YelaoShr Melakar Peta Baharu Pendidikan Nusantara: Francais Inklusif, Misi Transnasional dan Aspirasi 300 Cawangan Menjelang 2028

oleh: zizi hashim

Ruang pendidikan nasional kini menerima suntikan idealisme baharu apabila YelaoShr melangkah ke hadapan sebagai francais berlesen. Sebuah pelantikan rasmi yang mengangkat nilai-nilai pedagogi progresif ke dalam kerangka perniagaan berskala. Penampilan serentak 66 pemegang francais baharu dari seluruh negara menyuntik momentum terhadap aspirasi besar, membina jaringan pembelajaran yang lestari, terbuka, dan bertumpu kepada komuniti.

Perasmian oleh Datuk Dr. Radzali Hassan, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), membuka wacana yang lebih luas tentang peranan francais sebagai pemangkin transformasi sosial. Menurut beliau, apabila sesebuah gagasan pendidikan disusun rapi lalu didarabkan secara sistematik, hasilnya bukan sekadar pulangan kewangan, tetapi percambahan impak kepada akses, partisipasi dan keseimbangan peluang dalam masyarakat.

Model pendidikan YelaoShr digerakkan oleh 4 entiti teras yang membentuk sistem ekosistem pendidikan bersepadu, pelaksanaan kurikulum bahasa yang mendapat pengiktirafan rasmi kementerian; pemerkasaan guru menerusi latihan profesional dan TVET, pembangunan teknologi eksklusif untuk pedagogi terkini, serta peluasan pembelajaran digital yang merentasi batas wilayah dan masa. Keempat-empat tunjang ini menyatu sebagai instrumen strategik bagi merealisasikan matlamat 300 cawangan menjelang 2028, di samping menyusun tapak bagi perluasan rentas sempadan ke Thailand, Kemboja dan Singapura.

Apa yang lebih menarik, keterlibatan pelbagai golongan dalam pemilikan francais, daripada pendidik berpengalaman, ibu bapa yang prihatin, hingga profesional muda yang berwawasan, mencerminkan kesatuan falsafah bahawa pendidikan bukan hanya untuk diterima, tetapi untuk dimiliki dan dibentuk. Penyerapan kolektif ini menandakan bahawa masyarakat telah mula mengenal pasti YelaoShr bukan sebagai jenama semata, tetapi sebagai wahana perubahan yang nyata.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Bersama, Dr. David Yap Wing Fai menyatakan bahawa francais, dalam konteks YelaoShr, tidak sepatutnya dilihat dari lensa keuntungan semata, tetapi sebagai wahana pemberdayaan sosial. “Kami mahu menjadikan pemilikan pusat pendidikan sebagai satu kemungkinan nyata kepada rakyat biasa terutamanya wanita, golongan pendidik dan belia profesional dengan sistem yang sudah terbukti, diiringi latihan menyeluruh serta sokongan berterusan dari ibu pejabat.”

Isterinya, Dr. Carol Yap Yee Yee, yang turut mengasaskan YelaoShr, menegaskan bahawa misi mereka adalah membina persekitaran pembelajaran yang mengimbangi struktur dengan imaginasi. “Kami menginginkan sebuah ruang di mana setiap anak kecil dapat berkembang, bukan kerana mereka istimewa, tetapi kerana sistemnya membolehkan mereka menjadi luar biasa.”

Menerusi pelancaran buku Pendidikan Finland yang Layak Diterima oleh Setiap Kanak-Kanak Malaysia, YelaoShr turut memperlihatkan sisi intelektual yang memperkaya naratif pendidikan tempatan. Naskhah ini menghimpunkan nilai dan amalan pendidikan Finland lalu dipadankan dengan prinsip Pendidikan Madani 2025–2035, mencipta sintesis pemikiran antara pedagogi Skandinavia dan kehendak komuniti Malaysia yang rencam. Ia menegaskan keperluan persekitaran pembelajaran yang tidak hanya akademik tetapi juga membina empati, ketahanan dan ekspresi kendiri.

Komitmen terhadap pembinaan bakat diteruskan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman bersama Universiti HELP, sekali gus membuka laluan kepada pelajar menjalani latihan industri di pusat-pusat YelaoShr. Di samping itu, graduan cemerlang turut ditawarkan peluang menyertai program pembangunan francais dengan bimbingan holistik. Malah, anugerah khas diperkenalkan sebagai dana permulaan kepada mereka yang terpilih. Inisiatif ini memperkukuh hasrat melahirkan pemilik francais pendidikan dari peringkat akar.

Pencapaian YelaoShr turut mendapat pengiktirafan dari ASEAN Records, apabila dianugerahkan dua rekod: satu, sebagai penyedia program pembelajaran one-on-one dalam tiga bahasa dengan jumlah graduan tertinggi di Malaysia; dan satu lagi, atas kejayaan memeterai bilangan MoU francais pendidikan terbanyak dalam masa satu hari. Pengiktirafan ini tidak hanya menjadi pencapaian simbolik, tetapi juga petunjuk kepada potensi perluasan skala yang mampan dan boleh diduplikasi secara antarabangsa.

Sementara kebanyakan jenama menilai kejayaan melalui pertumbuhan kewangan, YelaoShr mengukurnya dengan kesan kepada manusia. Lebih RM30,000 disalurkan kepada tiga organisasi kebajikan termasuk dua pusat tahfiz dan satu NGO untuk golongan kelainan upaya. Sumbangan ini mencerminkan prinsip empati dan keterhubungan sosial yang sentiasa mengiringi setiap langkah strategik syarikat ini.

Bermula dari sebuah inisiatif pengayaan bahasa di ruang tamu kediaman, YelaoShr kini berdiri sebagai gerakan pendidikan berskala nasional yang menjadikan akses saksama, inovasi berimpak, dan kepekaan sosial sebagai kerangka utama. Apa yang sedang dibina bukan sekadar rangkaian pusat pembelajaran tetapi jaringan harapan, yang menjangkau generasi dan melangkaui sempadan.