oleh: zizi hashim
26 Jun
26Jun

Sesetengah kenangan tidak direkod dalam bentuk gambar ataupun kata-kata, tetapi disimpan rapi di dalam serangkai melodi. Irama yang mengalun pada gig kecil di penjuru pekan, lagu yang dikenali hanya oleh komuniti kecil namun punya makna sebesar dunia. Konsert Muzik Kita! menghidupkan kembali suara-suara yang pernah menjadi denyut nadi generasi, dan menyulamnya bersama gelombang baharu yang kini menulis kisahnya sendiri.

Tanggal 2 Ogos 2025, MAEPS Serdang Hall A akan menjadi medan pertembungan dua dunia. Suara dari era Grunge yang berkumandang lewat kaset lusuh, dan bisikan generasi baharu yang menjadikan muzik sebagai ruang penyembuhan batin. Di bawah inisiatif Hard Global Ventures, acara ini menyatukan nama-nama tersohor dan kultus dalam dunia muzik bawah tanah: Butterfingers, Monoloque, Ki Misri, Fugo, Perry, Fimie Don, Satwo, Heidi Moru, Nadarasa, Dukes, Mardiana, dan Salammuzik, disertai rakan serumpun dari Indonesia, Nosstress. Semuanya berdiri di pentas yang sama, dalam semangat yang satu.

Setiap barisan ini mewakili lebih daripada genre. Mereka adalah penanda waktu, pembawa cerita, dan penyambung rasa. Bagi sebahagian peminat, nama-nama ini adalah cerminan zaman, simbol perlawanan terhadap arus pasaran yang sering mengenepikan suara-suara jujur. Dan kini, suara-suara itu diberi semula ruangnya. Bukan di sudut terpencil, tetapi di tengah-tengah panggung terbuka. Aril Pilus, Ketua Pegawai Eksekutif Hard Global Ventures, yang juga pernah dikenali sebagai selebriti arus perdana, tampil dengan visi baharu selepas menimba ilmu dalam bidang industri kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM). 

Katanya, konsert ini adalah cara mendidik komuniti muzik bawah tanah untuk saling menghormati antara generasi. “Kita mahu generasi baharu menghargai akar. Dan kita mahu generasi lama membuka telinga kepada suara segar yang kini membawa bendera. Dahulu kita pogo dan melompat, hari ini mereka dengar sambil menulis puisi tetapi semua itu tetap muzik. Tetap rasa,” ujarnya penuh semangat.

Bersama impian itu, hadir juga keberanian. Aril mengakui bukan mudah menganjurkan acara seumpama ini. Beberapa percubaan pernah menemui jalan buntu. Namun dengan sedikit pengalaman, sedikit ilmu, dan sokongan sahabat seperjuangan, dia menyusun langkah, bukan demi nama, tetapi demi memastikan ruang ekspresi ini tidak mati ditelan algoritma dan keterlihatan semata.

Loque, ikon besar dalam sejarah muzik alternatif Malaysia, akan membuka konsert bersama Monoloque, dan menutup tirai sebagai frontman Butterfingers, satu simbolik yang menyentuh. Dari baris pembuka hingga penghujung, beliau membawa gelombang yang tidak pernah surut. Lagu-lagu dari era 1.2 Milligrams (1996), Butter Worth Pushful (1997) hingga Transcendence (1999) bakal dikembalikan ke udara. Loque menyebutnya sebagai “Grunge Totok” sebuah istilah yang berbunyi kasar tetapi sarat kasih terhadap warisan bunyi yang kini menjadi sebahagian sejarah muzik alternatif Malaysia.

“Ramai tanya bila kami nak mainkan lagu-lagu lama tu semula. Inilah masanya. Rugi kalau tak datang. Butterfingers akan jadi persembahan penutup malam itu,” katanya, seolah memberi salam akhir kepada satu zaman yang telah lama menanti dibangkitkan semula. Lebih menarik, Atilia dan Herman Tino dijangka hadir sebagai tetamu undangan Monoloque, pertembungan antara jazz, balada rakyat dan bunyi eksperimental yang dijangka mencipta dimensi persembahan yang tidak terduga.

Fimie Don, pelakon yang kini serius menceburi dunia nyanyian, melihat penyertaan dalam Muzik Kita! sebagai satu penghormatan besar. “Saya mahu tonjolkan bakat saya bukan hanya sebagai pelakon, tetapi penyanyi yang punya suara dan cerita sendiri. Apatah lagi bila dapat sepentas dengan mentor saya, Loque,” katanya penuh rasa teruja.

Konsert ini turut mendapat sokongan daripada penaja seperti MJTX PERFUME, SURENITY, serta rakan strategik EVOVITY (F&B), Sutramas (Beef Roti), ERA, GEGAR, SINAR selaku radio rasmi dan Restoran Banafee selaku lokasi sidang media. Tiket telah mula dijual sejak April lalu di www.ticketmelon.com, bermula serendah RM75 hingga pakej VIP RM300++.

Lebih dari sekadar deretan persembahan, Konsert Muzik Kita! adalah medan kesedaran bahawa muzik bukan milik masa lalu atau masa depan, ia adalah milik sesiapa yang berani merasai dan memahami. Setiap genre, setiap generasi punya cara, tetapi semuanya berpaksikan kepada emosi yang jujur. Tanpa penapisan trend. Tanpa manipulasi algoritma.

Dan akhirnya, muzik akan selalu jadi tempat kita kembali. Ketika dunia terasa bising, ketika suara kita sendiri tidak lagi didengar. Di sinilah kita mendengar semula. Dan di sinilah Muzik Kita! merangkul kita semua, dengan erat dan penuh kasih sayang.

Foto Oleh: Pa Pa Din

Comments
* The email will not be published on the website.