Ada band yang hadir, lalu pergi. Tapi ada juga yang tetap wujud, meski waktu berubah, meski suara dunia silih berganti. Dengan semangat itu, Exists kembali merangkum seluruh perjalanan mereka dalam sebuah konsert berskala besar berjudul Exists Memento Mori, sebuah perayaan yang bukan sekadar tentang muzik, tetapi tentang waktu, ketahanan dan makna sebuah kewujudan.
Mengambil inspirasi daripada frasa Latin Memento Mori, yang membawa falsafah menghargai setiap detik kehidupan, konsert ini menjadi refleksi kepada perjalanan 35 tahun Exists. Dari ledakan fenomena Untukmu Ibu, melalui fasa jatuh bangun, hingga kembali berdiri sebagai nama yang terus relevan dalam ingatan peminat.



Dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos 2026 di Unifi Arena, Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam, konsert ini menjadi momen penting apabila tujuh figura utama Exists kembali sepentas terdiri dari Ajai, Shah, Ujang, Along, Musa bersama dua vokalis yang membentuk era berbeza kumpulan ini, Mamat dan Ezad. Gabungan ini bukan sekadar nostalgia, ia adalah manifestasi kepada perjalanan panjang yang dibina atas kreativiti, perbezaan dan kepercayaan antara satu sama lain.
Sebuah Langkah Seiringan yang tidak pernah benar-benar terputus walaupun diuji masa dan keadaan. Menurut pihak penganjur, ICON Entertainment, konsert ini diangkat sebagai sebuah “anugerah” buat peminat, menghimpunkan lagu-lagu yang telah lama “dirantai digelangi rindu” dalam hati pendengar. Setiap lagu yang bakal dipersembahkan dipilih dengan satu tujuan: untuk dinyanyikan bersama, untuk dirasai bersama.



Meski Exists tidak asing dengan pentas konsert sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Memento Mori hadir dengan skala dan semangat yang berbeza. Ia bukan sekadar persembahan tetapi sebuah penghargaan terhadap legasi yang dibina sejak dekad lalu. Menurut Iman Tang, perjalanan selama 35 tahun dalam industri bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi dalam dunia muzik yang sentiasa berubah. Namun Exists kekal bertahan. Bukan hanya kerana nama, tetapi kerana karya yang terus hidup dan menyentuh generasi demi generasi.
Bagi anggota Exists sendiri, konsert ini membawa makna yang lebih mendalam. Along menyifatkan ia sebagai pertemuan tujuh “kepala” yang pernah mencorakkan perjalanan band ini, sebuah gabungan pengalaman, emosi dan penghormatan terhadap apa yang telah dilalui bersama. Walaupun pernah berdepan perubahan anggota dan kontroversi, mereka tetap memilih untuk meletakkan perbezaan di luar ruang muzik, memastikan bahawa apa yang dibina bersama terus kekal utuh.


Malah menurut Musa, Exists mungkin tidak sentiasa lantang di permukaan, tetapi kewujudannya tetap mengalir perlahan, masuk ke dalam ingatan, tinggal dalam fikiran, tanpa perlu dipaksa.
Untuk peminat, pelbagai kategori tiket ditawarkan dengan nama-nama yang diinspirasikan daripada lagu ikonik Exists seperti Untukmu Ibu, Mencari Alasan, Langkah Seiringan, Seperti Dulu, Rahsia Pohon Cemara dan Percayakan Siti, selain pakej eksklusif Jesnita untuk pengalaman lebih istimewa.
Jualan tiket akan bermula pada 30 April 2026 jam 11 pagi menerusi platform Ticket2U, membuka ruang kepada peminat untuk menjadi sebahagian daripada malam yang dijangka sarat emosi dan kenangan ini.


Lebih daripada sekadar konsert, Exists Memento Mori adalah sebuah pengingat bahawa dalam dunia yang sentiasa berubah, ada sesuatu yang tetap kekal… iaitu rasa yang ditinggalkan oleh muzik yang jujur. Dan mungkin, apabila lampu pentas menyala malam itu, kita semua akan sedar bahawa sesetengah lagu tidak pernah tua… kerana ia hidup dalam diri kita.


