Derau ketakutan yang dibawa Polong kini mula menjalar jauh sebelum lampu pawagam benar-benar dipadamkan secara rasmi. Dalam suasana penonton tempatan semakin dahagakan filem seram yang mempunyai identiti dan atmosfera tersendiri, Polong hadir seperti sebuah gangguan yang perlahan-lahan menguasai perbualan ramai. Belum pun memasuki tayangan penuh di seluruh negara, filem arahan Zulkarnain Azhar itu sudah mencipta momentum luar biasa apabila berjaya meraih lebih 25,000 penonton menerusi tayangan awal, sekali gus menjadikannya antara filem seram tempatan dengan sambutan paling hangat tahun ini.
Pencapaian tersebut bukan sekadar angka biasa. Ia menjadi petunjuk awal bahawa Polong sedang membina satu fenomena tersendiri dalam kalangan peminat filem tempatan, khususnya mereka yang sudah lama menantikan naskhah seram dengan elemen mistik dan psikologi yang lebih segar serta gelap. Beberapa lokasi tayangan awal di rangkaian pawagam utama turut dilaporkan menerima sambutan luar jangka apabila ada sesi yang habis terjual hanya dalam tempoh singkat selepas jualan tiket dibuka. Situasi itu sekali gus mencetuskan gelombang perbualan di media sosial apabila penonton mula berkongsi pengalaman mereka menyaksikan filem tersebut lebih awal.

“Mereka dah jadi saksi. Mereka dah rasa sendiri ketakutan #Polong.”
Ungkapan itu mula berlegar di media sosial dan perlahan-lahan berubah menjadi simbol keterujaan penonton yang sudah melalui sendiri pengalaman menyaksikan filem tersebut di pawagam. Apa yang membuatkan Polong terasa berbeza ialah bagaimana filem ini tidak hanya bergantung kepada kejutan murah atau elemen seram tradisional semata-mata. Sebaliknya, naskhah ini membawa penonton menyelami kisah berkaitan dosa silam, legasi hitam serta akibat daripada amalan ilmu mistik yang diwarisi turun-temurun.
Naratif yang lebih suram dan emosional itu menjadi antara kekuatan utama filem ini. Ketakutan dalam Polong bukan sekadar hadir melalui kemunculan entiti menyeramkan, tetapi juga daripada trauma, rahsia lama dan beban yang diwariskan daripada satu generasi ke generasi berikutnya. Selain kekuatan jalan cerita, aspek teknikal turut menjadi perhatian ramai. Dari sudut visual, Polong tampil dengan gaya sinematik yang lebih matang dan atmosferik, manakala susunan bunyinya pula berjaya membina rasa tidak selesa yang perlahan-lahan menghimpit emosi penonton sepanjang tayangan.

Barisan pelakon seperti Mimi Lana, Namron, Fad Anuar, Nadiya Nisaa dan Jun Lojong pula berjaya membawa intensiti emosi yang menjadikan keseluruhan pengalaman menonton terasa lebih hidup dan mengganggu. Setiap watak hadir dengan luka serta rahsia tersendiri, menjadikan ketegangan filem ini terasa lebih manusiawi dan dekat dengan realiti masyarakat tempatan. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, filem seram tempatan semakin menunjukkan perkembangan memberangsangkan dengan keberanian bereksperimen dari sudut naratif dan teknikal.
Polong dilihat sebagai antara naskhah yang meneruskan evolusi tersebut dengan identiti yang lebih berani dan atmosferik. Kini, selepas rasmi memasuki “Day 1” tayangan di pawagam seluruh Malaysia, lebih banyak lokasi dan waktu tayangan mula dibuka kepada penonton. Dengan momentum positif yang terus memuncak serta reaksi awal yang semakin hangat diperkatakan, Polong dilihat berpotensi menjadi antara filem seram tempatan paling memberi impak tahun ini.

Dan seperti bisikan yang semakin mendekat dalam gelap, ketakutan itu kini sedang menunggu giliran penonton seterusnya. Kalau benar berani… sekarang mungkin tiba masa untuk anda pula menjadi saksi. Jom tengok wayang!