oleh: zizi hashim
14 May
14May

Sesekali dunia seni melahirkan sesuatu yang terasa lebih daripada sekadar sebuah pementasan. Ada karya yang hadir seperti puisi hidup: lahir daripada rasa, memori dan cinta yang sudah terlalu lama tersimpan dalam jiwa penciptanya. Kali ini, ruang itu sedang dibina perlahan-lahan oleh M. Nasir bersama isterinya, Marlia Musa menerusi sebuah teater muzikal yang kini mula mencuri perhatian ramai, Mansur & Liu.

Namun sebelum tirai pementasan dibuka, satu pencarian istimewa sedang berlangsung dan kali ini, M. Nasir sedang mencari seorang wanita bernama “Liu”. Dalam suasana dunia seni yang semakin dipenuhi wajah dan formula sama, pencarian ini terasa jauh lebih puitis dan misteri. Ia bukan sekadar sesi ujibakat biasa, tetapi seperti usaha menemukan satu jiwa yang benar-benar mampu menghidupkan karakter Liu seperti yang dibayangkan M. Nasir sendiri.

Menurut kenyataan media rasmi, sesi M. Nasir Mencari Liu akan berlangsung pada 15 dan 16 Mei 2026 di Club Chinois, LG Floor, JW Marriott Hotel Kuala Lumpur bermula jam 3 petang. Pencarian terbuka itu bakal memberi peluang kepada mereka yang memiliki aura, karakter dan keupayaan seni untuk menjadi pasangan kepada watak Mansur dalam pementasan tersebut. Tetapi Liu yang dicari bukan sekadar cantik di mata. Dia perlu hadir dengan gerak tari yang gemalai, tutur bicara yang lunak dan kehadiran yang mampu meninggalkan rasa.

Ada sesuatu yang sangat “M. Nasir” tentang cara pencarian ini diperkenalkan kepada umum. Puitis, perlahan dan penuh simbolik.

“Liu, menjelmalah. M. Nasir mencarimu. Bak dedaun masa mencari hati emasnya.”

Ungkapan itu sendiri sudah cukup menggambarkan bahawa Mansur & Liu bukan teater biasa. Ia seperti sebuah karya yang mahu menemukan manusia dengan rasa: tentang cinta, pencarian dan jiwa seni yang semakin jarang ditemui dalam dunia moden hari ini.

Menariknya, pementasan tersebut juga menjadi projek teater muzikal pertama yang diterbitkan bersama oleh M. Nasir dan Marlia Musa selepas bertahun-tahun membina perjalanan seni masing-masing. Menurut Marlia Musa, mereka sebelum ini sudah melihat ramai bakat menerusi nyanyian, lakonan dan tarian, namun kali ini mereka mahu menyaksikan semuanya hadir secara nyata di atas pentas.

“Ini adalah teater muzikal pertama kami. Telah kami mendengar suara, melihat lakonan dan gerak tari sebelum ini. Oleh yang demikian, mahu kami melihat ia menjadi nyata dengan bakat-bakat baharu pada pementasan ini nanti,” katanya.

Sesi ujibakat tersebut akan berlangsung dalam dua fasa, di mana peserta yang berjaya melepasi sesi pertama pada 15 Mei akan dipanggil semula pada keesokan harinya untuk sesi lanjutan.

Dalam dunia seni yang semakin bergerak pantas dan kadangkala kehilangan sisi romantisnya, langkah M. Nasir mencari “Liu” terasa seperti sebuah surat lama yang tiba-tiba ditemukan kembali: lembut, klasik dan penuh rasa yang sukar dijelaskan dengan kata-kata biasa.

Dan mungkin di luar sana, ada seseorang yang belum sedar… bahawa dirinya sedang dicari untuk menghidupkan sebuah legenda baharu di pentas teater Malaysia. Calon yang berminat boleh mengisi borang ujibakat rasmi yang disediakan pihak penganjur sebelum menghadiri sesi terbuka tersebut.

UJIBAKAT AKAN DIADAKAN JUMAAT INI, 15 MEI 2026.

Comments
* The email will not be published on the website.