
oleh: zizi hashim
Ada tempat yang sekadar menjadi destinasi membeli-belah. Ada juga tempat yang menyimpan memori, menyatukan komuniti dan terus berkembang mengikut perubahan zaman. Bagi warga Kuala Lumpur, Sungei Wang Plaza berada dalam kategori yang kedua.
Menjelang ulang tahun keemasan yang ke-50, pusat beli-belah ikonik di tengah-tengah Bukit Bintang itu sekali lagi membuktikan bahawa legasinya masih kukuh apabila berjaya meraih dua pengiktirafan utama di Retail Asia Awards 2026, menerusi kategori Community Mall of the Year – Malaysia dan Entertainment Mall of the Year – Malaysia. Anugerah tersebut disampaikan dalam majlis yang berlangsung di Marina Bay Sands, Singapura, yang mengiktiraf kecemerlangan serta inovasi dalam industri peruncitan di rantau Asia Pasifik.
Kejayaan berganda ini bukan sekadar tentang trofi atau pengiktirafan. Ia menjadi simbol kepada transformasi besar yang telah dilaksanakan oleh Sungei Wang Plaza dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Daripada sebuah pusat beli-belah tradisional, ia kini berkembang menjadi sebuah ekosistem sosial yang menggabungkan budaya, hiburan, komuniti dan pengalaman dalam satu ruang yang hidup setiap hari.

Pendekatan berteraskan komuniti yang diperkenalkan telah membuahkan hasil yang memberangsangkan. Sungei Wang Plaza mencatat pertumbuhan prestasi runcit tahunan sebanyak 25.35 peratus dan mengekalkan kadar penghunian tinggi pada 90.27 peratus meskipun berdepan persaingan daripada pembangunan komersial yang lebih baharu dan berskala besar. Lebih membanggakan, jumlah pengunjung meningkat sebanyak 32.74 peratus, sekali gus membuktikan bahawa pusat beli-belah berusia hampir lima dekad itu masih menjadi pilihan ramai.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan tersebut ialah penganjuran pelbagai acara berskala besar yang berjaya menarik perhatian masyarakat. Sungei Wang Plaza menjadi lokasi kepada perarakan tanglung terbesar di Kuala Lumpur yang menghimpunkan lebih 90,000 pengunjung dalam sehari dan menjana nilai publisiti media sebanyak RM3.7 juta. Selain itu, ia turut menjadi medan kepada pertandingan e-sukan, pertandingan tarian K-Pop serta pelbagai aktiviti yang dekat dengan generasi muda.
Sektor makanan dan minuman turut memainkan peranan penting dalam proses transformasi tersebut. Melalui usaha memperbaharui Wang Food Court, kapasiti tempat duduk berjaya ditingkatkan sebanyak 35.2 peratus selain memperkenalkan campuran penyewa yang lebih segar dan relevan. Hasilnya, kadar penghunian ruang makan meningkat daripada 45.52 peratus pada 2024 kepada 86.54 peratus pada 2025, manakala jualan makanan dan minuman melonjak lebih 40 peratus.
Satu lagi langkah strategik yang memberi impak besar ialah transformasi ruang pawagam yang kurang digunakan kepada Mega Star Arena Kuala Lumpur, sebuah venue konsert berkapasiti 5,000 penonton. Dalam tempoh dua tahun sahaja, arena tersebut telah menganjurkan lebih 80 konsert utama yang menampilkan artis antarabangsa seperti Boyz II Men dan Akon. Keseluruhannya, lebih 340,000 penonton menghadiri acara yang berlangsung dengan kadar pengisian purata sebanyak 85 peratus.
Program hiburan berskala besar ini turut menyumbang kepada peningkatan trafik pengunjung sebanyak 25 peratus tahun ke tahun, dengan hujung minggu tertentu mencatat lonjakan sehingga 40 peratus. Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan Sungei Wang Plaza sebagai antara destinasi hiburan utama di pusat bandar Kuala Lumpur.

Di sebalik kejayaan komersial tersebut, aspek kelestarian dan tanggungjawab sosial terus menjadi keutamaan. Sungei Wang Plaza aktif menyertai program Earth Hour, bekerjasama dengan ERTH (Electronic Recycling Through Heroes) untuk inisiatif kitar semula sisa elektronik serta menganjurkan aktiviti pembersihan pantai di Bagan Lalang yang berjaya mengumpulkan 121.4 kilogram sisa buangan. Program Ramadan Food Contribution turut dilaksanakan dengan pengagihan 100 pek iftar setiap hari kepada komuniti yang memerlukan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Sungei Wang Plaza, Ng Yih Chen, pencapaian ini mengingatkan bahawa Sungei Wang Plaza bukan sekadar sebuah pusat beli-belah, tetapi sebuah ruang yang sarat dengan memori, budaya, hiburan dan semangat komuniti. Sementara itu, Pengurus Besarnya, Joseph Teo, menyifatkan kemenangan berganda tersebut sebagai hasil sokongan pemilik, penyewa, rakan perniagaan, pasukan pengurusan dan pengunjung yang terus mempercayai jenama itu selama bertahun-tahun.
Menjelang sambutan ulang tahun emas pada tahun 2027, Sungei Wang Plaza kini berada dalam fasa yang cukup menarik. Dengan visi yang lebih besar terhadap inovasi, kelestarian dan pengalaman komuniti, pusat beli-belah yang pernah menjadi ikon generasi terdahulu itu terus membuktikan bahawa relevansi bukan ditentukan oleh usia, tetapi oleh keberanian untuk berubah mengikut zaman. Dan selepas hampir 50 tahun berdiri megah di tengah ibu kota, Sungei Wang Plaza nampaknya masih mempunyai banyak cerita untuk dicipta.