Luka yang pernah singgah dalam hidup manusia tidak pernah benar-benar hilang. Ada yang cuma belajar menyimpannya lebih dalam, sambil berharap masa mampu memadam rasa yang masih tertinggal. Namun kadangkala, takdir datang mempertemukan semula dua hati pada waktu yang paling tidak dijangka. Ketika perasaan lama belum sempat benar-benar mati. Dari ruang emosi itulah Cinta Kedua perlahan-lahan menambat hati penonton dan kini muncul sebagai antara drama paling hangat distrim di platform Tonton.
Sejak mula ditayangkan pada 20 April lalu, drama bersiri 28 episod itu terus menunjukkan peningkatan luar biasa apabila merekodkan lonjakan lebih 40% jumlah penstriman, selain peningkatan lebih 50% masa tontonan pada minggu kedua berbanding minggu pertama tayangan. Momentum tersebut sekali gus meletakkan Cinta Kedua dalam kelompok tiga drama paling banyak distrim di platform Tonton ketika ini. Satu pencapaian yang membuktikan bagaimana kisah cinta, luka dan rahsia keluarga masih mempunyai tempat besar di hati penonton tempatan.


Namun kekuatan drama ini bukan sekadar pada angka tontonan. Yang membuat penonton terus melekat di depan skrin adalah bagaimana perjalanan hidup Bella Ammara dan Daniel Rizki dibina dengan emosi yang terasa dekat dan manusiawi. Dibintangi Hafidz Roshdi, Raden Zaharatul dan Syarul Ezani, drama ini mengangkat kisah Ammara, seorang wanita yang cuba menyusun kembali hidupnya selepas diceraikan dengan talak tiga. Dalam keadaan masih bergelut dengan luka masa lalu, dia dipertemukan semula dengan Rizki, lelaki yang pernah hadir dalam hidupnya pada waktu yang paling tidak dijangka.
Pertemuan semula itu perlahan-lahan membuka kembali ruang emosi yang selama ini cuba dikunci Ammara. Tetapi seperti kebanyakan kisah cinta yang tidak pernah benar-benar selesai, hubungan mereka turut dibayangi rahsia lama yang masih belum terlerai sepenuhnya. Memasuki separuh kedua tayangan, Cinta Kedua kini bergerak ke fasa penceritaan yang lebih berat dan emosional. Setiap episod mula memperlihatkan sisi rapuh watak-wataknya: tentang rasa bersalah, peluang kedua dan ketakutan manusia untuk kembali percaya kepada cinta selepas pernah hancur.

Ramai penonton mula meluahkan rasa geram, sedih dan emosional terhadap perjalanan Ammara dan Rizki di media sosial. Ada yang mengakui mereka “stress” menonton hubungan dua watak tersebut kerana terlalu banyak perkara yang belum selesai, sementara ada juga yang berharap Ammara akhirnya memilih kebahagiaannya sendiri.Itulah yang menjadikan drama ini terasa lebih hidup.
Cinta Kedua tidak cuba menjadi kisah cinta sempurna. Sebaliknya, ia memperlihatkan bagaimana manusia sering terperangkap antara memori lama, ego dan rasa takut untuk membuka hati semula. Dalam masa yang sama, kemunculan Hafidz Roshdi dalam drama ini turut menjadi antara faktor yang menarik perhatian ramai penonton. Aura dan emosi yang dibawanya sebagai Rizki terus menjadi bahan bualan peminat drama tempatan sejak episod awal ditayangkan.
Seperti luka yang belum benar-benar sembuh, perjalanan Ammara dan Rizki juga masih jauh daripada penamatnya. Dan mungkin itulah sebab penonton terus kembali setiap malam, untuk melihat sama ada cinta yang pernah musnah masih mampu diberi peluang kedua. Cinta Kedua kini bersiaran secara eksklusif di Tonton setiap Isnin hingga Jumaat, jam 12 tengah malam.