Kenangan silam kadangkala tidak pernah benar-benar pudar. Ia bersembunyi, menunggu detik untuk kembali mengusik jiwa. Premis inilah yang menjadi teras drama Khianat Yang Terpilih, terbitan Mache Allstar dan arahan Ejump Mohd, sebuah naskhah yang merungkai gelora cinta terlarang serta harga yang perlu dibayar apabila nostalgia bertemu realiti.
Bermula 26 Februari 2026, setiap Isnin hingga Jumaat jam 6.58 petang di slot Akasia TV3, siri 30 episod ini menghimpunkan barisan pelakon seperti Ben Amir, Amyra Rosli, Ikmal Amry, Puteri Aishah, Ainina Ahmad dan Erin CTJ. Setiap karakter membawa dimensi tersendiri dalam naratif yang sarat konflik dan emosi.


Kisah bermula dengan Ali dan Asmida, dua jiwa yang pernah bertaut sejak zaman universiti sebelum terpisah oleh takdir. Waktu berlalu, masing-masing membina kehidupan baharu. Ali kini bergelar suami kepada Waheeda dan bapa kepada Afeeya, anak kecil yang mengalami ‘speech delay’. Sementara Asmida menjalani perkahwinan yang tidak sehaluan bersama Fahim.
Pertemuan semula berlaku apabila Ali mengambil alih tanggungjawab menjaga Afeeya dan mendaftarkannya di sekolah tempat Asmida mengajar. Pertautan semula itu kelihatan biasa pada zahirnya, namun bara lama perlahan-lahan menyala. Kenangan yang tidak pernah tertutup sempurna mula menggoncang benteng kesetiaan.


Di sinilah dilema memuncak. Setiap langkah Ali dan Asmida membawa implikasi yang bukan kecil. Cinta pertama yang kembali bersemi hadir bersama risiko memusnahkan perkahwinan yang telah dibina. Waheeda dan Fahim pula tidak sekadar menjadi watak sampingan, tetapi insan yang turut memikul beban pengkhianatan dan penyesalan.
Menurut Ben Amir, membawa watak Ali memerlukan pemahaman mendalam tentang konflik dalaman seorang lelaki yang terperangkap antara tanggungjawab sebagai suami dan bapa dengan godaan nostalgia. Satu keputusan kecil mampu mencetuskan gelombang besar yang menjejaskan semua pihak.

Naskhah ini mengajak penonton merenung persoalan getir: adakah peluang kedua sentiasa membawa kebahagiaan, atau sekadar membuka luka yang lebih dalam? Kesetiaan diuji, maruah dipertaruhkan, dan kepercayaan menjadi taruhan yang paling mahal.
Khianat Yang Terpilih turut boleh distrim secara eksklusif di iQIYI satu jam selepas siaran di TV3, sama ada melalui laman web atau aplikasi rasmi. Ikuti perkembangan terkini menerusi platform media sosial @TV3Malaysia dan @dramasangat.
