Razorpay Curlec Raih Anugerah ‘PayTech Terbaik untuk Pengalaman Pelanggan Digital’ di Digital CX Awards 2026

oleh: zizi hashim

Tak semua inovasi datang dengan bunyi yang kuat, ada yang bekerja diam-diam, tapi mengubah cara kita hidup tanpa kita sedar. Dalam dunia yang semakin bergerak ke arah digital tanpa sempadan, Razorpay Curlec melakar satu lagi pencapaian penting apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah Best PayTech for Digital Customer Experience (CX) – Payments di Digital CX Awards 2026. Pengiktirafan ini bukan sekadar simbol kemenangan, ia adalah refleksi kepada bagaimana pengalaman pengguna kini menjadi nadi utama dalam evolusi teknologi kewangan.

Dianjurkan oleh The Digital Banker, anugerah ini menghimpunkan lebih 1,600 penyertaan daripada lebih 200 institusi kewangan global, menjadikannya antara penanda aras paling kompetitif dalam industri. Dalam lautan persaingan itu, Razorpay Curlec menonjol bukan hanya kerana teknologi, tetapi kerana cara mereka memahami pengguna, mengubah proses pembayaran yang biasa menjadi pengalaman yang lancar, intuitif dan hampir tidak terasa. 

Menurut Ketua Negara dan CEO, Kevin Lee, kemenangan ini merupakan satu detik yang membanggakan, namun lebih penting, ia menjadi dorongan untuk terus membina masa depan sistem kewangan yang lebih terbuka dan dipacu kecerdasan buatan. “Winning this award is a proud milestone for Razorpay Curlec… The best is truly yet to come!” kata beliau, dengan keyakinan terhadap potensi yang masih belum diterokai. 

Di sebalik pengiktirafan ini, terletak satu sistem yang dibina dengan teliti iaitu unified checkout yang menggabungkan pelbagai kaedah pembayaran seperti kad tokenisasi, Apple Pay, pelan ansuran tanpa faedah, BNPL serta integrasi dompet digital, semuanya dalam satu pengalaman yang ringkas dan mesra pengguna. Namun yang benar-benar membezakan adalah keupayaan sistem ini untuk “belajar”. Dengan sokongan enjin risiko proprietari Razorpay Shield, setiap transaksi dipantau secara masa nyata, menganalisis berbilion titik data untuk memastikan keselamatan dan kelancaran walaupun dalam waktu puncak.

Tidak berhenti di situ, syarikat ini turut meneroka konsep agentic payments, sebuah pendekatan baharu yang memberi kelebihan kepada perniagaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tingkah laku pengguna yang semakin dinamik. Hari ini, Razorpay Curlec menyokong lebih satu juta perniagaan di seluruh dunia dan lebih 5,000 perusahaan di Malaysia, dengan kadar kejayaan transaksi melebihi 90 peratus serta peningkatan hasil pedagang antara 8 hingga 10 peratus melalui optimisasi berasaskan AI.

Dengan lebih 11.5 juta transaksi diproses dan pertumbuhan tahunan sebanyak 65 peratus, jelas bahawa teknologi ini bukan sekadar berkembang, ia sedang memimpin perubahan. Dalam landskap di mana ekonomi digital Asia Tenggara dijangka mencecah nilai US$234 bilion, keperluan terhadap penyelesaian kewangan yang berskala dan bersepadu menjadi semakin mendesak.

Dan di situlah Razorpay Curlec berdiri, bukan hanya sebagai penyedia sistem pembayaran, tetapi sebagai enabler kepada masa depan yang lebih mudah, lebih cepat, dan lebih manusiawi.Kerana pada akhirnya, teknologi terbaik bukan yang paling kompleks tetapi yang membuat segalanya terasa lebih mudah.