
oleh: zizi hashim
Lanskap telekomunikasi Malaysia sedang bergerak ke sebuah era yang berbeza. Bertahun-tahun lamanya, persaingan dalam industri ini berlegar di sekitar jumlah data, harga langganan dan tawaran promosi yang silih berganti. Setiap syarikat berlumba-lumba menawarkan lebih banyak gigabait, lebih banyak ganjaran dan lebih banyak diskaun untuk memikat perhatian pengguna. Namun di sebalik segala angka dan pakej tersebut, masih wujud satu perkara yang sering menjadi penghalang kepada ramai pengguna. Kerumitan untuk berpindah ke rangkaian yang lebih baik.
Bagi sebahagian besar rakyat Malaysia, proses menukar penyedia perkhidmatan mudah alih sering dianggap sesuatu yang menyusahkan. Ada yang bimbang kehilangan nombor telefon yang telah digunakan bertahun-tahun, ada yang takut perkhidmatan terganggu, manakala sebahagian lagi memilih untuk terus kekal kerana tidak mahu berdepan prosedur yang dirasakan rumit. Menyedari realiti tersebut, Tune Talk kini mengambil langkah yang berbeza. Bukan dengan menawarkan lebih banyak data. Bukan juga dengan melancarkan perang harga baharu.
Sebaliknya, syarikat telekomunikasi digital yang sedang berkembang pesat itu memilih untuk menghapuskan kebimbangan yang selama ini menghantui pengguna menerusi pelancaran inisiatif “Port Masuk Nombor Mudah Alih Tanpa Rumit”, sebuah pendekatan yang direka untuk menjadikan proses pertukaran rangkaian lebih mudah, jelas dan mesra pengguna. Pelancaran tersebut hadir pada saat Tune Talk sedang menikmati momentum pertumbuhan yang cukup memberangsangkan. Selepas melengkapkan Fasa 1 pembangunan rangkaian teras cloud-native pertama seumpamanya di rantau ASEAN menerusi kerjasama strategik bersama Nokia, jumlah pelanggan syarikat itu melonjak daripada kurang satu juta pada tahun 2024 kepada sekitar 1.8 juta pelanggan menjelang pertengahan 2026.

Pertumbuhan itu bukan sekadar mencerminkan peningkatan jumlah pengguna.Ia turut menjadi petunjuk bahawa pengguna hari ini semakin menghargai pengalaman digital yang lebih lancar dan fleksibel berbanding sekadar membandingkan harga semata-mata. Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda, transformasi syarikat kepada platform cloud-native bukan hanya bertujuan memodenkan infrastruktur. Sebaliknya, ia dilakukan untuk membina pengalaman yang lebih baik dan lebih mudah buat pelanggan.
“Peralihan kami kepada rangkaian cloud-native sepenuhnya bukan sekadar untuk memodenkan infrastruktur; ia adalah tentang mewujudkan pengalaman yang lebih baik dan lebih mudah untuk pelanggan kami. Kami memahami bahawa menukar penyedia perkhidmatan mudah alih boleh dirasakan sebagai satu langkah besar, terutamanya apabila pengguna bimbang tentang prosesnya, nombor telefon mereka atau kesinambungan sambungan mereka.“ Melalui inisiatif Port Masuk Nombor Mudah Alih Tanpa Rumit, kami mahu menghapuskan kebimbangan tersebut dan menjadikan keseluruhan proses lebih jelas serta meyakinkan,” katanya.
Apa yang menarik, Tune Talk melihat cabaran sebenar dalam proses Mobile Number Portability (MNP) bukan berpunca daripada teknologi. Sebaliknya, kebanyakan kegagalan berlaku disebabkan perkara-perkara kecil yang sering dipandang remeh seperti maklumat pendaftaran yang tidak sepadan, syarat kontrak yang terlepas pandang atau tunggakan kecil yang tidak disedari pengguna. Bagi menangani masalah tersebut, syarikat itu memperkenalkan satu rangka kerja digital yang lebih tersusun dan mudah difahami. Proses tersebut bermula dengan semakan awal lima perkara penting bagi memastikan pemilik nombor dapat mengesahkan status talian, menyelesaikan tunggakan dan menyemak keselarasan maklumat identiti sebelum permohonan dibuat.
Selepas itu, pengguna hanya perlu melalui tiga langkah mudah.Langkah pertama melibatkan permohonan dan pengesahan menerusi aplikasi Tune Talk, termasuk proses eKYC digital yang selamat serta pemilihan SIM fizikal atau eSIM mengikut keperluan pengguna. Langkah kedua pula memerlukan pengguna membalas SMS pengesahan yang dihantar oleh penyedia perkhidmatan sedia ada. Manakala langkah terakhir hanya melibatkan proses pertukaran dan pengaktifan, di mana pengguna boleh terus menggunakan nombor lama mereka seperti biasa sebelum mengaktifkan SIM baharu sebaik sahaja peralihan selesai.
Lebih melegakan, Tune Talk turut memberi jaminan bahawa kebimbangan berkaitan gangguan perkhidmatan digital tidak lagi perlu menjadi isu utama. Aplikasi penting seperti WhatsApp, sistem TAC perbankan serta kod OTP akan terus berfungsi tanpa menjejaskan pengalaman pengguna sepanjang proses peralihan. Di sebalik inisiatif ini, terserlah satu perubahan falsafah yang lebih besar dalam strategi Tune Talk. Jika sebelum ini industri telekomunikasi sering tertumpu kepada siapa yang mampu menawarkan lebih banyak data pada harga lebih rendah, Tune Talk kini mahu mentakrifkan semula makna nilai kepada pengguna moden.
Syarikat itu melihat masa depan telekomunikasi bukan sekadar pada sambungan internet, tetapi kepada pengalaman digital menyeluruh yang lebih mudah, lebih pintar dan lebih selari dengan gaya hidup generasi baharu. Malah pengguna yang berjaya melakukan port masuk nombor turut diberikan akses kepada pelbagai manfaat tambahan termasuk ekosistem ganjaran dalam aplikasi, ciri-ciri digital pintar dan pelbagai kelebihan gaya hidup yang dibangunkan berasaskan rangkaian moden serta automasi digital Tune Talk.
Bagi Gurtaj, kebebasan untuk memilih penyedia perkhidmatan mudah alih sepatutnya menjadi norma, bukannya sesuatu yang menakutkan. “Kami mahu kebebasan memilih penyedia perkhidmatan mudah alih menjadi satu standard di Malaysia. Jika anda tidak berpuas hati dengan penyedia perkhidmatan semasa, proses port masuk seharusnya semudah memuat turun sebuah aplikasi. Kami telah membina rangkaian masa hadapan; kini kami juga telah membina laluan paling mudah untuk menyertainya,” katanya lagi.
Dalam dunia yang semakin bergantung kepada sambungan digital, mungkin inilah perubahan yang sebenarnya dicari oleh pengguna.Bukan semata-mata siapa menawarkan data paling murah.Tetapi siapa yang mampu menjadikan teknologi terasa lebih manusiawi, lebih mudah dan lebih dekat dengan kehidupan seharian.Dan menerusi inisiatif terbaharu ini, Tune Talk nampaknya mahu menjadi antara yang terawal bergerak ke arah masa depan tersebut.