
oleh: zizi hashim
Sehelai cahaya mampu menembus gelap dan di ibis Kuala Lumpur City Centre (KLCC), cahaya itu menari bersama aroma rempah, gelak tawa tetamu, dan muzik India yang hangat menyapa jiwa. Begitulah suasana ketika hotel ini mempersembahkan ‘Lights & Flavours – A Diwali Celebration’ di Restoran Kampung Kitchen, satu perjalanan rasa yang akan berlangsung dari 18 hingga 31 Oktober 2025, membawa tetamu menyeberangi lautan menuju Gujarat, tanpa meninggalkan jantung kota Kuala Lumpur.
Pada malam pelancarannya, Dato’ A. Aruldass, Presiden Malaysia Indian Tours & Travel Association (MITTA), hadir sebagai tetamu kehormat, menyempurnakan majlis yang penuh warna dan erti. Antara sinar lampu dan kilauan sari, malam itu menjadi simbol pertemuan budaya, kasih dan keberkatan.


Acara ini lahir daripada kolaborasi istimewa antara ibis KLCC dan Novotel Ahmedabad, India, menampilkan dua chef jemputan iaitu Executive Chef Shravan Kumar Sharma dan Chef de Partie Ajaypal Singh yang diterbangkan khas dari Gujarat untuk mempersembahkan warisan masakan India dalam bentuk paling tulen. Setiap hidangan mereka seperti untaian puisi yang dimasak dengan kesabaran, setiap rempahnya disusun dengan irama jiwa.
Para tetamu disajikan dengan barisan hidangan yang menggugah deria, dari Butter Chicken (Murgh Makhani) yang lembut dalam kuah tomato bermentega, Mutton Rogan Josh yang wangi dengan cili Kashmir, hingga Paneer Butter Masala dan Dal Makhani yang kaya dengan kelembutan susu dan krim.
Untuk pencinta laut, Tawa Fish Fry yang dimasak atas kuali leper membangkitkan kenangan jalanan Mumbai, manakala Goan Fish Curry menawarkan rasa masam-pedas berasaskan santan dan cuka merah yang eksotik. Dan di antara aroma kari dan tawa tetamu, wujud sejenis keintiman yang sukar dijelaskan, setiap mangkuk bukan sekadar hidangan, tetapi perayaan kecil yang merayakan hidup itu sendiri.


Bahagian paling memukau dari bufet ini ialah stesen masakan langsung (live cooking stations), teater rasa yang membangkitkan memori jalanan New Delhi dan Mumbai. Di sini, tetamu boleh menikmati Pani Puri yang renyah, bebola kecil berongga berisi kentang pedas dan kacang kuda, yang dicelup dalam air rempah ‘teekha’ atau ‘khatta meetha’ sebelum diletakkan terus ke dalam mulut, menghasilkan letusan rasa yang mendebarkan.
Sementara itu, Pav Bhaji, snek ikonik dari Mumbai, disediakan segar di hadapan pengunjung. Adunan sayur bermentega yang dihidang bersama roti lembut yang baru dipanggang. Dari Tandoor Station yang mengeluarkan ayam berasap hingga ke Chaat Corner yang penuh dengan kerangupan, setiap sudut Kampung Kitchen bergetar dengan kehidupan.




Bukan hanya tentang rasa, tetapi juga tentang suasana yang menyentuh sanubari. Dekorasi berinspirasikan Festival of Lights menghiasi ruang. Motif rangoli, pelita, dan bunga marigold mencipta panorama yang menenangkan. Malam-malam perayaan diserikan pula dengan tarian Bollywood, persembahan muzik langsung oleh duo dari Monocort, dan kejutan kecil untuk tetamu yang menyambut ulang tahun, semuanya dalam semangat “light conquers darkness.” Hotel ini turut mengekalkan identiti inklusifnya.
Bufet di Kampung Kitchen disahkan Halal, memberi ruang untuk semua latar masyarakat merayakan Deepavali bersama. Lebih menggembirakan, tetamu menikmati diskaun 10% untuk warga emas, tetamu hotel, dan ahli ALL (Accor Live Limitless), di samping tempat letak kereta percuma untuk semua pengunjung.




