oleh: zizi hashim
24 Feb
24Feb

Ramadan tahun ini terasa lebih berwarna apabila program realiti drama masakan pertama seumpamanya di Malaysia, Dapur Goodday, kembali dengan musim kedua. Bermula 18 Februari 2026, rancangan berdurasi 30 minit ini menemui penonton setiap hari jam 5.30 petang di Astro Ria, serta boleh distrim melalui Astro GO dan portal Astro Gempak.

Musim baharu ini meneruskan konsep unik “Tengok Hari Ini, Esok Boleh Beli”, satu idea yang menghubungkan dunia skrin dan realiti. Setiap hidangan yang dipaparkan dalam episod harian akan dijual kepada orang ramai di Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya pada keesokan hari. Menu berubah setiap hari mengikut sajian yang diadun menggunakan susu Goodday dalam rancangan, menjadikan pengalaman Ramadan lebih interaktif dan segar.

Konsep inovatif ini dicetuskan oleh Santharuban Thurai Sundaram selaku Penerbit Eksekutif Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani, manakala idea program diolah dan ditulis oleh Sham Hashim dari Astro Gempak.

Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara, Astro, Raja Jastina Raja Arshad, “Selepas kejayaan musim pertama tahun lalu, kami amat teruja untuk kembali dengan musim kedua Dapur Goodday yang tampil dengan skala dan pendekatan lebih dinamik. Menerusi kerjasama berterusan bersama Goodday, kami membawa kelainan dengan mengetengahkan watak ikonik Inspektor Sani daripada filem pecah panggung Polis Evo sebagai teraju penceritaan.”

Beliau turut menambah bahawa peluasan ke Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya merealisasikan konsep dari skrin ke pinggan secara lebih menyeluruh dan imersif, serta merakamkan penghargaan kepada Goodday atas sokongan berterusan.

Musim kedua ini menampilkan kemunculan watak ikonik Inspektor Sani daripada filem Polis Evo, yang dijayakan oleh Zizan Razak sebagai watak utama. Penonton akan mengikuti operasi penyamaran Sani sebagai peniaga makanan di Kampung Hari Baik untuk menjejaki Capik, dalang dadah licik yang mahir menyamar.

Dibantu pegawai Gen Z yang bijak dan bersahaja, Ain, Inspektor Sani menggunakan hidangan viral ciptaannya, ‘Ayam Golek Tertumpah Susu’, sebagai strategi mendekati komuniti kampung dan mengesan jejak Capik. Resipi ini menjadi nadi penceritaan, diinspirasikan daripada cita rasa tempatan dan diperkaya dengan susu Goodday, menghasilkan sajian berkrim dan memikat selera.

Bersempena Ramadan, ‘Ayam Golek Tertumpah Susu’ ditawarkan pada harga promosi istimewa serendah RM0.99 seekor ayam untuk dua hari terawal Ramadan. Selepas tempoh tersebut, menu ini kekal dijual pada harga berpatutan agar dapat dinikmati pelbagai lapisan masyarakat.

Program ini turut dimeriahkan kemunculan watak-watak popular daripada pelbagai rancangan Astro seperti ASP Farouk (Fauzi Nawawi) dan Chao (Michael Ang) dari Polis Evo, Saiful (Saiful Apek) dari Senariounion, Botol (Chubb-E) dari Projek Anchor SPM, Ezie (Arena Wan) dari Generasi Perfect 10, Nayan (Ropie) dan Kak Limah (Delimawati) dari Hantu Kak Limah, Effa (Wafariena Roslan) dari Sepahtu Reunion ‘Gossip Girls’, Sarjan Ain ‘Tech Support’ (Isyariana), Capik (Daniel Zaini) dari X-Change, Dali (Dato Aaron Aziz) dari Banduan, Ammar (Syarul Ezani) dari Akad Yang Hilang, Pamakbul dari Malam Terlarang, Megat Hafiz (Edaman Othman) dari Thariq Ridzuwan, Kak Munah (Watie Ellite) serta watak baharu Boboy (Dzul Haziq).

Festival Ramadan Putrajaya 2026 yang dilancarkan secara rasmi turut menyaksikan kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh ke bazar Dapur Goodday. Lawatan tersebut diserikan dengan pengagihan 300 kotak susu tajaan Goodday kepada pengunjung oleh barisan selebriti termasuk Zizan Razak, Isyariana, Saiful Apek dan Fauzi Nawawi.

Gabungan elemen drama, komedi dan kulinari menjadikan Dapur Goodday: Misi Inspektor Sani antara tontonan wajib sepanjang Ramadan. Ia bukan sekadar rancangan masakan, tetapi pengalaman menyeluruh yang menghubungkan hiburan dan rasa dalam satu perjalanan yang lebih dinamik.

Comments
* The email will not be published on the website.