oleh: zizi hashim
14 Apr
14Apr

Riuhnya perbualan di media sosial, derasnya emosi yang terbit setiap malam. Segala-galanya seakan berpunca dari satu perkara yang sama: cerita yang terlalu dekat dengan kehidupan. Sepanjang Ramadan hingga Syawal tahun ini, TV3 sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju drama tempatan menerusi tiga naskhah yang bukan sekadar popular, tetapi menjadi fenomena iaitu Kerana Cinta Itu Dusta, Khianat Yang Terpilih dan Bila Cinta Menjadi Dosa.

Tiga judul ini bergerak dalam arus yang sama, mengangkat konflik cinta, pengkhianatan dan emosi manusia yang kompleks namun masing-masing hadir dengan kekuatan tersendiri, mencipta gelombang yang tidak berhenti di kaca televisyen sahaja, malah melimpah ke ruang digital. Kerana Cinta Itu Dusta muncul sebagai antara naskhah paling hangat diperkatakan, mencatat 880 juta capaian media sosial dan dilabel secara berseloroh oleh penonton sebagai “punca darah tinggi rakyat Malaysia”, satu gambaran jelas tentang intensiti jalan ceritanya.

Sementara itu, Khianat Yang Terpilih menonjol dengan pencapaian 10 juta penonton di televisyen serta 950 juta capaian digital: angka yang mencerminkan kekuatan penceritaan dan daya tarikan barisan pelakonnya. Lakonan Amyra Rosli mendapat pujian meluas, manakala gandingannya bersama Ikmal Amry mencetuskan fenomena tersendiri apabila wataknya sering digelar “green flag, green forest” oleh peminat. 

Tidak kurang hebat, Bila Cinta Menjadi Dosa turut mencipta impak besar dengan 9 juta penonton setakat episod ke-21 serta 850 juta capaian media sosial. Drama ini bukan sahaja menduduki tangga pertama di Tonton, malah terus kekal sebagai antara kandungan paling banyak ditonton. Watak Eva yang dibawakan oleh Sarimah Ibrahim menjadi pusat perdebatan hangat di platform seperti TikTok, Threads dan X, dengan tanda pagar #BilaCintaMenjadiDosa meraih lebih 400 juta paparan, membuktikan betapa kuatnya pengaruh sebuah karakter dalam membentuk perbualan awam.

Fenomena ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia lahir daripada gabungan skrip yang dekat dengan realiti, pelakon yang menghidupkan emosi dengan jujur, serta strategi edaran merentas platform yang membolehkan cerita ini sampai kepada khalayak yang lebih luas. Di tengah kejayaan ini, satu detik penting semakin menghampiri. Episod akhir Kerana Cinta Itu Dusta yang bakal ditayangkan malam ini, menjadi titik penutup kepada konflik yang sekian lama menghantui penonton.

Segala persoalan, segala emosi yang terbina sejak episod pertama akhirnya akan menemukan jawapan dan seperti biasa, penonton tidak sekadar menonton, tetapi turut merasai setiap detik yang dipersembahkan.Dan mungkin, di antara jutaan tontonan dan perbualan yang tidak pernah berhenti, terselit satu hakikat yang sederhana, bahawa cerita yang paling kuat bukan yang paling besar, tetapi yang paling dekat dengan hati manusia.

Comments
* The email will not be published on the website.