VMTM 2025: Gerbang Baharu ke Pelancongan Domestik Menjelang VM2026

oleh: zizi hashim

Gelombang pelancongan tanah air kini menyala dengan cahaya lebih terang. Sempena sambutan World Tourism Day dan World Tourism Conference 2025, Tourism Malaysia melakar sejarah dengan menganjurkan Visit Malaysia Travel Meet 2025 (VMTM 2025), sebuah platform berskala besar yang dirancang bagi memperkukuh promosi pelancongan domestik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Bertempat di Melaka International Trade Centre (MITC) dari 26 hingga 28 September 2025, VMTM 2025 menggabungkan dua segmen penting iaitu sesi perniagaan ke perniagaan (B2B) yang mempertemukan penggiat industri dengan syarikat korporat, serta sesi perniagaan kepada pengguna (B2C) yang membuka peluang kepada orang awam menikmati pelbagai tawaran istimewa. Lebih daripada 180 pempamer hadir, membawa pakej pelancongan eksklusif pada harga menawan, memberi nafas baharu kepada industri dan menggalakkan sektor korporat menganjurkan acara mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) di Malaysia.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka, disaksikan oleh pelbagai delegasi antarabangsa yang turut hadir ke World Tourism Day, World Tourism Conference 2025, serta pelancaran rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 di bumi bersejarah Melaka. Turut menyerikan acara, YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, yang menegaskan kepentingan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi unggul di persada dunia.

VMTM 2025 menawarkan lebih daripada sekadar transaksi pelancongan. Pengunjung dihidangkan pengalaman interaktif yang memadukan kraf, seni, budaya, serta citarasa makanan warisan. Pentas acara turut diwarnai dengan persembahan artis, tarian kebudayaan, dan detik-detik debaran cabutan bertuah yang menambah semarak. Antara pakej pelancongan yang dipromosikan merangkumi sukan air, pengembaraan alam semula jadi, taman tema, hingga pengalaman budaya yang meresapi jiwa.

Lebih besar daripada itu, penganjuran ini diharap menjadi pemangkin kepada pergerakan pelancongan domestik, baik antara negeri (interstate) mahupun dalam negeri (intrastate), seiring dengan sasaran 280 juta ketibaan pelancong domestik pada tahun 2025. Setiap angka ini membawa makna bahawa Malaysia memiliki khazanah yang wajar dijelajahi warganya sendiri sebelum dirayakan oleh dunia.

Kekuatan VMTM 2025 semakin menyerlah dengan penglibatan agensi di bawah MOTAC seperti Istana Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Lembaga Seni Visual Negara, Islamic Tourism Centre (ITC), Jabatan Warisan Negara, Kraftangan Malaysia, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) serta rangkaian Hotel Seri Malaysia. Sokongan badan pelancongan negeri dari Tourism Melaka, Tourism Pahang, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tourism Perak, Tourism Johor hingga Sarawak Tourism Board menandakan satu solidariti nasional dalam mengangkat industri ini.

VMTM 2025 akhirnya berdiri sebagai jambatan besar: mempertautkan pemain industri dengan masyarakat, menyulam peluang baharu, dan menyemarakkan aspirasi menjelang VM2026. Dari MITC, gema acara ini akan bergema ke seluruh negara, mengundang kita semua menyertai perjalanan kolektif mengenali keindahan tanah air dengan lebih mendalam.