BabyMetal Hipnotis Fanatika Dengan Dentum Eksplosif Dan Visual Imersif Dalam Sorak Sorai Kolektif

oleh: zizi hashim

Ruang udara tiba-tiba berhenti bernafas sesaat, dan seluruh tenaga dunia berpindah ke satu titik kecil di tengah pentas, menunggu untuk meledak. Jam baru saja melangkah ke angka 8 lebih, tetapi debar di dada terasa laju seperti menjelang kiamat. Dan saat ketika 3 sosok bayangan muncul di bawah cahaya merah, masuklah Su-metal, Moametal dan Momometal ke atas pentas, di hadapan lautan manusia yang serentak menjerit, “Seikan! Seikan! BABYMETAL DEATH!”

Dari hentakan pertama lagu “Babymetal Death”, saya tahu ini bukan sekadar konsert, ini sudah ibarat sebuah ritual. Ritual yang tidak meminta korban, tetapi memberi kelahiran semula kepada setiap jiwa yang pernah tersesat ke dalam dunia muzik yang beragam. Setiap ketukan drum, setiap nota gitar seperti mantra yang menghidupkan semula semangat remaja dalam tubuh hadirin, yang mungkin telah lama ditelan realiti.

Babymetal membuka tirai malam dengan energi yang luar biasa. Transisi ke “Head Banger!!” membangkitkan jeritan kolektif yang bergetar sampai ke dinding Zepp KL. Di tengah-tengah sorotan merah, mereka bukan lagi idola. Mereka terlihat bak dewi perang, memerintah ribuan manusia dengan hayunan kepala dan hentakan kaki.

“PA PA YA!!” datang seperti pesta yang tak terkawal. Warna-warna neon melingkar di udara, ribuan tangan mengangkat glowstick dan membentuk gelombang cahaya. Saya sempat tersenyum kecil melihat wajah-wajah di sekeliling. Peluh, tawa, dan sorakan bercampur menjadi satu bahasa yang tidak perlu diterjemahkan. Babymetal tidak bercakap banyak, tetapi setiap gerakan mereka seperti puisi visual; di antara kelembutan dan kekuatan, di antara gadis dan pahlawan.

Ketika “KxAxWxAxIxI” meletus, seluruh ruangan Zepp KL berubah menjadi semesta cyberpunk. Visual LED yang menakjubkan, grafik berpusing seperti simbol kuno dan angka binari bersilang di udara. Seolah-olah mereka sedang membuka pintu antara dunia nyata dan dimensi metal mereka sendiri. Saya dapat rasakan dada bergetar dek kerana bunyi yang buat jantung vibrate, sekaligus kerana getaran emosi yang mereka cipta, halus tetapi menghentam tepat ke ulu hati.

Dan kemudian, masuk “METALI!!” diikuti “KON! KON!” dengan kolaborasi Bloodywood, yang membawa warna tribal dan irama India Utara ke dalam arus metal Jepun. Ada saat di mana saya menutup mata dan hanya mendengar, hentakan tabla bercampur gitar elektrik, vokal Su-metal yang nyaring melayang di atasnya. Di sinilah Babymetal menunjukkan magis mereka, menggabungkan sesuatu yang mustahil menjadi sesuatu yang indah.

Ketika “My Queen” bersama Spiritbox dimainkan, suasana tiba-tiba melunak, tetapi tidak kehilangan tenaga. Lagu ini seperti pelukan selepas badai, lembut tetapi berisi kekuatan. Khalayak kagum melihat Su-metal berdiri sendirian di tengah-tengah pancaran biru, vokalnya tajam namun berisi luka kecil, seolah-olah lagu itu berbicara terus kepada setiap hati yang pernah merasa kehilangan.

Namun malam itu bukan hanya milik Babymetal. Rupanya, sebelum segalanya bermula, Metalverse muncul sebagai opening act, sekumpulan gadis muda dari Jepun yang memikul api generasi baru. Mereka datang bukan untuk menjadi bayang-bayang, tetapi untuk membina takhta sendiri. Melihat mereka di pentas terasa seperti menyaksikan masa depan sedang dilahirkan dengan mata berapi, langkah yakin, dan semangat yang belum terpadam. Debut global mereka di Kuala Lumpur malam itu terasa simbolik; seolah-olah dunia sedang menyambut gelombang baharu metal yang lebih segar dan tanpa sempadan.

Babymetal kemudian membawa segmen yang paling berat, “Song 3 (feat. Slaughter to Prevail)” lagu yang menggoncang seluruh Zepp KL dengan raungan vokal dan gitar yang bagaikan runtuhan gunung berapi. Lampu berkelip-kelip putih dan merah, seperti petir menghentam bumi. Saya lihat ada beberapa fanatika di hadapan pentas begitu emosi, barangkali kerana inilah saat yang mereka tunggu bertahun-tahun.

“RATATATA” mengakhiri segmen utama dengan ledakan tenaga yang sukar dijelaskan. Seluruh ruangan Zepp KL menjadi lautan manusia yang menari tanpa koreografi, tetapi semuanya bergerak dalam satu denyut yang sama. Khalayak menggila dengan mencipta mosh-pit di tengah kerumunan ramai. Ketika lagu berhenti, keheningan yang menyusul terasa panjang dan kemudian datang sorakan yang membingitkan telinga. “Encore! Encore!” Riuh dan gamat sungguh Zepp KL dibuatnya!

Babymetal kembali dengan “From Me To U” (feat. Poppy) sebuah lagu yang dipilih untuk encore yang lembut, hampir seperti surat cinta dari mereka kepada peminat. Gemerlap cahaya lampu biru lembut menyelimuti pentas, dan saya dapat merasakan suasana berubah menjadi hening dan penuh makna. Ada detik kecil yang menekan dada ketika Su-metal menunduk dalam, seperti berterima kasih bukan dengan kata-kata, tetapi dengan seluruh jiwanya.

Dan akhirnya, “Road of Resistance” benar-benar menutup malam dengan penuh gemilang. Lagu ini bukan sekadar epik, ia seperti pengumuman bahawa perjuangan mereka belum berakhir. Ribuan glowstick melambai serentak, mencipta lautan biru dan merah di udara. Saya berdiri tanpa bergerak, membiarkan setiap nota terakhir meresap masuk ke dalam tulang.

Ketika lampu menyala semula, saya sedar malam itu bukan sekadar konsert. Ia adalah perjalanan tentang ketahanan, tentang evolusi, tentang bagaimana muzik boleh menjadi jambatan antara budaya, bahasa dan generasi. Babymetal membuktikan bahawa metal bukan hanya tentang kekerasan, tetapi tentang keberanian untuk menjadi unik, berbeza dan lain dari yang lain. Dan Kuala Lumpur malam itu, menjadi saksi kepada bagaimana keajaiban itu dilahirkan semula di tengah cahaya, logam, dan cinta yang tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata.