
oleh: zizi hashim
Jejak pertama melangkah ke Heritage Valley Kuala Lumpur pada petang yang masih menyimpan sisa terik, hati segera dibuai harapan. Barangkali ini akan menjadi satu lagi pengalaman berbuka yang sekadar mengenyangkan. Ternyata sangkaan itu meleset. Kolaborasi Heritage Valley bersama Lomak Salai Tampin membawa sesuatu yang lebih halus nilainya: rasa kepulangan yang kuat, meski kaki masih berpijak di kotaraya.
Sejak dibuka julung kali bermula 20 Februari hingga 18 Mac 2026, Ramadhan Feast Buffet ini hadir dengan latar suasana kampung yang dirangkai kemas, lengkap dengan dekorasi berinspirasikan desa, alunan muzik busking yang bersahaja, serta ruang makan yang memeluk konsep mesra keluarga. Harga bermula RM44 untuk kanak-kanak dan RM88 untuk dewasa terasa sepadan dengan pengalaman yang dipersembahkan.


Perjumpaan pertama dengan Daging Salai Masak Lemak terasa seperti kembali menjejak tanah asal. Asap salai meresap dalam daging, berpadu dengan kuah santan yang berlemak, sedikit pedas, lalu mengunci rasa dengan wangi daun aromatik. Setiap suapan tidak agresif, sebaliknya bertahap. Lembut di lidah, perlahan menutup ruang kosong di perut yang seharian menahan lapar. Lomak Salai Tampin itu memang padu! Dengan kuah pekat, rasa salai itu betul-betul naik, daging pun lembut. Antara menu utama yang paling melekat di fikiran saya.
Meski hidangan lain semua pun sedap-sedap, Lomak Salai memang yang paling menyerlah! Siput Sedut Masak Lemak pula memberi tekstur yang berbeza; ritual menghisap isi siput terasa intim, seperti mengulang gerak-geri lama yang jarang ditemui di kota. Kedua-duanya paling serasi bila disandingkan dengan nasi putih panas, ringkas tetapi mengenyangkan dengan cara yang paling jujur.


Deretan hidangan menu lain membentang sebagai landskap selera: ayam kampung yang empuk, satay yang dibakar berperingkat berasap di panggangan, aneka kuih kampung yang mengundang rindu masa kecil. Selera serantau turut diberi ruang. Soto Betawi dan Bakso Indonesia menambah lapisan rasa yang akrab, sementara Pasta Itali, Chicken Grill dan Chicken Chop menenangkan lidah yang mencari kelaziman Barat serta hadir sebagai jambatan selera generasi muda. Setiap hidangan terasa disusun untuk menjawab variasi selera yang beragam, seiring falsafah Heritage Valley sebagai hab gaya hidup moden.
Tahun ini, Heritage Valley mempersembahkan Ramadhan Feast Buffet buat julung kalinya, berkolaborasi bersama Lomak Salai Tampin. Nama yang cukup harum dalam peta kulinari Negeri Sembilan. Harga yang bermula RM44, tetapi nilai pengalaman yang ditawarkan terasa jauh lebih meluas daripada angka di hujung resit. Kata Pengarah Heritage Valley Kuala Lumpur, Idi Iskandar, hasrat mereka mahu membawa tetamu merasai suasana berbuka ala kampung dengan juadah tradisi yang kian jarang ditemui di bandar. Niat itu terasa sampai ke meja makan: pengalaman ini menyulam rasa syukur, pertemuan, dan rehat sejenak daripada riuh kota.



Ruang makan dihias dengan nuansa desa yang halus: elemen kayu, cahaya lampu lembut, alunan muzik busking yang berlegar di udara, serta tawa keluarga yang bercampur dengan aroma masakan panas. Sentuhan visual ini mencipta peralihan emosi, seolah-olah tubuh yang penat berkejar masa di kota diberi izin untuk melonggarkan degup, menanggalkan lelah, lalu duduk dengan lebih hadir. Suasana mesra keluarga terasa nyata, bukan sekadar dekorasi untuk gambar kenangan, tetapi latar yang mengundang perbualan dan jeda.
Kelegaan praktikal turut dijaga. Heritage Valley menampung sehingga 300 tetamu pada satu masa, dengan parkir percuma, ruang solat yang luas dan selesa, serta susun atur yang tidak menyempitkan langkah. Ramadhan Night Market setiap hujung minggu menambah nyawa bazar dengan pakej lengkap. Gerai tradisional, bunyi busking, dan gerak orang ramai yang memberi suasana meriah tanpa menyesakkan. Menjelang Syawal, program kacau dodol, aktiviti menganyam ketupat, serta Bazaar Raya Poernama Lebaran oleh Poernama Fest menyambung naratif kebersamaan, seakan mengundang generasi kota mengenal semula ritual yang pernah membesarkan mereka.



Tempoh buffet berlangsung 20 Februari hingga 18 Mac 2026, setiap hari 6.00 petang hingga 10.00 malam, dengan harga RM88 (dewasa) dan RM44 (kanak-kanak). Kata Pengarah Heritage Valley Kuala Lumpur, Idi Iskandar, hasrat mereka ialah menghidangkan suasana berbuka yang terasa seperti pulang ke kampung, dengan menu Lomak Salai sebagai nadi tarikan, disokong pelbagai hidangan Melayu dan antarabangsa.
Hasrat itu terasa jujur di meja makan, bukan melalui slogan, tetapi melalui rasa yang bertahan di lidah dan perasaan yang tinggal selepas pulang. Puluhan pilihan setiap malam mencipta kebebasan memilih tanpa rasa terpaksa, seolah-olah setiap orang dibenarkan membawa selera sendiri ke meja yang sama. Untuk tempahan, pintu sudah dibuka melalui tempahan dalam talian serta talian 018-7617688. Jika ada satu alasan untuk melambatkan langkah ketika matahari turun, mungkin inilah momennya dengan membiarkan aroma salai menuntun pulang kepada rasa yang lama tersimpan.


Sebagai destinasi gaya hidup yang mula beroperasi pada 2025, Heritage Valley menggabungkan makanan, komuniti, seni dan acara di satu ruang. Identiti “one-stop urban hub” terjelma melalui vendor tempatan, ruang acara, festival komuniti dan aktiviti kreatif yang memihak kolaborasi. Malam berbuka di sini mengajar sesuatu yang ringkas: keakraban boleh dicipta semula walau di tengah kota, asalkan rasa diraikan dengan adab dan ruang diberi kepada pertemuan.
Info Ringkas:

