Ruang KAWD petang itu terasa seperti terminal kecil sebelum penerbangan panjang: hangat, intim dan penuh bisikan ekspektasi. Listening party album Flight Mode bukan lah acara yang meraikan kebisingan, sebaliknya satu pertemuan yang mengizinkan muzik bergerak perlahan, menyusup ke celah perbualan dan memori. Kehadiran rakan media, Passengers (peminat setia PESAWAT) serta rakan seperjuangan industri membentuk suasana yang akrab; sebuah komuniti berkumpul untuk menyaksikan fasa baharu sebuah band yang sudah sekian lama ditunggu-tunggu langkah seterusnya.
PESAWAT kini digerakkan oleh Jipie, Mie, Mann dan Jun memperkenalkan Flight Mode sebagai album dwibahasa yang menghimpunkan 14 lagu dan dibina atas metafora penerbangan: pelepasan, perjalanan emosi, turbulens, refleksi diri, lalu pendaratan. Projek ini direalisasikan dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures menerusi Dana Kebolehanpasaran Domestik 2.0, sebuah pemangkin yang jelas memberi ruang kepada visi artistik yang lebih luas dan kemas dari segi produksi.


Sebagai pendengar, saya merasakan album ini seperti diari perjalanan yang dibuka halaman demi halaman. Vokal Jipie hadir dengan karakter yang segar, hampir androgini, membawa rasa nostalgia yang lembut, tenang dan berlapis. Nada suaranya membawa pendengar kembali ke momen-momen kecil: kaset Maxell yang diputar berulangkali, konsert indie berskala sederhana yang sesak dan hangat, atau malam-malam panjang yang dihabiskan berbual tentang jarak, hubungan dan kehilangan. Nada suaranya tidak memaksa emosi, sebaliknya membiarkan rasa itu tumbuh perlahan.
Flight Mode adalah album yang mahu saya dengar dari awal hingga akhir, bukan untuk mencari satu lagu kegemaran, tetapi untuk menyelami satu perjalanan. Single "Levitation" menampilkan kolaborasi bersama Emmett (Butterfingers), berfungsi sebagai titik “take-off”, mengekalkan DNA melankolik PESAWAT dengan susunan lebih lapang dan kemas. "Burung Besi", single kedua yang menampilkan Black Hanifah pula, menyambung penerbangan dengan sentuhan lokal yang lebih dekat dengan realiti pendengar Malaysia, tentang perjalanan, tentang harapan yang tergantung dan tentang keberanian untuk terus terbang tinggi meski sayap pernah goyah.


Petang itu tidak berhenti pada sesi pra-dengar semata-mata. PESAWAT memilih untuk menghiburkan tetamu secara live dengan mempersembahkan 4 buah lagu yang terasa seperti pratinjau jujur kepada apa yang bakal menanti. "Euphoria" membuka set dengan keyakinan yang terkawal. "Luluh" kemudian menyusul menambah lapisan emosi, diperkaya dengan kehadiran Aman Keys di papan kibod dan Anderson Kalang di bahagian sapé, menghasilkan dialog bunyi yang lembut namun berbekas. "Levitation" menjadi detik istimewa apabila Emmett Butterfingers naik ke pentas untuk duet, satu momen yang mengikat sejarah dan masakini. Set ditutup dengan "Mirage", meninggalkan gema yang lama berlegar-legar.
Listening party ini membuka ruang untuk benar-benar menyedari kekuatan album ini sebagai satu pengalaman menyeluruh, bukan koleksi lagu terpisah. Perubahan nada dan ambiens terasa seperti perkembangan karakter, seolah-olah kita menonton seseorang membesar dari satu trek ke trek seterusnya. Lagu-lagu lain yang menampilkan Joanna Renisa (Joanna & Co.) dan Mann XIII (Electric Funeral) memperkayakan tekstur emosi, manakala sumbangan pemuzik jemputan seperti Pa’ang, Killah Z dan Anderson Kalang (sapé) menambah dimensi bunyi yang halus tetapi signifikan.


Dari sudut peribadi, Flight Mode bukan album yang mahu mengejutkan pendengar dengan klimaks besar. Ia lebih seperti “snapshot” kehidupan dimana momen kecil yang mungkin tampak remeh, tetapi meninggalkan kesan apabila direnungi. Referensi tentang jarak, hubungan, dan ruang peribadi terasa meta, seolah-olah PESAWAT sedang berbicara dengan diri mereka sendiri, sambil membenarkan pendengar mencelah dengan pengalaman masing-masing.
Jipie sendiri mengakui proses pembikinan album ini panjang dan penuh cabaran, namun kepuasan itu terasa jelas apabila setiap trek diperdengarkan petang itu. Ada ketenangan pada cara PESAWAT membentangkan karya mereka, tanpa tergesa-gesa, tanpa keinginan untuk membuktikan apa-apa selain kejujuran terhadap muzik yang mereka cintai. Album penuh Flight Mode dijangka dilancarkan Januari 2026, diikuti Jelajah Showcase Flight Mode yang bermula 31 Januari di Johor Bahru, sebelum menyusuri beberapa lokasi lain dan berakhir di Kuala Lumpur. Pesannya jelas: Flight Mode ON. Penerbangan muzikal ini dijanjikan tinggi dan selamat. Rock/indie yang matang, jujur, dan dinanti-nantikan.


Suasana di KAWD dengan makanan, cahaya dan vibe yang bersahabat, memberi pengalaman mendengar yang selesa. Tanpa ulasan trek satu persatu, acara ini tetap berjaya menyampaikan inti Flight Mode: sebuah “snapshot” kehidupan yang dirakam dengan kematangan, menyatukan pengaruh indie/emo dengan pengalaman peribadi yang reflektif. Sokongan padu turut hadir daripada rakan industri seperti @komunikasi_gov, @mycreativeventures, @ckmusic.my dan @soma.musicstore, menegaskan keyakinan kolektif terhadap arah baharu PESAWAT.
Petang listening party itu berakhir dengan meninggalkan gema yang panjang. Flight Mode terasa seperti jemputan untuk mematikan gangguan luar, duduk diam, dan membiarkan diri hanyut seketika. Bagi PESAWAT, ini bukan sekadar album baharu, ia adalah satu cara untuk mengajak pendengar memasuki ruang peribadi mereka, dalam mod penerbangan.
