Bangkitnya Semangat Sang Samurai, XPDC Metalkestra Gempur Zepp KL, Full House!

oleh: zizi hashim

Gema sorakan mengalir dari setiap sudut Zepp Kuala Lumpur sewaktu tirai Metalkestra perlahan-lahan terbuka, bagaikan sebuah gerbang ke dunia lain terbentang di hadapan mata. Ruang itu bergetar, bukan sekadar oleh bunyi, tetapi oleh desiran memori dan kerinduan yang telah lama menunggu saat untuk dilepaskan. Apa yang terhidang malam itu bukan nostalgia yang dipinjam, ia adalah kelahiran semula semangat besi yang pernah menggegarkan tanah air. Ribuan peminat berhimpun dalam lautan hitam, masing-masing membawa harapan yang sama: ingin menyentuh kembali roh XPDC yang pernah menjadi nyala api dalam hidup mereka.

Dentuman mukadimah “Dunia 4 Segi / King El Mondoq” meledak bak letusan gunung berapi. Gitar Izo menyambar udara dengan ketegasan pahlawan yang melangkah masuk ke medan perang. Setiap petikan membawa aura seorang panglima yang telah ditempa puluhan tahun di gelanggang rock. Lola mengetuk drum memanggil roh-roh metal purba untuk turun, memberi restu kepada pertempuran baru yang bakal bermula. Gabungan ini menciptakan gelora yang merayap ke seluruh tubuh Zepp KL, auto membuat semua khalayak berdiri, terpaku, dan vibrate bersama.

Momentum itu tidak pernah mencair. “Samurai”, “Berdesup Cahaya”, dan medley “Senapang Patah / Bahalol / Ntahapaapantah” meluncur seperti arus logam liar yang menggila, memaksa penonton mengikut rentak meski hati masing-masing sibuk menahan rasa sebak. Lagu-lagu ini jauh daripada sekadar karya, ia menjadi kapsul memori, serpihan hidup yang pernah menyelamatkan ramai anak muda daripada sunyi dan putus asa. Mamu yang bertanggungjawab di posisi vokal, gigih melontar suaranya lagu demi lagu tanpa kenal erti berhenti.

Ketika “Haprak” dan “Tanggis Darah” bergema, suasana berubah pekat seperti malam yang menutup wajahnya dengan kabus hitam, namun tetap memancarkan keindahan yang hanya difahami mereka yang pernah melalui getir perjalanan. Melodi itu tidak hanya mengisi ruang; ia menerobos bahagian jiwa yang jarang disentuh. “Jangan Tak Mandi / Hairan Bin Ajaib” pula meleraikan tegang, mengembalikan ketawa kecil dalam badai metal yang terus memijar. Eddie mengendalikan jentera bass dengan kemahiran tertinggi selayaknya seorang pemuzik persembahkan dalam konsert skala besar.

Namun detik yang benar-benar menembusi dada hadir sewaktu Adeen @ Abam Gad muncul di pentas. “Abadi Tragedi / Aku & Sesuatu / Nafisa” disampaikan dengan kekuatan yang membuatkan seluruh Zepp KL sunyi, seperti semua orang sedang menahan nafas. Getaran suaranya yang mirip saling tak tumpah arwah Mael membawa luka yang sudah lama disembunyikan, namun juga membawa cahaya penyembuhan. Dalam beberapa detik itu, penonton melihat bukan sekadar penyanyi, tetapi manusia yang memikul sejarah XPDC yang rumit.

Malam itu terasa seperti ritual memaafkan masa lalu dan menerima perjalanan panjang yang pernah penuh luka. Ditengah cahaya suram yang mencipta siluet seperti kabus medan perang, riff gitar Izo dan Ariff memecah kesenyapan dengan “John Jenin / Pelesit Sebelah Mata”. Jari-jarinya menari di atas fret seperti membaca mantera kuno. Mantera yang hanya didengari mereka yang telah lama bersumpah setia dengan muzik XPDC. “Monggol Dah Pulang” dan “Raja Kertas” menyusul seperti dua serangan balas yang membakar semula seluruh energi penonton.

Lantas, tiba-tiba masa bagaikan berhenti. Kelibat Ali XPDC pun muncul. Kehadirannya memancarkan aura yang hanya dimiliki oleh legenda yang tidak memerlukan pembukaan dramatik untuk menjadi epik. Suaranya mungkin sudah tidak sekuat dulu, tetapi masih tetap merdu. Tubuh tidak setegap zaman kemuncaknya, namun auranya, aura itu masih menggoncang jiwa. Sewaktu “Hentian Ini / Titian Perjalanan” berkumandang syahdu, dua zaman XPDC berpadu di pentas. Seluruh khalayak berdiri kaku, meremang sampai ke tengkuk, menyaksikan penyatuan yang mungkin tidak akan pernah berulang lagi.

Dua generasi, peminat lama dan yang baru, bersatu dalam satu getaran jiwa. Malam mengalir seperti sungai kenangan menerusi karya-karya yang pernah menjadi nadi peminat: “Nyanyuk”, “Kita Peng Yu”, “Selendang Merdeka”, “C.I.N.T.A”. Setiap bait lirik bergema bagai mantra, membentuk sebuah korus megah yang tidak mungkin dapat dilupakan. Tidak ada siapa yang menyanyi lebih kuat daripada siapa; seluruh Zepp KL menterjemahkan emosi yang sama. Rindu, bangga, cinta, dan kesetiaan kepada nama  yang kekal unggul dan menjadi rebutan, XPDC.

Dan pada ketika “Semangat Yang Hilang” dilaungkan, seluruh Zepp KL menjadi ombak suara yang bergema secara berjemaah. Lagu itu bukan lagi karya, tetapi sebuah cermin yang mengingatkan kita tentang pahit-maung kehidupan yang pernah melemahkan jiwa, namun juga tentang keberanian untuk bangkit kembali. Seruan untuk kembali mencari sesuatu yang pernah tercicir jauh di belakang. Sebagai penutup, XPDC sepakat memilih “For Whom The Bells Tolls” satu penghormatan kepada akar metal yang membentuk DNA mereka. 

Dentingan loceng di akhir lagu bergema seperti penanda bahawa XPDC belum mahu menutup buku. Mereka hanya menutup babak pada malam itu. Dan babak baru sedang menunggu untuk ditulis. Metalkestra malam itu bukan persembahan. Ia ritual. Ia medan pertempuran. Ia warisan yang disampaikan dari generasi lama kepada generasi baharu. Zepp Kuala Lumpur menjadi saksi bahawa api XPDC masih menyala, bukan sebagai bara kecil nostalgia, tetapi sebagai nyalaan besar yang terus membakar, membina dan menyatukan jiwa-jiwa yang pernah jatuh cinta dengan muzik mereka.

Malam itu membuktikan XPDC masih berdiri sebagai tiang penting rock Malaysia. Tidak goyah, tidak gentar, tidak akan padam dan terus menyala dalam jiwa peminat yang tak pernah berhenti percaya.

"Kau dimana jua... Terdamping di dalam hatiku!"
"Dalam kubur mana pun, jasad aku di tanam, aku... akulah jua"
"Kau kebumikan lah aku... disini..."