Pengalaman makan ini adalah seperti perjalanan merentas sempadan tanpa pasport. Mulakan dengan Tomato Dhaniya Shorba, sup Mughlai yang harum daun ketumbar, sebelum menikmati Hare Mutter Ki Shammi, bebola kacang hijau yang lembut dan hangat. Nikmati juga Bhatti Ka Murgh, ayam panggang tradisional Punjab yang diasapkan perlahan dalam dapur tanah liat, dan Jeera Peas Pulao, nasi basmati harum jintan dan kacang hijau yang sempurna digandingkan dengan aneka kari.
Bagi yang menggemari kudapan tradisional, pelbagai jenis Muruku seperti Spicy Muruku, Pakoda Sivel, dan Fish Muruku turut tersedia, manakala pencuci mulutnya membawa anda ke dunia rasa manis yang mengasyikkan: Gulab Jamun yang lembut dan disirami madu suam, Keshari Phirni yang wangi saffron, serta Payasam, puding susu dengan buah kering dan kacang.
Untuk mengakhiri malam, seruangkan tekak dengan Aam Lassi, Masala Tea, atau Nimbu Pudina Sharbat, minuman yang menyejukkan dan menyatukan segala rasa.



“Deepavali ialah perayaan cahaya yang melampaui agama dan bangsa,” kata Vivian Chu, Pengurus ibis KLCC. “Setiap tahun kami cuba membawa sesuatu yang lebih bermakna. Tahun ini, dengan kehadiran chef dari Novotel Ahmedabad, kami ingin meraikan semangat persahabatan antara Malaysia dan India, melalui rasa, warna, dan kasih.” Kata-katanya mengalun lembut, menggambarkan misi hotel ini untuk menjadikan Lights & Flavours bukan sekadar promosi makan, tetapi satu perayaan hati dan kemanusiaan.
Promosi ini berlangsung di Kampung Kitchen, ibis Kuala Lumpur City Centre (Tingkat 10) dari 18 hingga 31 Oktober 2025.
Harga bufet seperti berikut:
Ahad–Jumaat (kecuali cuti umum)
• Tengah hari – RM45 (Dewasa) | RM35 (Kanak-kanak)
• Makan malam – RM55 (Dewasa) | RM45 (Kanak-kanak)
Sabtu & Cuti Umum
• Tengah hari – RM59 (Dewasa) | RM49 (Kanak-kanak)
• Makan malam – RM69 (Dewasa) | RM59 (Kanak-kanak)
Untuk tempahan:📞 +603 2778 3388
📱 WhatsApp: +6012 668 9929 (Tempahan) / +6012 668 9970 (Tempahan Kumpulan)
✉️ sales.fb@ibisklcc.com
🌐 www.kampungkitchen.com



Mari rasakan sendiri keajaiban rasa yang lahir dari rempah, cinta, dan cahaya. Lights & Flavours – A Diwali Celebration kini menyala di ibis Kuala Lumpur City Centre (ibis KLCC), menghadirkan bufet masakan India yang autentik terus dari Ahmedabad, India. Hasil tangan dua chef istimewa, Chef Shravan Kumar Sharma dan Chef Ajaypal Singh. Setiap suapan membawa kisah tersendiri. Dari Butter Chicken yang lembut, Goan Fish Curry yang pedas masam, hingga Pani Puri yang renyah dan menggembirakan hati.
Diiringi aroma tandoor, muzik Bollywood dan warna Deepavali yang memancar di ruang udara, pengalaman ini bukan sekadar makan, ia perjalanan rasa yang menyentuh jiwa. Bawalah keluarga, sahabat dan insan tersayang, sambut musim perayaan ini dengan limpahan warna, muzik dan rasa di Kampung Kitchen, ibis KLCC mulai 18 hingga 31 Oktober 2025. Kerana setiap meja di sini adalah pertemuan antara budaya, kasih dan keindahan rasa.
foto kredit: ibis FB, foodveler