Menyulam Syukur Berkongsi Rezeki Dan Iftar Bersama 'Di Bawah Langit Yang Sama' Di Saloma Kuala Lumpur

oleh: zizi hashim

Senja mengalir perlahan di tengah nadi kota, dan langkah menuju Saloma terasa seperti pulang ke sebuah ruangan yang mengerti keletihan manusia urban. Kompleks ikonik ini, yang sejak awal dibangunkan sebagai destinasi budaya dan gastronomi berhampiran Sungai Klang serta berlatar belakangkan seni bina yang memeluk estetika Nusantara, selalu punya cara memujuk hati agar berhenti singgah buat seketika. Tahun ini, Ramadan 2026 diangkat dengan tema “Di Bawah Langit Yang Sama”, sebuah falsafah yang memeluk kebersamaan, kesederhanaan dan kemanusiaan: selari dengan roh sebenar Ramadan.

Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Sri Dr. Riza Dato’ Che Umar, menyebut tema ini sebagai refleksi tentang bagaimana Ramadan menyatukan manusia tanpa mengira latar, budaya dan perbezaan. Ucapannya terngiang lama di telinga saya: walau siapa pun kita, dari mana datangnya kita, semua bernaung di langit yang sama, berkongsi waktu berbuka, berkongsi rezeki, menyulam rasa syukur. Kalimat itu mengendap menjadi latar emosi sepanjang pengalaman, bagai menggesa saya melonggarkan jarak, membuka ruang untuk empati.

Ruang berbuka tahun ini terasa lebih lapang dan inklusif apabila kawasan luar restoran dibuka kepada tetamu. Angin kota menyusup, kerusi diatur santai, ritma Ramadan terasa lebih dekat dengan denyut kehidupan sebenar, dengan getar kehidupan kota. Di sudut yang disediakan, ruang solat dan tarawih memudahkan tetamu beralih dari meja ke sejadah tanpa tergesa-gesa. Saya melihat pasangan tua mengemaskan sejadah, sekumpulan anak muda memperlahankan langkah selepas berbuka, dan keluarga kecil menunggu giliran. Penuh tenang, tertib dan berlapang dada. Datin Sri Dr. Riza mengingatkan, Ramadan bukan hanya tentang hidangan, tetapi tentang memberi ruang kepada hati kembali teduh dan lebih dekat dengan Allah SWT. Pesan itu terasa jujur, bukan slogan kosong.

Konsep kepelbagaian citarasa menjadi nadi pengalaman. Di satu bentangan meja, sajian Melayu, Cina, India, Arab dan Jepun bertemu, sebuah alegori harmoni Malaysia yang jarang dipamer tanpa bising atau basa basi. Makanan menjadi bahasa penyatuan: rempah bertemu panggangan, kuah berkrim bersua segar herba, manis dingin menutup dahaga. Hospitaliti di Saloma ditafsir sebagai rasa diterima dari pinggan ke ruang ibadah, dari sapa ringkas staf hingga ketelitian aliran tetamu. Saya perasan alur perkhidmatan yang cermat. Barisan diatur, hidangan diisi semula tepat waktu, ruang lapang dikekalkan agar pengalaman kekal selesa.

Kemeriahan live cookinglive stall menghidupkan tradisi Ramadan yang autentik. Bara kambing bakar memanggil dari kejauhan, sajian panggang disiapkan segar, hidangan panas mengalir dari dapur terbuka ke piring tetamu. Saya berdiri seketika menunggu potongan kambing disapu perencah, desis lemak bertemu api mengundang memori bazar Ramadan, saat waktu terasa lambat kerana sabar menunggu azan. Di situ, suasana menjadi lebih manusiawi. Ada interaksi, ada senyuman mesra, ada tanya-jawab ringkas tentang tahap kematangan daging.

Menu istimewa menjadi rangka cerita rasa: Nasi Kambing Kebuli hadir dengan butir nasi berkilau minyak wangi, rempahnya berlapis namun tidak menguasai; dagingnya empuk, rasa asap menyelinap halus. Udang Lemak Daun Chekur memadukan santan berkrim dengan herba yang memberi lengkung segar di hujung lidah: kontras yang menghidupkan selera. Mee Udang Tergolek memikat dengan tekstur kenyal; kuahnya berlapis, udang terasa manis asin seimbang. Bubur Lambuk Rusuk Kiri menenangkan dengan rempah tersusun rapi, konsistensinya mengenyangkan tanpa memberatkan. Penutup, ais “Teller” Pak Belalang, memadam dahaga dengan keriangan tropika; sejuknya terasa seperti pelukan selepas hari panjang.

Sebagai destinasi yang sering menjadi pilihan untuk acara budaya dan gastronomi di Kuala Lumpur, Saloma memanfaatkan lokasinya yang strategik untuk mencipta suasana berbuka yang lebih terbuka, bukan terkurung dan tidak kaku. Saya menyukai bagaimana ruang luar memberi peluang berbual tanpa perlu terburu-buru, menikmati alunan merdu azan sambil angin menyapu wajah. Ada momen kecil yang melekat: seorang ibu menyuap anaknya, sekumpulan rakan sekerja bertukar cerita tentang hari yang berat, pasangan muda berkongsi pinggan pencuci mulut. Semua di bawah langit yang sama. Dan untuk seketika, perbezaan latar terasa mengendur.

Pengalaman peribadi saya di Saloma Ramadan 2026 bukan sekadar tentang kenyang; ia tentang kembali hadir. Hadir pada rasa, hadir pada orang di sekeliling, hadir pada niat. Hospitaliti berteras nilai empati, kesederhanaan, perkongsian rezeki terasa hidup sepanjang malam. Penghargaan Saloma kepada pasukan, rakan kerjasama, vendor dan tetamu terasa wajar; saya sendiri berterima kasih kerana ruang seperti ini masih memilih untuk memuliakan manusia sebelum memuliakan menu.

30 Ramadan @ Saloma Kuala Lumour 2026 adalah pengalaman berbuka puasa selama sebulan yang menawarkan hidangan tradisional dan kontemporari Malaysia yang disusun dengan teliti di dalam tempat berinspirasikan warisan ikonik Saloma. Pengalaman ini menggabungkan rasa asli, persembahan yang halus dan suasana Ramadan yang hangat. tetamu boleh memilih tarikh makan pilihan mereka dan menikmati pengalaman berbuka puasa yang tidak dapat dilupakan bersama keluarga, rakan atau rakan sekerja.

Bagi yang ingin merasai pengalaman ini, tempahan boleh dibuat melalui Saloma Kuala Lumpur: 1700 828 576. Pilih waktu yang sesuai, bawa orang tersayang, dan izinkan meja menjadi perantara, agar rasa bertemu nilai, agar syukur menemukan tempatnya.