oleh: zizi hashim
27 Jun
27Jun

Muncul dari belukar sosial media, tidak untuk sekadar tumpang lalu, tetapi untuk membina jalannya sendiri, Ki Misri hadir berbekalkan nada vokal tak menjerit. Suara yang mengalun perlahan, tetapi mengetuk pintu hati dengan lebih lama. Begitulah Ki Misri, penyanyi muda asal Johor yang membawa roh muzik rakyat dalam nada folk yang jujur, senyap, namun menyentuh. Cukup untuk membuat kita diam, duduk dan mendengar dalam dunia muzik yang kerap menelan wajah-wajah baharu tanpa belas.

Pemilik nama penuh Amir Zaki bin Misri ini mahu dikenali sebagai Ki Misri. Hadir dari pusat gemerlap media sosial, dengan cerita-cerita rakyat yang dikutip daripada suara netizen dan pengalaman komuniti, Ki sebenarnya merupakan seorang pelajar jurusan pemasaran digital di Johor dan kini sedang menjalani latihan praktikal di Selangor. Namun jiwanya berkiblat kepada seni, menyulam lirik dan melodi dengan bahasa yang tenang, tetapi sarat rasa.

“Saya bukan hanya bercerita tentang saya. Lagu saya datang dari apa yang orang kongsi, dari komen, dari luahan yang tak sempat diangkat jadi tajuk berita,” katanya. Maka tidak hairan kalau pendengar merasa dekat. Lagu-lagunya seperti "Tentang Siang, Malam Dan Romantis" diserap dari denyut kehidupan seharian. Ada yang tentang cinta, ada tentang kehilangan, dan ada juga tentang diam yang tidak sempat dimengertikan.

Menariknya, Ki mula membenihkan karya seninya sejak 2021. Awalnya hanya cover lagu di TikTok dan YouTube, namun dari medium yang sering diremehkan itulah namanya mengakar. Kini, dengan lebih 1.8 juta pengikut, 60% daripadanya dari Indonesia, suaranya merentasi sempadan. Ramai yang menyangka dia penyanyi dari Indonesia kerana nada dan gaya persembahannya terasa akrab dengan selera mereka. “Saya pun kadang terkejut. Tapi mungkin nama ‘Ki Misri’ dan cara saya menyanyi membuatkan ramai keliru,” ujarnya bersahaja.

“Saya bukan penyanyi yang lengkap dengan teori dan nota tinggi. Tapi saya punya cerita.” Begitu kesan yang tergambar dalam tutur katanya. Lagu-lagu ciptaannya bukan hanya catatan peribadi. Ia dibina dari serpihan hidup orang lain, komen-komen rawak, pengalaman masyarakat, suara-suara kecil yang sering terabai. Seperti kisah rakyat yang dikumpul semula dalam bentuk melodi.

Karya-karya seperti "Hidup", "Rumah Bahagia", "Kerna Perasaan", "Bukan Caranya" dan lain-lain adalah manifestasi kepekaan Ki terhadap rasa. Ada yang menyangka itu semua lagu saduran, kerana terlalu sebati dengan naratif awam. Namun semua itu lahir dari hatinya sendiri. Bahkan suara uniknya yang disangka milik penyanyi Indonesia membuat ramai keliru tentang identitinya. Nama 'Ki Misri' yang menggabungkan 'Zaki' dan nama ayahnya 'Misri' menambah rasa eksotik yang menyatu dengan personalitinya, lembut, rendah hati, dan tenang.

“Saya mahu dikenali bukan hanya sebagai budak yang cover lagu orang,” ujar Ki. “Saya mahu berdiri sebagai pencipta, pembawa kisah, dan pelukis rasa.” Maka setiap bait yang dinyanyikan bukan hanya untuk hiburan, tapi seolah-olah doa yang dirangkai dari hati yang tulus.

Konsert “Muzik Kita” menjadi pentas pertamanya di hadapan khalayak yang lebih luas. Sebaris dengan nama-nama gah seperti Butterfingers, The MonoloQue dan Hady Morrow, Ki tidak merasa kerdil sebaliknya bersyukur. Bagi dirinya, ini adalah langkah menuju pengiktirafan bahawa suara hati juga layak diberi ruang.

Meski masih baharu dalam dunia seni, pengalaman kecil seperti membuat persembahan di kafe atau menerima mesej penghargaan daripada pendengar memberi makna mendalam buatnya. “Ada orang datang cakap, ‘Saya suka lagu awak’. Itu sahaja cukup buat saya terharu,” katanya sambil tersenyum. Dan senyuman itu bukan milik seseorang yang mengejar glamor, tetapi milik seorang pemimpi yang akhirnya melihat mimpinya menetas menjadi nyata.

MAP Music kini menjadi label yang menyokong langkah Ki, namun dia masih percaya bahawa kekuatan sebenar terletak pada kejujuran dan hubungan dengan komuniti pendengar. “Genre folk ini jarang orang bawa sekarang. Tapi saya percaya, suara yang bercerita takkan lapuk dimakan masa.” Jauh di lubuk hatinya, Ki tahu bahawa perjalanan ini masih panjang. Genre mungkin berkembang, eksperimen mungkin berlaku, tetapi akar kepada segala-galanya akan tetap sama: lagu-lagu yang dicipta untuk menyentuh.

“Orang kenal suara saya, tapi bukan wajah saya. Jadi perjuangannya sekarang ialah untuk orang tahu siapa di sebalik suara itu.” Dan ya, walaupun ada dorongan untuk mencuba genre lain, Ki tetap setia pada akar muzik folk dan storytelling. Dia percaya, suara yang jujur akan menemukan tempatnya sendiri. “Kalau genre kita berubah terlalu jauh, peminat pun akan hilang arah. Saya nak jadi suara yang konsisten, meski waktu berubah.”

Kini, Ki Misri bukan hanya budak TikTok yang pandai nyanyi lagu cover. Dia penulis, penyanyi dan pengumpul rasa. Suaranya mewakili mereka yang tidak sempat berbicara. Dan dari lorong sunyi itulah, dia mencipta gema.

Foto Kredit: Pa Pa Din

Comments
* The email will not be published on the website.