PUSPAKOM Tegas Tentang Pelekat VTA, Lindungi Pembeli Kenderaan Import Daripada Risiko Tersembunyi

oleh: zizi hashim

Di sebalik kilauan sesebuah kenderaan import, tersimpan satu elemen kecil yang sering terlepas daripada perhatian ramai, namun mempunyai peranan yang cukup signifikan dalam menentukan status pematuhan dan keselamatan sesebuah kenderaan. Pelekat Vehicle Type Approval (VTA) mungkin tampak sederhana pada pandangan mata, tetapi di situlah terletaknya identiti serta pengesahan bahawa sesebuah kenderaan telah memenuhi piawaian yang ditetapkan pihak berkuasa.

Menyedari kepentingan perkara tersebut, PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) tampil menegaskan semula keperluan pelabelan wajib VTA bagi semua kenderaan Completely Built-Up (CBU) atau kenderaan import sepenuhnya. Langkah ini selaras dengan peraturan yang telah dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak tahun 2014 dan diperkemaskan pada 2016 bagi memperkukuh ketelusan, pematuhan serta perlindungan pengguna dalam ekosistem automotif negara.

Penegasan itu dibuat susulan satu kes terkini melibatkan sebuah kenderaan import yang gagal melepasi pemeriksaan di cawangan PUSPAKOM kerana tidak mempunyai pelekat pelabelan VTA yang diwajibkan. Situasi tersebut sekali lagi membuka mata bahawa walaupun peraturan ini telah lama berkuat kuasa, tahap kesedaran serta pematuhan masih perlu dipertingkatkan dalam kalangan pemilik dan pengimport kenderaan.

Pelekat VTA bukan sekadar label biasa. Ia berfungsi sebagai mekanisme pengesahan yang memaparkan maklumat kelulusan dan pematuhan teknikal sesebuah kenderaan, sekali gus memastikan ia memenuhi piawaian keselamatan serta peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Dalam erti kata lain, ia menjadi bukti bahawa sesebuah kenderaan telah melalui proses kawal selia yang sewajarnya sebelum dibenarkan berada di jalan raya Malaysia.

Lebih penting, pelabelan ini membantu pengguna memahami asal-usul kenderaan yang ingin dimiliki. Melalui maklumat yang dipaparkan, pembeli dapat membezakan antara kenderaan CBU dan kenderaan pemasangan tempatan (CKD), yang masing-masing mempunyai implikasi berbeza dari sudut pematuhan, percukaian dan peraturan automotif.

Dalam era transaksi jual beli kenderaan yang semakin rancak, pelekat VTA turut memainkan peranan penting dalam mengesahkan ketulenan kenderaan serta mengurangkan risiko pembelian unit tidak sah atau kenderaan “half-cut”. Pada masa sama, ia menyokong penilaian insurans yang lebih tepat, memberi jaminan terhadap aspek keselamatan teknikal serta membantu pengguna membuat keputusan pembelian yang lebih berinformasi.

Dari sudut penguatkuasaan pula, sistem pelabelan yang seragam memudahkan agensi berkaitan menjalankan pemeriksaan dan pengesahan semasa operasi di jalan raya. Ia juga membantu memastikan pematuhan terhadap Permit Import (AP), struktur percukaian dan peraturan perdagangan yang berkaitan dengan kemasukan kenderaan ke negara ini. Sebagai syarikat pemeriksaan kenderaan nasional dengan pengalaman lebih tiga dekad, PUSPAKOM turut menjelaskan bahawa dokumentasi lengkap termasuk kewujudan pelekat VTA mampu mempercepatkan proses pemeriksaan. Ia amat penting bagi urusan pertukaran hak milik, pembaharuan lesen kenderaan perdagangan, pendaftaran kenderaan import baharu atau terpakai serta pemeriksaan kenderaan yang telah diubah suai.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata, pelabelan yang jelas dan teratur merupakan elemen penting dalam memastikan akauntabiliti serta mengekalkan keyakinan pengguna terhadap industri automotif negara. Menurut beliau, pematuhan bukan sekadar memenuhi kehendak peraturan semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama dalam memastikan ketelusan, keselamatan dan kepercayaan terus terpelihara dalam ekosistem automotif Malaysia. Pengguna juga berhak mengetahui status sebenar kenderaan yang dibeli agar mereka tidak terdedah kepada risiko yang tidak sepatutnya.

Dalam landskap automotif yang semakin berkembang, usaha memperkukuh pelabelan VTA turut menyokong matlamat lebih besar negara, termasuk memastikan amalan perdagangan yang adil, menjamin pematuhan terhadap struktur percukaian dan import serta memelihara integriti pasaran automotif Malaysia secara menyeluruh.

Komitmen berterusan PUSPAKOM dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pelabelan VTA membuktikan bahawa keselamatan jalan raya bukan hanya bergantung kepada keadaan fizikal sesebuah kenderaan, tetapi juga kepada tahap pematuhan yang menjadi asas kepada sistem automotif yang lebih telus, berintegriti dan dipercayai oleh semua pihak.

Comments
* The email will not be published on the website.