
oleh: zizi hashim
Jejak kecil kadangkala mencipta makna yang sukar digambarkan dengan angka. Begitulah semangat yang mengiringi langkah Kumpulan Sri Ternak ketika mereka meraikan awal tahun 2026 dengan sebuah inisiatif sosial yang dekat dengan hati, menyampaikan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada Rumah Amal Cheshire Selangor, sebuah pusat jagaan yang melindungi individu kurang upaya daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama.
Sumbangan ini berpunca daripada manfaat tunai RM100 ‘one-off’ di bawah program Penghargaan SARA, namun nilai kecil itu berkembang menjadi misi yang lebih luas. Pengurusan Sri Ternak meluangkan masa di pasar raya borong 24 jam Sri Ternak, Selayang untuk memilih sendiri barangan keperluan harian: beras, gula, susu, tepung, minyak masak, biskut dan pelbagai item penting yang sering luput daripada perhatian masyarakat. Setiap barangan dimasukkan ke dalam troli bukan sekadar memenuhi senarai, tetapi membawa harapan yang lembut bagi mereka yang bergantung kepada ihsan komuniti.


Sesudah semua barangan lengkap, bantuan itu diserahkan kepada Rumah Amal Cheshire Selangor, sebuah institusi yang berdiri sebagai ruang perlindungan bagi mereka yang memerlukan sokongan jangka panjang. Bagi meringankan lagi keperluan harian penghuni, Sri Ternak turut menyampaikan baucar tunai bernilai RM5,000, satu suntikan yang diharap memberi ruang lebih lega kepada pihak pengurusan pusat jagaan tersebut untuk menguruskan keperluan harian yang kian meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho Cheng Hann, menegaskan komitmen mereka terhadap masyarakat, “Di Kumpulan Sri Ternak, kami kekal komited untuk menyokong komuniti yang kami santuni. Sebagai salah sebuah rakan runcit inisiatif MyKasih, pasar raya borong 24 jam kami menyediakan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Penghargaan SARA kepada penerima, memberikan akses kepada keperluan harian pada bila-bila masa di 14 cawangan kami. Walaupun dengan peruntukan yang sederhana, kami berharap usaha bersama ini dapat memberi impak yang bermakna kepada penghuni Rumah Amal Cheshire Selangor pada Tahun Baharu ini serta menggalakkan syarikat korporat lain untuk melakukan perkara yang sama.”


Dengan rangkaian 14 cawangan merangkumi Sri Ternak, ST Rosyam Mart, ST Rosyam Mall dan Ehsan Mart, penerima manfaat MyKasih boleh membeli keperluan harian hanya menggunakan MyKad mereka. Program ini membolehkan mereka memilih barangan penting daripada 14 kategori yang diluluskan, termasuk beras, roti, mi segera, tepung, telur, minyak masak, makanan dalam tin, produk pembersihan, keperluan sekolah dan ubat-ubatan yang diluluskan oleh KKM.
Kesemua inisiatif ini berakar daripada visi Sri Ternak untuk membantu masyarakat menjimatkan wang dan masa agar kehidupan menjadi lebih berkualiti, visi yang mereka pegang sepanjang 46 tahun perjalanan sejak bermula sebagai sebuah usaha pertanian kecil hingga berkembang menjadi rangkaian pasar raya borong 24 jam yang disokong lebih 3,000 pekerja. Kerjasama dengan selebriti Datuk Rosyam Nor untuk melancarkan ST Rosyam Mart pada 2018 pula membuka ruang inovasi baharu, menjadikan pengalaman membeli-belah lebih mudah, berpatutan dan relevan untuk semua lapisan rakyat.


Dengan harapan yang tulus dan langkah yang konsisten, Sri Ternak menyerahkan bantuan ini bukan hanya sebagai tindakan korporat, tetapi sebagai penghargaan terhadap kemanusiaan: satu peringatan bahawa kebaikan kecil mampu menggerakkan perubahan yang tak terduga.