Di tengah limpahan naskhah televisyen yang silih berganti menghiasi layar, Ikatan Terlarang hadir bukan sekadar sebagai kisah rumah tangga yang retak, tetapi sebuah perjalanan emosi yang menyesakkan dada. Setiap episod seolah-olah mengheret penonton masuk ke dalam pusaran pengkhianatan, rahsia dan luka yang semakin sukar disembunyikan.
Antara yang paling mengundang reaksi ialah watak Lukman, lakonan mantap Hisyam Hamid. Lelaki yang pada mulanya tampak sempurna sebagai suami dan ayah itu kini berubah menjadi simbol pengkhianatan apabila tindakannya berlaku curang terhadap isterinya, Azura, bersama Bella lakonan Mawar Rashid: wanita yang bukan sahaja kakak iparnya, malah sahabat yang paling dipercayai dalam hidup mereka.


Keberkesanan lakonan Hisyam membuatkan ramai penonton meluahkan rasa geram di media sosial. Watak Lukman kini dianggap antara karakter paling dibenci dalam drama tempatan ketika ini. Namun di sebalik kejayaan menghidupkan sisi gelap seorang lelaki yang memilih jalan salah, Hisyam menegaskan bahawa pengkhianatan bukan sesuatu yang boleh diterima dalam kehidupan sebenar.
Menurut aktor kelahiran Singapura itu, tidak sepatutnya wujud alasan untuk seseorang yang sudah berumah tangga mencari cinta lain di luar hubungan yang dibina bersama pasangan. “Tidak ada istilah jatuh cinta lagi. Dalam hal ini apabila sudah ada isteri jangan mengada-ngada nak jatuh cinta dengan orang lain. Nombor satu punya kesalahan yang tidak boleh dibuat dan tidak boleh berlaku bila seseorang itu ada isteri. The biggest no-no ever!” tegasnya.


Hisyam turut mengakui bahawa walaupun manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan, curang merupakan sesuatu yang sukar diterima dan dimaafkan dalam sesebuah hubungan. “Saya secara peribadi pun apabila berada dalam sesuatu perhubungan, tidak akan buat begitu. Ya, kita mungkin ada buat kesilapan dan kesalahan, tetapi curang adalah satu perkara yang tidak boleh diterima,” katanya.
Sementara itu, satu lagi babak yang mencetuskan perbualan hangat ialah adegan Azura menampar Lukman selepas mula mengesyaki suaminya menyembunyikan sesuatu. Walaupun ketika itu identiti wanita yang menjadi orang ketiga masih belum terbongkar, ramai penonton mengakui berasa puas melihat kemarahan Azura akhirnya meledak selepas sekian lama dipermainkan.Bagi Erysha Emira, babak tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakonkan. Demi mendapatkan sudut dan syot terbaik, adegan tampar itu perlu diulang berkali-kali sehingga tangannya lebam.
Namun bagi pelakon muda itu, kesakitan fizikal tersebut jauh lebih ringan berbanding beban emosi yang cuba dibawanya sebagai Azura, seorang wanita yang dikhianati oleh dua insan paling dipercayainya. “Sebenarnya tangan saya lebam sebab perlu melakukan babak tampar berkali-kali. Tetapi saya cuba letakkan diri saya sebagai Azura yang telah dikhianati dan dicurangi hampir seluruh hidupnya,” ujar Erysha.


Semakin menghampiri penghujung cerita, Ikatan Terlarang terus menghidangkan konflik yang makin meruncing. Satu demi satu rahsia keluarga mula terungkai, membuka ruang kepada lebih banyak persoalan tentang kesetiaan, dendam dan harga sebuah kepercayaan.
Diterbitkan oleh I Fabulous Art Media & Event Sdn. Bhd. menerusi penerbit Noorazam Shah Senin dan diarahkan oleh Riza Baharudin, drama ini turut mendapat sentuhan penulis Indonesia terkenal, Oka Aurora yang pernah mencipta fenomena menerusi karya seperti Layang-Layang Perkahwinan, Curang Tanpa Niat, Bahagia Yang Tertangguh dan filem Ipar Adalah Maut.
Menampilkan gandingan pertama antara Hisyam Hamid dan Erysha Emira, drama 28 episod ini mengisahkan Azura, seorang usahawan berjaya yang memiliki empayar kecantikannya sendiri. Di sebalik kehidupan yang tampak sempurna bersama suami dan anak tersayang, Azura sebenarnya sedang berdepan badai yang perlahan-lahan meruntuhkan seluruh dunianya.

Apabila pengkhianatan terbongkar, bukan sahaja rumah tangga yang menjadi taruhan, malah maruah, masa depan dan hubungan antara dua keluarga turut berada di ambang kehancuran. Dalam keadaan serba getir itu, Azura perlu memilih sama ada terus terperangkap dalam kitaran kebencian atau bangkit membina kehidupan baharu yang lebih bermakna.
Selain Hisyam Hamid dan Erysha Emira, drama ini turut dibintangi Adrianna Adnan, Raja Azura, Arash Mohamad, Alif Hadi, Mawar Rashid, Didie Astillah, Syazwan Razak, Puteri Rayyqa, Zarina Zainuddin, Yaya Maembong, Jay Iskandar dan Esma Danial. Ikatan Terlarang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam menerusi Slot Megadrama Astro Ria dan juga platform Sooka.