oleh: zizi hashim
Setiap zaman hadir dengan mimpinya. Dan pada pagi 28 Jun 2025, sebuah mimpi yang dahulu dianggap mustahil akhirnya menjejak bumi, bersatu antara teknologi, hasrat rakyat dan keberanian anak tempatan. Di bawah bayang-bayang menara kaca Saloma Kuala Lumpur, GGR Motor menyulam sejarah baharu dalam permotoran Malaysia dengan pelancaran jentera elektrik sulungnya, Lion G1.
Namun ini bukan sekadar pengenalan sebuah model, tetapi permulaan sebuah gerakan. Diapit oleh nama-nama besar seperti Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, Tengku Syarif Temenggong Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail, serta Ketua Pengarah MARA, Dato’ Zulfikri Osman, majlis ini menandakan tekad yang tidak main-main: setiap rumah di Malaysia patut memiliki satu EV.
Dengan tenaga motor 3,000 watt dan mampu menempuh hingga 120km sekali cas penuh, Lion G1 hadir bukan untuk bersaing dengan gergasi, tetapi untuk mengisi ruang rakyat yang perlukan pilihan mampu milik, lestari dan tahan diuji masa. Dengan harga asas RM3,999, dan subsidi khas MARiiCas yang menurunkannya kepada RM1,599, GGR Motor seperti membisikkan satu harapan: teknologi ini milik semua.
Pengecasan pantasnya hanya memerlukan 90 minit untuk 50%, dan jaminan menyeluruh mencecah 50,000km. Sejak pra-pelancaran, 3,000 unit telah ditempah, dan 1,000 unit pertama dijadual diserahkan mulai hujung Julai. Visi ini, menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussaddiq Mohamed Azmi, bukan slogan iklan, tetapi tekad. “Satu Rumah, Satu EV” adalah janji untuk menyamaratakan akses mobiliti.
Di seberang pentas, gema sorakan dan gelak tawa membentuk latar bagi satu lagi catatan istimewa: Karnival EV Rider Malaysia 2025. Sejak jam 8 pagi, Lanai Matic bertukar menjadi medan pertemuan industri dan rakyat. Ajak Shiro, Nabil Ahmad, Johan, Black Hanifah, Bella Astillah, Farid Kamil, Aaron Aziz, Dato’ Seri Aliff Shukri, antara barisan artis yang memanaskan pentas dan mendekatkan teknologi kepada jiwa massa.
Nada-nada bebas dari Jemson, The Woohoo, Iqbal, dan rentak global dari DJ Teera (Thailand), Iksan Skuter (Indonesia), DJ Alip Mazian (Malaysia) menyatukan muzik, semangat dan harapan dalam satu nadi yang sama. Menariknya, sesiapa yang membeli t-shirt GGR bernilai RM40 layak menyertai cabutan bertuah untuk membawa pulang motosikal EV.
Lebih daripada satu pelancaran produk, GGR Motor mengorak langkah membina ekosistem yang inklusif. Bersama PMH Motor, sebagai pengedar utama dan rakan eksklusif, GGR memperkukuh logistik dan capaian ke seluruh negara. BATERIKU pula menjadi tulang belakang sokongan teknikal, memastikan tiada pemilik tertinggal tanpa bantuan.
Kerjasama dengan PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia (PLMM) melahirkan bengkel PETRONAS MotoExpert, dengan penggunaan produk PETRONAS Iona khusus untuk jentera EV, gabungan antara prestij dan keberkesanan. Ini bukan hanya tentang menjual motosikal, tetapi mencipta pengalaman pemilikan yang holistik dan bermaruah.
Di sebalik gegak gempita pelancaran, GGR Motor juga menyulam benang masa depan dengan MARA dan institusi pendidikan Bumiputera sebagai rakan utama. Penubuhan pusat latihan bersama IKM Beseri, UNIKL MFI dan PMH Motor bertujuan menyediakan kursus TVET & SKM Tahap 3, khusus dalam bidang teknologi EV. Latihan ini bukan sahaja membekalkan kemahiran teknikal, tetapi juga membina keupayaan untuk memiliki, menyelenggara dan menjual motosikal EV. Inilah bentuk ekonomi lestari yang bukan sahaja berpaksikan inovasi, tetapi juga melibatkan akar umbi masyarakat secara aktif.
Tatkala angka dan kuasa menjadi bahasa utama pelancaran, GGR Motor tidak lupa berbicara dalam bahasa yang lebih sunyi tapi bermakna, amal dan pengabdian. Lima motosikal EV disumbangkan sebagai wakaf teknologi kepada masjid dan surau sekitar Kuala Lumpur sempena Awal Muharram, lengkap dengan penyelenggaraan seumur hidup. Dalam tindakan itu tersembunyi satu makna besar: kemajuan tidak perlu berpisah dari kemanusiaan.
Maka berdiri hari itu, di bawah langit Kuala Lumpur yang sesekali mendung dan sesekali terang, Lion G1 tidak hanya dilancar, ia dihidupkan. Ia hidup dalam harapan rakyat, dalam cetakan langkah ke arah bumi yang lebih bersih, dan dalam visi seorang anak tempatan yang mahu lebih dari sekadar angka jualan.
Pelancaran ini menandakan GGR Motor sebagai pengeluar motosikal EV milik penuh Bumiputera pertama di negara ini. Satu fakta yang tidak sekadar membanggakan, tetapi juga mencabar, mengikat mereka pada tanggungjawab untuk terus berani mencipta legasi. Kerana suatu hari nanti, bila kita menoleh ke belakang dan melihat jalan ini… kita akan tahu bahawa perubahan itu bermula dengan satu motor, satu rumah, satu tekad. Dan pada hari itu, seluruh Malaysia telah pun mula bergerak.
Foto Oleh: Pa Pa Din