oleh: zizi hashim
20 Jul
20Jul

Di celah deras arus muzik yang sentiasa berubah, masih ada irama yang enggan tenggelam. Bunyinya mungkin lahir puluhan tahun lalu, namun semangat yang dibawanya terus hidup dalam komuniti yang percaya bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi bahasa yang menyatukan manusia. Semangat itulah yang terus digalas oleh Kuala Lumpur SKA Syndicate (KLSS). Kumpulan yang menjadi antara nama penting dalam memperjuangkan muzik ska, reggae dan rocksteady di Malaysia itu kini mengumumkan dua lokasi pertama bagi Jelajah Malaysia 2026, sekaligus membuka lembaran baharu dalam usaha membawa muzik alternatif tempatan lebih dekat kepada khalayak di seluruh negara.

Jelajah tersebut akan membuka tirai pada 9 Ogos 2026 menerusi persembahan di BEKL, Kuala Lumpur, anjuran Jamatrix Global, sebelum diteruskan ke Destage PJ, Petaling Jaya pada 27 Ogos 2026. Kedua-dua persembahan dijangka menghimpunkan komuniti pencinta ska yang selama ini setia menyokong perkembangan genre berkenaan di Malaysia. Bagi KLSS, jelajah ini bukan sekadar siri konsert. Ia merupakan usaha berterusan untuk memperluaskan pengaruh muzik ska tempatan, sambil membuka ruang kepada komuniti muzik bebas bertemu, berkongsi pengalaman dan membina hubungan yang lebih erat melalui persembahan secara langsung.

Menurut wakil pengurusan Kuala Lumpur SKA Syndicate, Abang Azmi, setiap lokasi yang dipilih mempunyai identiti tersendiri dan bakal menawarkan pengalaman yang berbeza kepada peminat. "Kami amat teruja untuk kembali bertemu peminat menerusi dua persembahan ini. Setiap lokasi mempunyai karakter tersendiri dan kami percaya ia akan memberikan pengalaman berbeza kepada komuniti muzik. Ini hanyalah permulaan kerana beberapa lagi lokasi jelajah sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya. Pengumuman itu turut memberi bayangan bahawa Jelajah Malaysia 2026 akan berkembang ke lebih banyak destinasi, sekaligus membuka peluang kepada peminat di negeri-negeri lain untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik tersebut. 

Apa yang menjadikan jelajah ini lebih bermakna ialah sokongan yang diterima daripada Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik di bawah Kementerian Komunikasi, yang disalurkan menerusi MyCreative Ventures (MyCV). Inisiatif tersebut diwujudkan bagi memperkukuh pembangunan industri muzik tempatan, memperluaskan peluang persembahan kepada artis Malaysia serta membantu karya kreatif tempatan menjangkau khalayak yang lebih luas. Dalam masa sama, KLSS melihat jelajah ini sebagai platform untuk memperkukuh keseluruhan ekosistem muzik bebas negara.

Selain meraikan muzik ska yang semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda, siri persembahan ini juga membuka ruang kerjasama antara pemuzik, penganjur acara, pengusaha venue dan komuniti kreatif yang selama ini menjadi tulang belakang kepada perkembangan muzik independen tempatan. Kuala Lumpur SKA Syndicate sendiri bukan nama asing dalam dunia muzik alternatif Malaysia. Sejak penubuhannya, kumpulan ini konsisten membawa pengaruh ska klasik yang dipadukan dengan identiti tempatan, sekali gus membantu memastikan genre tersebut terus relevan di tengah-tengah landskap muzik moden.

Peminat yang ingin mengikuti perkembangan Jelajah Malaysia 2026 disaran memantau saluran media sosial rasmi Kuala Lumpur SKA Syndicate untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai jualan tiket, barisan artis jemputan serta pengumuman lokasi-lokasi seterusnya yang bakal melengkapkan siri jelajah ini. Mungkin bagi sesetengah orang, ska hanyalah satu aliran muzik. Namun bagi mereka yang membesarkan komuniti ini selama bertahun-tahun, setiap tiupan brass, setiap petikan gitar dan setiap hentakan rentak adalah lambang sebuah persaudaraan yang tidak pernah benar-benar hilang. Dan Ogos nanti, denyut itu akan kembali bergema.

Comments
* The email will not be published on the website.