
oleh: zizi hashim
Hujung tahun sentiasa membawa harapan kecil, untuk berhenti sejenak, menarik nafas, dan mengumpul semula rasa gembira yang sering tertinggal di sepanjang tahun berlalu. Tahun ini, Spritzer EcoPark memilih untuk menjadi latar kepada perasaan itu menerusi kembalinya Spritzer MerryLand, sebuah perayaan akhir tahun yang menyinari Taiping dengan warna, cahaya dan kehangatan kebersamaan.
Bermula 19 Disember 2025 hingga 11 Januari 2026, Spritzer EcoPark di Taiping berubah wajah menjadi taman perayaan yang mengundang senyuman sejak langkah pertama. Ruang eko ini digubah dengan perhiasan bertema Krismas, lampu berkerlipan dan elemen visual imersif yang mencipta suasana mesra, ceria dan penuh keajaiban. Aura yang terhasil bukan riuh kosong, sebaliknya nyaman, mengajak keluarga dan rakan-rakan untuk berkumpul, berbual, dan merakam kenangan musim perayaan bersama.


Operasi taman berlangsung setiap hari dari 9:30 pagi hingga 10:00 malam, dengan waktu lanjutan sehingga 12:00 tengah malam pada tempoh puncak 20 hingga 28 Disember 2025. Pelanjutan ini memberi ruang kepada pengunjung menikmati suasana malam yang lebih hidup, ketika cahaya lampu dan dekorasi perayaan benar-benar menemukan bentuknya yang paling indah.
Sebagai karnival akhir tahun yang dinanti saban musim, Spritzer MerryLand terus menjadi titik pertemuan warga Perak dan pengunjung dari seluruh negara. Tahun ini, pengalaman yang ditawarkan dirangka untuk merentas usia, daripada anak kecil hingga dewasa, tanpa mengorbankan rasa santai yang menjadi identiti Spritzer EcoPark.
Sepanjang tempoh acara, pelbagai tarikan harian menanti. Ruang bergambar bertema memberi peluang merakam momen istimewa, sementara golf mini menawarkan hiburan ringan yang mengundang tawa. Kafe yang selesa menyediakan pilihan makanan dan minuman untuk berehat seketika, disusuli kunjungan ke sudut cenderahati dan promosi eksklusif produk minuman Spritzer, menjadikan kunjungan terasa lengkap tanpa perlu tergesa.


Kemuncak kemeriahan terserlah antara 20 hingga 28 Disember 2025 apabila tarikan tambahan diperkenalkan. Sesi hujan salji yang dinanti ramai mencipta detik magis, diiringi LED cart, aktiviti DIY untuk semua peringkat usia, serta pelbagai pilihan snek yang memeriahkan suasana. Gabungan ini menghidupkan perayaan dengan rasa keterujaan yang mudah dirasai. Ringkas, menyeronokkan, dan mengikat nuansa kebersamaan.
Komitmen terhadap kelestarian turut diserlahkan melalui penggunaan botol kitar semula sebagai elemen hiasan lampu berkelipan, membuktikan bahan harian mampu diberi nafas baharu demi alam sekitar dan amalan penggunaan bertanggungjawab. Sentuhan ini menguatkan naratif Spritzer sebagai jenama yang memadukan kegembiraan dengan kesedaran.


Menurut Winnie Chin, Ketua Perhubungan Awam Spritzer Berhad, Spritzer MerryLand diwujudkan sebagai ruang keceriaan untuk keluarga dan komuniti berkumpul, khususnya ketika musim perayaan. Semangat kekitaan, keseronokan dan keramaian menjadi teras acara ini dengan harapan setiap pengunjung pulang bersama senyuman dan kenangan yang sukar dilupakan.
Menambah seri sambutan, promosi eksklusif produk terpilih Spritzer tersedia sepanjang karnival, memberi lebih banyak alasan untuk meluangkan masa dan menikmati detik akhir tahun dengan penuh rasa.Musim perayaan ini, biarkan Spritzer MerryLand menjadi kanvas kenangan. Raikan bersama insan tersayang, bersantai tanpa tekanan, dan nikmati sebuah perayaan yang berwarna. Tenang, hangat, dan sarat momen magis.