Tresor Monde.H Buka Butik Baharu, Ubah Barang Kemas Jadi Warisan Penuh Makna

oleh: zizi hashim

Sebentuk cincin mungkin hanya berkilau di mata yang memandang. Namun di sebalik setiap kilauan itu, sering tersimpan sebuah kisah yang tidak mampu dibeli dengan wang. Ada yang menjadi saksi kepada lafaz cinta, ada yang mengabadikan kelahiran seorang anak, dan ada juga yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya sebagai lambang kasih yang tidak pernah pudar ditelan masa. Nilai sebenar sebuah barang kemas bukan sekadar terletak pada berlian, emas atau batu permata yang menghiasinya, tetapi pada memori yang terus hidup bersama pemiliknya.

Falsafah inilah yang menjadi roh kepada Tresor Monde.H, jenama barang kemas mewah yang percaya setiap rekaan seharusnya mempunyai cerita tersendiri. Sempena pembukaan rasmi butik terbaharunya di KLGCC Mall, jenama ini bukan sekadar memperkenalkan sebuah ruang membeli-belah, sebaliknya mengajak pelanggan menghargai barang kemas sebagai sebuah warisan emosi yang akan terus dikenang dan diwarisi merentasi zaman.

Majlis pembukaan berlangsung dalam suasana penuh elegan apabila diserikan dengan kehadiran pelakon legenda Hong Kong, Nancy Sit Ka Yin, bersama barisan tetamu kehormat, rakan perniagaan serta tokoh industri. Upacara memotong reben menjadi simbol permulaan kepada perjalanan baharu Tresor Monde.H di Malaysia, sebelum para tetamu dibawa menyaksikan pertunjukan koleksi barang kemas eksklusif, menikmati persembahan muzik secara langsung serta meneroka sendiri ruang butik yang direka dengan sentuhan moden dan sofistikated.

Setiap sudut butik dibina bagi membolehkan pelanggan menikmati pengalaman yang lebih intim, bukan sekadar melihat koleksi yang dipamerkan, tetapi memahami falsafah, inspirasi dan nilai seni di sebalik setiap rekaan yang dihasilkan. Mengangkat maksud "Dunia Khazanah" daripada frasa bahasa Perancis, Tresor Monde.H membawa falsafah "When Treasure Meets the World", iaitu kepercayaan bahawa setiap barang kemas mempunyai jiwa dan cerita yang tersendiri.

Daripada kilauan berlian yang melambangkan keabadian, batu permata berwarna yang meraikan keunikan personaliti, jed yang sinonim dengan tuah dan kesejahteraan, hinggalah mutiara yang menjadi simbol keanggunan klasik, setiap koleksi dihasilkan bagi memenuhi pelbagai citarasa dan gaya hidup pelanggan. Bahan-bahan yang digunakan turut dipilih dengan teliti, termasuk batu permata yang diperoleh secara beretika serta logam premium dari Jepun dan Hong Kong. Sentuhan tersebut diperkemaskan lagi melalui seni pertukangan halus yang mengekalkan keseimbangan antara rekaan kontemporari dan nilai klasik yang mampu bertahan merentas peredaran zaman.

Salah satu keistimewaan Tresor Monde.H ialah perkhidmatan tempahan khas, yang membolehkan setiap pelanggan menghasilkan barang kemas yang benar-benar mencerminkan identiti diri mereka. Daripada lakaran awal sehingga kepada pemilihan berlian, batu permata dan logam berharga, setiap proses dilakukan secara teliti bersama perunding yang berpengalaman. Pendekatan ini memberi kebebasan kepada pelanggan untuk mencipta karya yang tidak mungkin dimiliki oleh orang lain. Sama ada bagi meraikan detik lamaran, ulang tahun perkahwinan, kelahiran cahaya mata, pencapaian kerjaya mahupun menghidupkan semula pusaka keluarga yang mempunyai nilai sentimental, setiap rekaan dibentuk dengan satu matlamat iaitu mengabadikan kenangan dalam bentuk yang boleh dipakai, dihargai dan akhirnya diwariskan kepada generasi seterusnya. 

Bagi pengasas Tresor Monde.H, Harry Chan, setiap pelanggan membawa sebuah kisah yang berbeza apabila melangkah masuk ke butik mereka. Justeru, tugas Tresor Monde.H bukan sekadar menawarkan koleksi yang indah dipandang, tetapi membantu menterjemahkan kisah kehidupan tersebut menjadi sebuah karya yang mampu bertahan sepanjang hayat.

"Barang kemas bukan sekadar cantik, tetapi juga membawa suatu makna. Setiap pelanggan yang masuk ke butik Tresor Monde.H mempunyai kisah tersendiri, dan kami ingin menzahirkan kisah ini ke dalam barang kemas yang mereka pilih. Sama ada memilih daripada koleksi sedia ada mahupun membuat tempahan khas, kami berharap setiap ciptaan menjadi khazanah yang akan terus dihargai, dikenang dan diwarisi," katanya. Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan rundingan secara peribadi membolehkan pelanggan memahami nilai di sebalik setiap berlian, jed, batu permata dan mutiara sebelum membuat pilihan, sekali gus memastikan setiap pembelian benar-benar mempunyai makna yang mendalam.

Pembukaan butik Tresor Monde.H di KLGCC Mall bukan sekadar memperluaskan kehadiran sebuah jenama barang kemas mewah di Malaysia. Lebih daripada itu, ia memperkenalkan satu cara baharu untuk melihat nilai sebenar sesebuah perhiasan, bukan berdasarkan saiz berlian atau kilauan emasnya, tetapi melalui cerita yang dibawanya dan emosi yang diabadikan bersama setiap rekaan. Kerana akhirnya, sebuah barang kemas yang paling berharga bukan semestinya yang paling mahal. Sebaliknya, ialah yang terus mengingatkan kita kepada seseorang, kepada satu detik yang tidak akan berulang, dan kepada sebuah kisah yang akan terus hidup meski masa terus berlalu.

Comments
* The email will not be published on the website.