oleh: zizi hashim
27 Oct
27Oct

Langit dunia terus kelabu bagi anak-anak Gaza, tempat di mana bunyi dentuman menggantikan suara tawa, dan setiap pagi bermula dengan doa agar petang masih ada nyawa. Dari bumi yang remuk itulah lahir Hayya 3: Gaza, naskhah yang tidak berpura-pura besar, tetapi bergerak dengan jiwa yang benar. Ia bukan filem yang ingin memancing air mata semata-mata, melainkan selembar doa panjang yang dirakam melalui lensa dan nadi kemanusiaan.

Karya arahan sutradara Jastis Arimba ini kembali mempertemukan penonton dengan wajah lembut Oki Setiana Dewi, pelakon dan pendakwah yang selama ini tidak pernah berpisah dari kerja kemanusiaan. “Setiap adegan kami rakam dengan niat untuk mengingatkan dunia bahawa Palestin masih hidup, meski dunia memilih diam,” ungkapnya perlahan. Nada suaranya menyimpan sejenis kesungguhan yang hanya dimiliki mereka yang pernah menyentuh luka dengan tangan sendiri.

Filem terbitan Warna Pictures dan 786 Productions, dengan edaran Horizon Film Entertainment, bukan hanya hadir sebagai karya layar lebar, ia adalah sebahagian daripada inisiatif besar yang disokong oleh Cinta Gaza Malaysia, Malaysian Women’s Coalition for Al Quds and Palestine, Friends of Palestine, serta Palestinian Cultural Organization. Setiap tiket yang dibeli bukan hanya izin menonton, tetapi juga bentuk sedekah kecil yang mengalir terus kepada mereka yang kehilangan segalanya.

“Menonton bererti bersedekah,” kata Oki dengan mata yang basah namun tenang. “Sepuluh peratus hasil filem ini akan disumbangkan kepada Gaza, dan selebihnya untuk melahirkan lagi karya yang membawa pesan kebaikan.” Ada sesuatu yang indah tentang kejujuran itu, tentang keinginan untuk mengubah dunia bukan dengan slogan, tapi dengan karya dan empati yang nyata.

Hayya 3: Gaza mengikuti perjalanan Abdullah Gaza, anak yatim yang bapanya gugur sebagai sukarelawan di Palestin. Nasib membawanya ke rumah anak yatim, tempat dia bersahabat dengan Hayya, seorang gadis kecil Palestin yang polos namun berani. Persahabatan mereka yang sederhana berubah menjadi simbol ketabahan, tentang dua jiwa kecil yang belajar bertahan di tengah bayang maut. Lakonan Amna Shahab dan Azamy Syauqi memberi nadi kepada kisah ini; lembut tapi menggetarkan.

Menyelusuri durasi filem, penonton akan menemukan bahawa Hayya 3 tidak sekadar berbicara tentang perang, tetapi tentang cinta dalam bentuk paling purba, cinta yang lahir dari kehilangan, cinta yang memilih untuk terus hidup walau segalanya telah musnah. Sinematografinya menyalin keindahan sekaligus kehancuran Gaza; debu, langit merah, dan wajah anak-anak yang masih tersenyum di antara runtuhan dan kemusnahan.

Sokongan kuat daripada organisasi Malaysia membuktikan bagaimana seni boleh menjadi bahasa solidariti. “Filem ini mengajak kita untuk memahami, bukan sekadar bersimpati,” kata salah seorang wakil Cinta Gaza Malaysia. “Kerana memahami membuat kita bergerak.”

Ketika tayangan rasmi Hayya 3: Gaza diumumkan di seluruh pawagam Malaysia pada 30 Oktober 2025, ia bukan sekadar sebuah peristiwa budaya tetapi satu panggilan jiwa. Setiap detik di layar terasa seperti ziarah batin, membawa kita kepada pertanyaan yang paling jujur: masihkah kita punya ruang untuk peduli?

Ketika kredit akhir bergulir, yang tinggal bukan hanya gambar, tetapi gema suara anak-anak Gaza yang masih menunggu subuh. Dan mungkin, seperti Oki, kita pun akan menyedari bahawa menonton filem ini adalah sejenis doa. Doa yang bergerak dari mata, menuruni dada, lalu mengakar di hati.

Hayya 3: Gaza akhirnya menjadi lebih dari sinema. Ia adalah seruan agar manusia kembali mengingat, bahawa di tengah dunia yang sibuk berlumba, ada tanah yang masih menanti keadilan dan setiap daripada kita masih punya pilihan untuk tidak berpaling.

Comments
* The email will not be published on the website.