
oleh: zizi hashim
Langit Taiping yang terkenal dengan taburan hujan tertinggi di Malaysia seolah-olah merestui sebuah pesta yang sarat makna. 10 Februari 2026 menjadi tarikh penting apabila Spritzer EcoPark kembali menghamparkan karpet kebudayaan sempena Tahun Baharu Cina, meraikan ketibaan Tahun Kuda Api dengan gemerlap tradisi dan semangat kebersamaan yang kian subur.
Februari hingga awal Mac 2026 menyaksikan taman rekreasi ini bertransformasi menjadi perkampungan budaya yang imersif, penuh simbol kemakmuran, tuah dan pembaharuan. Tanpa sebarang bayaran masuk, ruang ini kekal sebagai destinasi mesra keluarga, terbuka untuk semua lapisan usia yang ingin merasai kehangatan perayaan dalam balutan alam semula jadi yang nyaman.


Kuda dalam kepercayaan masyarakat Cina melambangkan kegigihan, kebebasan serta keberanian untuk melangkah jauh. Peralihan daripada Tahun Ular yang introspektif kepada Tahun Kuda yang progresif membawa isyarat perubahan, daripada renungan sunyi kepada gerak langkah yang lebih yakin dan dinamik. Semangat inilah yang menjadi paksi kepada keseluruhan dekorasi dan pengalaman yang ditawarkan.
Struktur arca dan astaka dihiasi cahaya tanglung merah, bunga sakura mekar, simbol tuah serta hiasan bermotifkan kuda yang anggun. Zon interaktif diwujudkan bagi menghidupkan suasana, menjadikan setiap sudut taman sebagai latar fotografi yang memikat. Keharmonian elemen tradisional dengan lanskap hijau mencipta suasana yang puitis, seakan mengundang pengunjung menelusuri lorong masa dan budaya dalam satu hembusan nafas.


Sebagai antara destinasi wajib singgah di Taiping, Spritzer EcoPark menawarkan pelbagai aktiviti untuk semua generasi. Sesi DIY & kraftangan mengasah kreativiti, Mini Golf menggunakan bola LED menyuntik keterujaan, manakala perlumbaan Paddle Carts memberi peluang menikmati udara segar sambil bergerak aktif, semuanya pada harga berpatutan.
Rehat sejenak boleh dinikmati di STG Taiping Café dengan hidangan ringan dan minuman menyegarkan. Sebelum melangkah pulang, Spritzer Water Shop menyediakan bekalan minuman untuk meraikan perayaan, manakala Spritzer Souvenir Shop menampilkan cenderamata eksklusif serta promosi istimewa musim ini. Lebih daripada tarikan bermusim, Spritzer EcoPark mencerminkan komitmen jenama terhadap kesejahteraan, kreativiti dan kelestarian. Ruang hijau ini menjadi medan untuk beriadah, menenangkan fikiran serta mengeratkan hubungan bersama insan tersayang.


Ketua Perhubungan Awam Spritzer, Winnie Chin, menegaskan bahawa setiap tahun pihaknya berusaha mencipta pengalaman yang segar dan bermakna. Tahun Kuda Api yang sarat simbol kemajuan dan semangat membara diterjemahkan melalui persekitaran imersif yang menyatukan keluarga dalam dakapan alam. Matlamatnya jelas, memberi ruang untuk berehat, kekal terhidrat dan melangkah ke tahun baharu dengan inspirasi yang diperbaharui.
Spritzer EcoPark dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 9:30 malam, beralamat di Lot 898, Jalan Reservoir, Off Jalan Air Kuning, 34000 Taiping, Perak.
Selamat Tahun Baharu Cina. Semoga Tahun Kuda Api menghamparkan kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagiaan yang berpanjangan.