Tourism Malaysia Perkasa Promosi Digital Menerusi Program VM2026 Creators Onboard

oleh: zizi hashim

Penceritaan perjalanan hari ini tidak lagi bergerak melalui risalah atau poster semata-mata. Ia hidup melalui layar kecil, dirakam, disunting dan dikongsi dengan jutaan mata di seluruh dunia. Menyedari peralihan ini, Tourism Malaysia menutup tirai VM2026 Creators Onboard Programme edisi kedua dengan satu matlamat jelas iaitu mengangkat suara pencipta kandungan digital sebagai nadi baharu promosi pelancongan negara menjelang Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Program yang berlangsung dari 10 hingga 12 Disember 2025 ini menghimpunkan 50 pencipta kandungan dan pempengaruh digital terpilih dalam sebuah pengembaraan 3 hari 2 malam (3D2N) merentasi Desaru, Johor. Setiap lokasi dipilih bukan sekadar cantik di mata, tetapi sarat dengan naratif alam, budaya dan pengalaman yang tulen.

Sepanjang program, para peserta meneroka pelbagai tarikan eko-pelancongan dan alam semula jadi. Antara pengalaman yang dilalui termasuk Lebam River Cruise, aktiviti birdwatching di Tanjung Balau, sesi stargazing yang memukau, kunjungan ke Adventure Waterpark Desaru Coast, Muzium Nelayan Tanjung Balau, Ostrich Farm Desaru, serta pengalaman ATV farm tour di Desaru Fruit Farm. Setiap detik menjadi bahan visual yang merakam kepelbagaian landskap dan biodiversiti Johor.

Elemen pembangunan kemahiran turut diberi penekanan menerusi Canon Digital Workshop yang berlangsung di The Els Club Desaru Coast. Di sini, para pencipta kandungan memperhalusi kemahiran fotografi dan videografi menggunakan kamera Canon, sambil merakam keindahan alam sekitar dengan perspektif yang lebih profesional dan berlapik.

Program ini diakhiri dengan Majlis Makan Malam Penghargaan di The Westin Desaru Coast bertemakan “VM2026 Creators On Board: Malaysia Through The Screen”. Tema ini mencerminkan kepelbagaian pengalaman pelancongan Malaysia, daripada perjalanan pesisir pantai yang damai, laluan darat yang mempesona, hinggalah sudut pandang udara yang menakjubkan, semuanya disampaikan melalui lensa pencipta kandungan.

Menurut Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, peranan pencipta kandungan digital kini semakin kritikal dalam membentuk persepsi global terhadap Malaysia, “Program VM2026 Creators Onboard membuktikan peranan penting pencipta kandungan digital dalam mempromosikan pelancongan Malaysia. Dengan memberi mereka pengalaman secara langsung dan aktiviti kolaboratif, kami membolehkan mereka berkongsi kisah autentik yang menampilkan keindahan, budaya dan kepelbagaian negara kepada penonton global,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa inisiatif sebegini akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan menjelang VM2026.

Pelaksanaan edisi kedua program ini disokong oleh rakan strategik seperti Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Canon Malaysia dan Desaru Coast Travels Sdn Bhd, selain digerakkan bersama inisiatif komuniti #MYTravelNation. Kerjasama ini mengukuhkan komitmen Tourism Malaysia dalam membina rangkaian pencerita digital yang bersemangat dan konsisten mengangkat jenama pelancongan negara di peringkat antarabangsa.

Seiring persiapan Visit Johor 2026 dan sasaran nasional untuk menarik 47 juta pelawat antarabangsa menjelang 2026, program ini menjadi bukti bahawa penceritaan digital bukan lagi pelengkap, tetapi teras strategi promosi pelancongan masa depan.