
oleh: zizi hashim
Suatu gelombang hangat bergema di hujung tahun 2025, seakan angin yang membawa bersama dunia imaginasi. Tonton mempersembahkan TONime: sebuah kempen anime menyeluruh yang dicipta untuk meluaskan horizon hiburan digital dan merapatkan lagi hubungan antara peminat dengan karya-karya yang selama ini menghidupkan layar hati mereka. Kempen ini tampil sebagai jambatan baharu, menghubungkan teknologi, komuniti, serta kreativiti dalam satu ruang yang penuh warna dan emosi.
TONime membuka tirai dengan TONime WatchQuest, sebuah cabaran tontonan yang dirangka bukan sekadar untuk hiburan, tetapi untuk mencipta keterlibatan yang lebih intim antara peminat dan anime kegemaran mereka. Dari 1 hingga 15 Disember 2025, pengguna hanya perlu menonton judul terpilih untuk mengumpul markah secara automatik, hadiah yang menanti bukan kecil nilainya: 5x Weekend Pass Comic Fiesta 2025 dan Blind Box Anime bernilai RM300. Sebuah ganjaran yang cukup untuk membuatkan peminat tersenyum, sambil merasa dihargai atas kesetiaan mereka.

Anime yang dipilih sebagai sorotan WatchQuest hadir daripada pelbagai genre: My Dress-Up Darling yang manis dan sentimental, Spy X Family S3 dengan kehangatan keluarga yang kacau-bilau namun menyentuh, Frieren: Beyond Journey’s End yang melangkah perlahan tetapi penuh makna, serta Black Butler yang sarat gaya dan intrik. Pemilihan yang kaya ini memastikan setiap jiwa menemukan cerminan rasa; daripada yang mendambakan ketenangan hingga yang mencari adrenalin dan humor sinis.
Menjelang Comic Fiesta 2025, TONime merangkul semangat komuniti dengan lebih erat melalui kerjasama bersama MUSE Asia. Reruai TONime di Kuala Lumpur Convention Centre pada 20 dan 21 Disember nanti bukan hanya sekadar ruang pameran; ia dibayangkan sebagai tempat pertemuan, medan nostalgia, dan gelanggang keterujaan. Aktiviti seperti Tonton Trivia, Luck Draw, Guess the Anime Poster, Emoji Anime Guess dan cabaran Pose Like the Poster memberikan peluang kepada pengunjung untuk tenggelam dalam dunia anime secara lebih interaktif. Hadiah-hadiah eksklusif seperti cenderamata anime, board game dan baucar menjadi detik kecil kebahagiaan yang menambah makna pengalaman tersebut.

Kolaborasi bersama MUSE Asia dan Baskin-Robbins pula menyuntik elemen gaya hidup ke dalam kempen ini, gabungan konten dan komuniti yang mencipta ekosistem hiburan lebih mesra, lebih dekat, dan lebih relevan dengan generasi muda masa kini. Booth TONime dijalinkan sebagai ruang yang menghubungkan kegembiraan, minat, dan rasa kebersamaan; seumpama halaman dalam sebuah manga, di mana setiap bab membawa penemuan baharu.
Arah yang dipilih Tonton melalui TONime jelas menunjukkan komitmen untuk memperkaya kandungan anime di Malaysia serta mengukuhkan posisinya sebagai destinasi utama bagi peminat genre ini. Ia bukan sekadar kempen; ia suatu pengalaman kolektif yang hidup melalui tontonan, permainan, dan pertemuan fizikal yang merayakan kecintaan terhadap dunia animasi Jepun.
Bagi peminat lama mahupun pendatang baharu, TONime menjadi undangan terbuka untuk menikmati anime dengan cara yang lebih menyeluruh, lebih dekat, lebih bertenaga, lebih bermakna. Jejakkan kaki ke Comic Fiesta, kunjungi reruai TONime, dan biarkan dunia fantasi membuka pintunya untuk anda.