Rindu yang tertangguh sejak 29 September 2023 akhirnya menemukan jawapan. Selepas kemunculan menerusi konsert A Night At The Orchestra – Chapter 5, kerinduan Baladewa di Malaysia kembali bergetar apabila Dewa 19 mengumumkan konsert berskala besar berjudul Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia yang bakal berlangsung pada 6 Jun 2026 di Axiata Arena Bukit Jalil.
Judul yang dipilih bukan sekadar romantis pada bunyi, tetapi menyimpan makna sentimental yang mendalam. Malaysia, menurut pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, sentiasa menjadi ruang istimewa dalam perjalanan Dewa 19 sejak mereka pertama kali menembusi pasaran dan memiliki kelompok peminat tersendiri di sini. Ada cinta yang terasa “tertinggal”, ada kisah yang belum selesai.


Konsert anjuran Icon Entertainment ini menjanjikan kehadiran penuh anggota penting termasuk Ahmad Dhani bersama Andra Ramadhan, Yuke Sampurna dan Agung Yudha. Lebih istimewa, pentas ini bakal mempertemukan tiga vokalis utama yang terdiri dari Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe atau Ello, bersama Tyo Nugros, menjanjikan rangkaian lagu yang sarat memori seperti Roman Picisan, Sedang Ingin Bercinta dan deretan hit lain yang sudah menjadi himne lintas generasi.
Keistimewaan terbesar yang mencatat sejarah ialah penyatuan dua band gergasi Indonesia di atas satu panggung buat pertama kali di Malaysia. Padi Reborn bakal tampil sebagai band jemputan istimewa, membawa karya-karya ikonik seperti Kasih Tak Sampai, Begitu Indah dan Menanti Sebuah Jawaban. Pertemuan Baladewa dan Sobat Padi di ruang yang sama menjadi simbol persahabatan muzik yang melangkaui sempadan.


Konsep yang diketengahkan tidak berorientasikan extravaganza berlebihan. Sebaliknya, malam tersebut akan dipenuhi atmosfera kasmaran, menghidangkan untaian lagu cinta yang membalut arena dengan rasa intim dan penuh pesona. Iman Tang menegaskan bahawa karisma kedua-dua band sudah cukup ampuh untuk menarik ribuan peminat tanpa perlu gimik keterlaluan.
Menariknya, tema pakaian ditetapkan secara ringkas namun penuh makna: T-SHIRT BAND ORIGINAL. Seruan ini menjadi manifestasi identiti sejati peminat yang setia menyimpan koleksi rasmi Dewa 19 mahupun Padi Reborn. Kesederhanaan yang autentik menjadi lambang solidariti komuniti muzik.


Tiket mula dijual pada Jumaat, 27 Februari 2026 jam 11 pagi menerusi Ticket2U. Lima kategori harga ditawarkan iaitu RM236 (Atas Nama Cinta), RM288 (Bala Sobat), RM388 (Pangeran Cinta), RM428 (Laskar Cinta) dan RM488 (Sedang Ingin Bercinta). Konsert dijadualkan bermula jam 8 malam, menjanjikan satu lagi detik monumental dalam sejarah penganjuran konsert rock serantau.
Rakan strategik yang terlibat termasuk Sinar FM, ERA FM, Zayan, THR Gegar, The News.com.my, Gempak, Kesion, Warisan Outdoor, Opah Strawberries dan DTC Car Lifestyle. Keseluruhan kolaborasi ini memperkukuh keyakinan bahawa 6 Jun 2026 bakal mencatat lembaran baharu: pertembungan dua legenda yang menyatukan cinta, memori dan semangat lintas generasi.

