oleh: zizi hashim
27 Feb
27Feb

Ramadan sentiasa dinanti dengan rasa takzim dan harapan yang membuncah. Bulan kesembilan dalam kalendar Islam ini bukan hanya menuntut umatnya menahan lapar dan dahaga sebagai salah satu rukun Islam, malah mengajak setiap jiwa memperbanyakkan ibadah, doa, muhasabah diri serta memperhalusi akhlak dan hubungan sesama insan. Pada bulan inilah Al-Quran pertama kali diturunkan, khususnya pada malam Lailatul Qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan: satu hakikat yang menjadikan Ramadan begitu istimewa dalam kehidupan umat Islam.

Berangkat daripada keberkatan tersebut, pelbagai acara berunsur dakwah dan kebajikan dianjurkan saban tahun. Tradisi itu diteruskan oleh HS Event & Ent Sdn Bhd yang sekali lagi tampil dengan Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0, sebuah program hiburan dakwah tahunan yang kembali atas permintaan peminat seni. Konsert ini bakal berlangsung pada 14 Mac 2026 di Saloma, Kuala Lumpur.

Edisi ketiga ini menghimpunkan sepuluh nama besar era 80an dan 90an yang pernah mewarnai industri muzik tanah air seperti Shima, To'Ki, Zur Eda, Norshila Amin, Dayangku Intan, Roy Ratnaku, Mamat Exists, Kopratasa, Zack Kacamata serta The Rayhan. Kehadiran mereka dijangka menghidupkan suasana dengan irama nostalgia yang sarat kenangan, namun tetap disulam dengan pengisian spiritual yang tertib.

Penganjurnya, Datin Sri Dr Riza Dato’ Che Umar bersama rakan kongsi Mubarak Akhtar, menjelaskan bahawa konsert ini diadakan berdasarkan permintaan yang diterima daripada peminat seni. “Rata-rata mereka menyukai konsep hiburan dakwah yang cuba kami tampilkan di dalam penganjuran konsert-konsert sebelum ini,” ujar Mubarak. Beliau menambah, pendekatan tersebut menggabungkan elemen persembahan dengan nilai spiritual dan ketuhanan yang bersesuaian dengan suasana Ramadan.

“Di mana kita bukan sahaja menampilkan elemen persembahan dengan nilai-nilai spiritual dan ketuhanan yang bersesuaian, namun apa yang lebih penting ia turut diisi dengan beberapa aktiviti ibadah yang cukup signifikan di bulan Ramadan,” katanya lagi. Antara pengisian yang dirancang termasuk tadarus al-Quran dan tazkirah sebelum berbuka puasa, disusuli solat Maghrib secara berjemaah. Setelah solat Isyak dan tarawih dilaksanakan, barulah persembahan artis dimulakan. Susunan ini memperlihatkan keseimbangan antara penghayatan rohani dan apresiasi seni dalam satu ruang yang harmoni.

Mengulas mengenai penglibatan kesemua artis, Mubarak mengakui pihaknya tidak menyangka kesemua nama besar tersebut sudi menerima tawaran untuk menjayakan konsert berkenaan. “Saya percaya ramai teruja untuk melihat mereka beraksi, apatah lagi kebanyakan mereka sudah mengukir perjalanan kerjaya seni yang hebat serta memiliki ramai pengikut serta peminat,” katanya.

Lebih istimewa, konsert ini turut membawa misi kebajikan. Setiap pembelian tiket membuka peluang kepada peminat untuk beramal secara langsung. Penganjur menyasarkan untuk membantu sekurang-kurangnya 25 anak seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan melalui sumbangan yang disalurkan. Pemberian duit raya juga akan diagihkan kepada anak-anak yatim yang diraikan pada malam tersebut.“

Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, kita akan berusaha mencari sekurang-kurangnya 25 orang anak seni yang berdepan dengan masalah kesihatan dan kewangan melalui sumbangan yang dihulurkan. Pemberian duit raya pula akan diberikan kepada anak-anak yatim yang diraikan. Semoga apa yang kita lakukan ini akan membantu meringankan beban anak-anak seni ini menjelang sambutan Aidilfitri, manakala pemberian duit raya pula akan memberikan kegembiraan buat anak-anak yatim ini,” jelas Mubarak lagi.

Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 berdiri sebagai wadah yang merangkumkan seni, kebajikan dan penghayatan spiritual dalam satu malam yang penuh makna. Irama nostalgia bertaut dengan doa, sementara solidariti mengiringi setiap tepukan. Saloma bakal menjadi ruang di mana kenangan lama disatukan dengan hasrat memperkasa nilai kemanusiaan, sebuah pengalaman yang menyemai rasa kekitaan di tengah keindahan Ramadan.

Comments
* The email will not be published on the website.