
oleh: zizi hashim
Kelaparan tidak selalu hadir dengan perut yang berbunyi. Ada juga kelaparan yang tersembunyi di sebalik wajah ceria seorang kanak-kanak, apabila tubuh mereka kekurangan nutrien penting untuk membesar, belajar dan mengembangkan potensi diri. Isu yang dikenali sebagai "hidden hunger" itu semakin mendapat perhatian apabila ramai murid daripada keluarga berpendapatan rendah terus berdepan kesukaran mendapatkan pemakanan seimbang setiap hari.
Berangkat daripada realiti itulah, ATLAS Vending, cabang perniagaan mesin layan diri di bawah Etika Sdn. Bhd., melancarkan ATLAS Nutri Aid, sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang menggabungkan teknologi pintar dengan bantuan nutrisi bagi memastikan murid sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan menerima bekalan susu berkualiti secara konsisten. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), sekaligus memperkenalkan pendekatan baharu dalam menangani jurang nutrisi di sekolah.


Dilancarkan sempena Hari Susu Sedunia di The Goodday Milk Factory, Petaling Jaya, ATLAS Nutri Aid bukan sekadar menyumbangkan makanan atau minuman. Sebaliknya, ia memanfaatkan teknologi mesin layan diri pintar dan sistem kad tap-and-go untuk memastikan agihan bantuan dibuat secara tersasar, telus dan sistematik. Murid yang layak hanya perlu menggunakan kad khas yang diselaraskan mengikut kalendar persekolahan bagi mendapatkan susu Goodday Charge secara percuma pada setiap hari persekolahan. Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan proses agihan, malah mengelakkan penyalahgunaan serta memastikan bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
Pelaksanaan program ini menyusuli kejayaan projek perintis di beberapa sekolah terpilih yang menunjukkan kadar penyertaan murid yang tinggi dan sistem transaksi yang berjalan lancar. Susulan maklum balas positif tersebut, ATLAS kini akan memperluaskan inisiatif ini melalui penempatan 10 mesin layan diri Nutri Aid di sekolah-sekolah terpilih bagi memberi manfaat kepada lebih ramai murid. Yayasan Raja Muda Selangor pula memainkan peranan penting dalam aspek pembiayaan, penyelarasan komuniti dan proses mengenal pasti penerima yang layak. Inisiatif ini lahir ketika Malaysia masih berdepan cabaran serius berkaitan pemakanan kanak-kanak.

Menurut data yang dikongsikan, kajian SEANUTS II mendapati lebih 70 peratus kanak-kanak tidak mencapai pengambilan harian Kalsium dan Vitamin D yang disyorkan. Dalam masa sama, peningkatan kos sara hidup menyebabkan ramai keluarga B40 sukar menyediakan hidangan berkhasiat, malah kadar kelaparan kanak-kanak di beberapa kawasan bandar berpendapatan rendah dilaporkan mencecah 58.4 peratus. Ketua Pegawai Eksekutif Etika Sdn. Bhd. & Eksport Antarabangsa, Hemalatha Ragavan, berkata tiada kanak-kanak sepatutnya kehilangan peluang untuk membesar dengan sihat hanya kerana kekangan ekonomi keluarga.
"Bagi kebanyakan keluarga, memastikan pemakanan harian anak-anak sentiasa terjamin merupakan satu cabaran besar, dan kekangan ini tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada potensi tumbesaran mereka. Melalui ATLAS Nutri Aid, kami memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada keperluan asas seperti susu pada setiap hari persekolahan," katanya. Beliau menjelaskan, gabungan teknologi pintar dan misi sosial membolehkan nutrisi disalurkan secara konsisten, bermaruah dan berimpak tinggi, sekali gus membantu meningkatkan kehadiran murid ke sekolah serta memastikan mereka tidak tercicir daripada peluang pendidikan.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Muda Selangor, Muhammad Syazwan Mohd Daut, menyifatkan pemakanan seimbang sebagai asas utama kepada keupayaan seseorang kanak-kanak untuk belajar, memberi tumpuan dan berkembang dengan baik. Menurut beliau, kerjasama menerusi ATLAS Nutri Aid bukan sekadar menyediakan nutrisi harian, malah meruntuhkan halangan yang selama ini mengehadkan akses kepada pendidikan berkualiti. "Langkah ini memberikan kanak-kanak tenaga dan peluang yang saksama untuk mengejar impian mereka," katanya.
Apa yang membezakan ATLAS Nutri Aid daripada program bantuan makanan konvensional ialah penggunaan data dan teknologi sebagai asas kepada pelaksanaannya. Setiap transaksi direkodkan bagi membolehkan keberkesanan program dipantau secara menyeluruh, selain memastikan pengalaman penerima lebih mudah, berdikari dan bermaruah. Pendekatan ini sekali gus memperlihatkan bagaimana inovasi digital mampu dimanfaatkan bukan sahaja untuk urusan komersial, tetapi juga bagi menyelesaikan isu sosial yang memberi kesan kepada masa depan negara.

Bagi ATLAS, usaha ini bukan sekadar mengagihkan susu. Ia adalah pelaburan terhadap generasi akan datang. Kerana setiap kanak-kanak berhak menikmati peluang yang sama untuk membesar dengan sihat, menimba ilmu tanpa dibayangi kekurangan nutrisi, dan mengejar cita-cita dengan tenaga serta keyakinan yang mencukupi. Kadangkala, perubahan besar tidak bermula di dalam makmal atau bilik mesyuarat. Sebaliknya, ia boleh bermula daripada sebuah mesin layan diri yang berdiri di sudut sekolah, menyampaikan segelas harapan kepada mereka yang paling memerlukannya.