oleh: zizi hashim
Tealive, peneraju teh gaya hidup serantau, secara rasmi menjejak langkah ke pasaran barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) dengan memperkenalkan rangkaian minuman sachet 3-dalam-1. Satu inisiatif strategik yang menyatukan kemudahan, keaslian dan sentuhan premium dalam setiap bancuhan. Hadir dalam 3 kategori utama iaitu teh susu, kopi dan coklat, rangkaian ini dirumus bagi menawarkan pengalaman rasa bertaraf kafe dalam format yang serba praktikal.
Pelancaran rasmi yang berlangsung di IOI City Mall pada 5 Jun 2025 turut disemarakkan dengan kehadiran figura terkemuka, Khairy Jamaluddin, bekas Menteri dan pengacara podcast yang lantang menyuarakan aspirasi inovasi tempatan, yang menyempurnakan majlis perasmian. “Perjalanan Tealive daripada sebuah kiosk ke ruang kediaman rakyat Malaysia bukan sekadar transformasi perniagaan; ia adalah evolusi budaya,” ujar Khairy penuh makna. “Kita tidak hanya mengeskport produk, tetapi memperkenalkan gaya hidup dan identiti nasional kepada dunia.
Bryan Loo, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, menyifatkan pelancaran ini sebagai fasa baharu yang berani dan strategik dalam sejarah Tealive. “Kami mahu menjadikan rasa signatur Tealive lebih mudah diakses tak kira di pejabat, di rumah mahupun di perjalanan. Setiap sachet membawa kenangan dan rasa akrab buat para peminat kami,” katanya, menzahirkan visi yang mencerminkan kesetiaan kepada pengalaman pelanggan.
Rangkaian minuman sachet ini akan ditawarkan secara eksklusif di rangkaian AEON dan semua cawangan Tealive bermula 15 Jun 2025, serta tersedia di pelbagai platform e-dagang. Harga runcit bermula RM12.90 sekotak dengan lima hingga enam sachet yang diperbuat daripada bahan premium, menjanjikan bancuhan berkrim, kaya dan autentik.
Barisan varian merangkumi:
Menurut Loo, produk ini dirumus bukan sekadar untuk menyenangkan pengguna, tetapi bagi menghadirkan pengalaman holistik yang sejajar dengan rasa asli di cawangan Tealive. “Setiap tegukan harus membangkitkan perasaan yang sama seperti ketika menikmati minuman di premis kami. Justeru, kami melabur secara serius dalam pemilihan bahan premium dan pembangunan profil rasa.”
Dalam pasaran FMCG yang kian kompetitif, Tealive meletakkan kekuatan jenama, inovasi berterusan, integriti bahan dan hubungan emosi dengan pelanggan sebagai faktor pembeza. “Tealive bukan hanya satu jenama minuman, ia merupakan naratif gaya hidup. Sokongan terhadap produk tempatan bukan hanya bersifat nasionalistik, tetapi juga satu pilihan strategik berdasarkan kualiti,” tambah Loo.
Khairy menyambung dengan penuh semangat, “Malaysia perlukan lebih banyak jenama seperti Tealive — yang tidak gentar menunjukkan kebanggaan asal usul, sambil berdaya saing di peringkat global. Menyokong inovator tempatan bermakna kita menyokong ekosistem pekerjaan, harapan dan kemakmuran masa hadapan.” Khairy turut menzahirkan rasa bangga terhadap semangat keusahawanan yang dizahirkan oleh Tealive, yang menurutnya membuktikan bahawa Malaysia memiliki bakat, kreativiti dan daya tahan untuk menjelajah pasaran antarabangsa, asalkan mendapat sokongan kolektif dan keyakinan nasional.
Mengikut laporan firma penyelidikan Frost & Sullivan, pasaran kedai teh di Malaysia diramalkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 9.6% antara tahun 2024 hingga 2029, mengatasi kadar pertumbuhan industri minuman keseluruhan. Tealive berada pada kedudukan strategik untuk merebut peluang ini, bukan sahaja melalui saluran runcit tetapi juga menerusi produk pengguna seperti sachet 3-dalam-1.
Pelancaran ini turut memperkenalkan pembaharuan menyeluruh dalam menu Tealive. Untuk penggemar minuman yang lebih ringan, diperkenalkan siri baharu "Light Milk Tea", alternatif sihat tanpa kompromi dari segi rasa. Formulasi baharu minuman popular Bang Bang menjanjikan tekstur lebih berkrim dan memuaskan, manakala kehadiran varian premium seperti teh Da Hong Pao dan siri Snowy memperkayakan pilihan untuk pelanggan yang mendambakan sesuatu yang luar biasa.
“Menu baharu ini disusun bagi menyesuaikan diri dengan cita rasa pelanggan moden daripada indulgent ke lebih seimbang. Kami percaya dalam memenuhi spektrum kehendak pengguna hari ini,” jelas Loo. Sebagai pelengkap kepada pelancaran produk, Tealive juga mengumumkan kolaborasi eksklusif bersama jenama tempatan terpilih bagi mengeluarkan barangan edisi terhad, sebuah penghormatan kepada kreativiti, warisan dan semangat Malaysia.