oleh: zizi hashim
19 Feb
19Feb

Cita-cita besar terkadang tidak hadir bersama kefahaman tentang erti pulang. Itulah yang menjadi paksi drama bersiri mikro Mr. Perfect Ramadan, sebuah naskhah komedi romantik yang menyentuh sisi kekeluargaan dan keimanan sepanjang bulan mulia . Bermula 19 Februari 2026, siri ini menemui penonton setiap hari jam 12 tengah hari secara eksklusif di TikTok Drama Sangat dan Tonton.

Diterajui oleh Muaz Zabir, Ariana Yusof dan Sabri Yunus, drama ini mengisahkan perjalanan Syafiq, pemuda bandar berusia 25 tahun yang memasang impian menyambung pelajaran ke Australia. Tanpa pengetahuan ibu bapanya, Anisah dan Talib, Syafiq telah pun memperoleh surat tawaran universiti luar negara. Namun kebimbangan terhadap pengaruh budaya Barat membuatkan hasratnya ditentang keras.

Sebagai kompromi, ibunya menetapkan syarat yang kelihatan mustahil. Syafiq perlu menetap selama 30 hari Ramadan di kampung dan menjaga datuknya, Tokwan, yang hidup bersendirian. Syarat inilah yang membuka bab perubahan paling signifikan dalam hidupnya.

Kehidupan desa yang sederhana terasa asing buat Syafiq. Sahur ringkas, berbuka di masjid dan solat tarawih berjemaah mencabar kebiasaan seorang anak kota yang terbiasa dengan kebebasan. Ketibaan awalnya juga disambut dengan insiden tayar pancit yang menemukan dia dengan Laura, gadis kampung periang dan lantang yang tidak gentar menyindir sikap egonya. Pertemuan pertama yang sarat sindiran itu berkembang menjadi hubungan benci tapi rindu, penuh pertengkaran kecil yang mencuit hati.

Tokwan pula menjadi figura kebijaksanaan yang perlahan-lahan melembutkan hati cucunya. Ketegasan yang dibalut kasih sayang memperkenalkan Syafiq kepada makna hidup yang lebih hakiki. Setiap hari Ramadan menjadi ruang refleksi, bukan melalui ceramah panjang, tetapi melalui pengalaman sederhana yang mengasah empati.

Kedekatan Syafiq dan Laura semakin terjalin melalui detik-detik kecil seperti belajar menggergaji buluh, menganyam ketupat dan memilih langsir raya. Kecekalan Laura yang bekerja keras dan setia membantu orang kampung menimbulkan rasa hormat dalam diri Syafiq. Cinta tumbuh tanpa dirancang, seiring pertumbuhan jiwa yang semakin matang.

Namun ujian tidak terhenti di situ. Kehadiran rakan-rakan Syafiq dari Kuala Lumpur iaitu Mizi dan Aris bersama Emy yang menyimpan rasa terhadapnya, mencetuskan dilema antara impian lama dan kebahagiaan baharu. Nasihat yang bercanggah serta rasa cemburu yang berputik menjadikan perjalanan 30 hari itu semakin kompleks.

Persoalan yang mengemuka cukup relevan: adakah cinta dan pengalaman Ramadan mampu mengubah arah hidup seorang anak bandar? Atau impian luar negara tetap menjadi keutamaan?

Mr. Perfect Ramadan hadir sebagai kisah ringan yang sarat nilai, menyatukan humor, romansa dan pesan spiritual dalam durasi mikro yang mudah diakses generasi digital. TV3 terus memperkukuh jenamanya sebagai penerbit drama berkualiti sejak 1984, manakala Tonton kekal sebagai platform penstriman tempatan terkemuka yang menyokong karya-karya sebegini.

Saksikan Mr. Perfect Ramadan setiap hari jam 12 tengah hari di TikTok Drama Sangat dan Tonton.

Comments
* The email will not be published on the website.