pistol', dan Candy sang 'Bunga' yang harum berani. Showcase istimewa 'PISTOL & BUNGA' pada 20 September 2025, jam 8.30 malam di Orchestra Hall ASWARA ini bukan hanya milik warga kampus, malah terbuka untuk semua fanatika Edrie Hashim dan juga Candy. Dengan kapasiti 500 penonton, inilah peluang menyaksikan gabungan gitar menyala dan vokal mendebarkan dalam suasana live yang raw dan autentik.

Tema Rugged Rockers Sejati menanti, jom sarung jaket kulit, lilit bandana, biar spike dan denim ranggi jadi saksi! Mari kita gegarkan dewan, mari kita rocking bersama, mari kita rayakan warisan rock Malaysia! Jangan biarkan diri ketinggalan… jom kita rocking habis-habisan dan enjoy bersama dua ikon lagenda rock ini! Jumpa di sana!

Comments
* The email will not be published on the website.