oleh: zizi hashim
27 Nov
27Nov

Getaran yang menggulung hujung tahun seakan menemukan nadinya apabila Shiraz Projects mengumumkan edisi terbaharu 'Nusa Fest Presents – Nidji X Bunkface', sebuah malam yang memusatkan seluruh tumpuan hanya kepada dua kugiran yang telah lama menoreh jejak di pentas Asia Tenggara. Pada tanggal 21 Disember 2025, Megastar Arena Kuala Lumpur bakal menjadi saksi bagaimana dua dunia muzik bertembung dalam satu ledakan tenaga yang menggila sekali gus menutup tirai 2025 dengan gaya yang tidak boleh diulang.

Festival yang pernah menghimpunkan puluhan nama pada 2023 kini memilih jalan lebih berani: menyerahkan seluruh panggung kepada hanya dua kumpulan heavyweight. Sebuah taruhan yang kelihatan minimal, tetapi hakikatnya paling agresif dan paling tepat. Nidji dari Indonesia dengan himpunan lagu ikonik “Sumpah”, “Cinta Matiku”, “Laskar Pelangi” dan “Biarlah”; sementara Bunkface dari Malaysia membawa api besar yang sudah sinonim dengan “Malam Ini Kita Punya”, “Situasi” dan “Revolusi”.

Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, menyifatkan pemilihan dua band ini sebagai taruhan paling epik sebelum lembaran tahun berakhir. “Kenapa Nidji X Bunkface? Jawapannya mudah, kenapa tidak? Energi yang dibawa kedua-duanya tidak pernah setengah masak. Mereka bukan hanya punya peminat, tetapi punya nadi yang boleh menghidupkan seluruh arena,” katanya. Dari perspektif Shiraz, konsert ini bukanlah pertembungan nama, tetapi perayaan silang budaya, membuktikan bagaimana Malaysia dan Indonesia berkongsi DNA muzik yang sama, tetapi lahir dengan cara berbeza.

Bunkface pula menyifatkan projek ini sebagai momen yang merapatkan lagi hubungan dua negara melalui muzik. Nada suara riang pada sidang media kedengaran lembut, seolah-olah merindui detik itu yang belum tiba. “Ini bukan konsert biasa. Ia momen bermakna untuk kami, untuk peminat yang membesar dengan lagu-lagu kami, dan untuk sahabat-sahabat dari seberang.”

Vokalis Nidji, Yusuf Ubay, tampil dengan senyuman penuh nostalgia. Kuala Lumpur baginya bukan kota persinggahan, tetapi ruang pertemuan yang membawa mereka kembali, tahun demi tahun. “‘Finally we’re back’. Awal tahun kami buka di Kuala Lumpur, dan akhir tahun pun kami tutup di sini. Lebih istimewa, kali ini kami berkongsi pentas dengan saudara kami, Bunkface.”

Ubay, yang terkenal sering membuka baju ketika persembahan di Indonesia, menegaskan beliau tidak akan berbuat demikian di Malaysia sebagai tanda hormat kepada sensitiviti budaya setempat. “Setiap tempat punya adabnya. Saya harus menyesuaikan diri. Di sini, saya jaga batas itu.” Dengan tubuh yang kekar dan stamina luar biasa, Ubay mengakui dia berlatih setiap hari bukan untuk estetika, tetapi demi mengurus adrenalin pentas yang kadang-kadang merebak tanpa kawalan.

Nidji sempat membayangkan kejutan buat peminat Malaysia. “Kami pernah bawakan lagu ‘Situasi’ Bunkface di Indonesia. Jadi untuk persembahan nanti, pasti ada kejutan lain.” Energi antara kedua band ini bukan dibuat-buat; ia datang daripada persahabatan yang terjalin sejak kedua-duanya muncul pada era yang hampir sama. Mereka bertumbuh dalam zaman muzik yang berubah-ubah, melintasi era rock alternatif, pop-rock, elektronik dan nu-wave tetapi aura mereka masih kuat.

Dengan gabungan Malaysia–Indonesia, konsert ini dijangka menjadi antara malam paling energetik, bertenaga dan bersifat trans-nasional pada penghujung tahun. Shiraz Projects menyifatkannya sebagai “dosa besar” jika peminat tegar tidak berebut tiket. Energi Nidji yang selalu membawa aura euforia, berpadu dengan ledakan Bunkface yang terkenal dengan pentas penuh letupan emosi, menjadikan konsert ini medan pertemuan dua generasi peminat Malaysia–Indonesia yang sering berkongsi nada yang sama. Konsert ini adalah perayaan persahabatan, solidariti dan memori ratusan malam kita jatuh cinta pada muzik.

Tiket sudah mula dijual di ticket2u.com.my dengan harga:

  • Rockzone (Standing) – RM228
  • Diamond (Seated) – RM198
  • Platinum (Seated) – RM168
  • Gold (Standing) – RM148

Ayuh berdisko, melompat, menyanyi sampai habis suara dan merayakan persahabatan dua negara di Nusa Fest Presents – Nidji X Bunkface, 21 Disember 2025 di Megastar Arena Kuala Lumpur. Tiket kini dibuka di www.ticket2u.com.my — rebut tempat sebelum semuanya hilang. Jangan tunggu lama, ini peluang sekali hadir dalam hidup. Jumpa di Megastar Arena pada 21 Disember!

Foto Kredit: Sukie Hj Bebit

Comments
* The email will not be published on the website.