Yayasan Nurjiwa Perkasa Pendidikan Negara, Hulur Insentif RM500 kepada Pelajar Cemerlang SPM

oleh: zizi hashim

Dalam manifestasi komitmen terhadap pemerkasaan pendidikan negara, Yayasan Nurjiwa tampil melakar sejarah tersendiri apabila memperkenalkan insentif kewangan RM500 kepada pelajar yang memperoleh keputusan semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024. Inisiatif julung kali ini dilaksanakan dengan kolaborasi strategik bersama Pusat Tuisyen PTTI, dan menyaksikan seramai 401 pelajar diraikan, menjadikan jumlah keseluruhan agihan insentif mencecah RM200,500.

Pengasas Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, dalam ucapannya pada Majlis Anugerah Inspirasi PTTI 2025 yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), menyatakan bahawa insentif ini bukan sekadar bentuk penghargaan, malah merupakan simbol kepercayaan bahawa pelajar yang gigih wajar diraikan dengan sewajarnya.

“Ini adalah kali pertama Yayasan Nurjiwa memberikan insentif khas kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam SPM. Kami percaya bahawa penghargaan sebegini mampu menyuntik semangat juang dalam kalangan pelajar, sekaligus menjadi pemangkin kepada kejayaan akademik yang lebih besar,” ujar beliau dengan penuh rasa bangga.

Menurut beliau lagi, inisiatif ini diharap dapat memacu inspirasi dalam kalangan calon SPM yang akan menduduki peperiksaan pada tahun-tahun akan datang, sekali gus memupuk budaya pencapaian tinggi dalam kalangan pelajar di seluruh negara.

Majlis yang turut dihadiri lebih 2,000 tetamu termasuk pelajar, ibu bapa serta tokoh-tokoh ternama tanah air itu menjadi pentas perayaan bagi kejayaan 401 pelajar ‘Straight A’s’ dan turut memberi pengiktirafan kepada pelajar ‘Nearly All A’s’ serta pelajar yang meraih enam A dan ke atas.

Lebih menarik, usaha Yayasan Nurjiwa tidak terhenti setakat memberi ganjaran kepada pelajar cemerlang. Siti turut menegaskan bahawa yayasan yang diterajuinya komited dalam memperjuangkan kebajikan pelajar kurang berkemampuan, khususnya daripada keluarga B40 dan pelajar yatim piatu. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Yayasan Nurjiwa telah melaksanakan program penyediaan makanan harian kepada hampir 100 pelajar setiap hari, satu inisiatif berterusan yang membuktikan keseriusan yayasan dalam menangani jurang pendidikan secara holistik.

“Setiap hari, kami menyediakan makanan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan, khususnya mereka yang datang dari latar belakang yang kurang berkemampuan. Kami juga tidak melupakan anak-anak yatim yang memerlukan perhatian dan sokongan. Ini adalah usaha kecil kami untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir akibat kekangan hidup,” jelas beliau dengan nada penuh keprihatinan.

Yayasan Nurjiwa, yang selama ini sinonim dengan kerja kebajikan dalam bidang sosial dan kemanusiaan, kini memperluaskan impaknya ke bidang pendidikan. Satu langkah strategik dan progresif dalam memperkukuh masa depan negara melalui pembangunan modal insan. Usaha ini juga memperlihatkan bagaimana sektor bukan kerajaan mampu memainkan peranan pelengkap kepada inisiatif kerajaan dalam memperkasa generasi muda.

Dengan rekod kejayaan yang semakin kukuh dan matlamat sosial yang jelas, Yayasan Nurjiwa bertekad untuk meluaskan capaian bantuannya, bukan sahaja kepada pelajar cemerlang, tetapi juga kepada mereka yang berpotensi namun kekurangan sumber. Inilah pendekatan menyeluruh yang menjadikan Yayasan Nurjiwa sebagai antara peneraju transformasi sosial dalam landskap pendidikan masa kini.

Untuk maklumat lanjut mengenai program bantuan dan insentif yang ditawarkan, orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini Yayasan Nurjiwa melalui platform rasmi mereka.