Rizman Ruzaini Siap Sedia Menakluk Dubai dengan Butik Perdana

oleh: zizi hashim

Tak sekadar mengusung budaya Malaysia ke pentas dunia, dengan langkah yang penuh tekad dan cita-cita, Rizman Ruzaini, jenama fesyen ikonik Malaysia, kini bersiap sedia melebarkan sayap ke Timur Tengah dengan membuka butik pertama mereka di kota kosmopolitan Dubai. Langkah berani ini bukan hanya sekadar usaha mengangkat budaya Malaysia ke pentas dunia, tetapi juga sebagai titian inspirasi bagi para perancang muda tanah air yang mendambakan kejayaan di persada antarabangsa.

Berkongsi kisah perjalanan mereka yang penuh warna, Rizman mengakui bahwa jalan yang mereka tempuh bukanlah tanpa duri. Sejak menceburkan diri ke dunia fesyen lebih dari 2 dekad lalu, antara cabaran terbesar adalah memastikan setiap koleksi mendapat tempat di hati penggemar, sekaligus memantapkan posisi Rizman Ruzaini sebagai jenama yang diperhitungkan, bukan hanya di tanah air, malah di pentas global.

"Setiap kali diberi kesempatan untuk tampil di peragaan antarabangsa, kami memikul nama Malaysia dengan penuh kebanggaan. Bagi kami, ini bukan sekadar tentang busana, tetapi tentang membawa jiwa dan budaya negara kami untuk dinikmati oleh dunia," ujar Rizman dalam satu sesi wawancara baru-baru ini.

Strategi mereka sejak awal berdiri berpegang kepada prinsip kolaborasi erat dengan artis-artis ternama tanah air. Nama-nama besar di dunia hiburan Malaysia menjadi wajah-wajah pertama yang memperagakan rekaan mereka, memperkukuh identiti Rizman Ruzaini sebagai pilihan utama di kalangan selebriti. Kini, dengan visi yang jauh lebih luas, mereka memasang impian agar karya mereka dapat disarungkan oleh selebriti-selebriti dunia, menjadikan Rizman Ruzaini sebagai simbol elegansi dan kemewahan bertaraf antarabangsa.

Setelah 2 dekad berusaha keras membina empayar ini, Rizman Ruzaini kini merasa cukup kukuh untuk mengorak langkah seterusnya. Dengan sokongan padu daripada pelanggan setia, khususnya dari kalangan masyarakat Timur Tengah, mereka percaya bahawa inilah saat yang tepat untuk membawa Rizman Ruzaini lebih dekat dengan penggemarnya di luar Malaysia. 

Butik pertama kami di Dubai bukan sekadar tentang membuka sebuah kedai. Ia adalah tentang memenuhi aspirasi dan permintaan pelanggan kami yang sudah lama menantikan kehadiran fizikal Rizman Ruzaini di sana," terang Rizman. "Kami sudah mempunyai pangkalan pelanggan yang kuat di wilayah itu, dan pembukaan ini hanyalah permulaan daripada pelbagai perancangan besar yang telah kami rangka."

Di balik usaha memperluas jaringan antarabangsa, Rizman juga mendedahkan bahawa pihaknya kini giat melakukan rombakan terhadap struktur perniagaan. Ini bertujuan untuk memastikan Rizman Ruzaini terus relevan dalam dunia fesyen yang kian kompetitif, serta dapat menyesuaikan diri dengan perubahan trend dan kehendak pasaran global.

"Sesudah hampir 20 tahun berjuang, kami sedar bahwa pembaharuan adalah kunci untuk kelangsungan. Kami ingin melakukan proses penyegaran semula, bukan sahaja dari aspek koleksi rekaan, malah dalam keseluruhan operasi dan pendekatan bisnes," jelasnya. "Kami percaya, dengan pembaharuan ini, Rizman Ruzaini akan terus melangkah maju, mengukuhkan lagi kedudukan kami di hati para pencinta fesyen dunia."

Perjalanan Rizman Ruzaini tidak pernah sekadar tentang busana semata-mata. Ia adalah kisah tentang impian, ketekunan, serta keberanian untuk menampilkan Malaysia dalam wajah yang paling memikat. Dan kini, dengan mata dunia yang kian terbuka, Rizman Ruzaini bersiap menulis babak baru dalam kisah kejayaan mereka , di tanah keemasan Dubai.